Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Selasa, 4 Oktober 2011

Poligami Dalam Perspektif Sejarah, Politik Dan Syariat Islam Bhg( 2 ) akhir












HUKUM POLIGAMI DI DALAM ISLAM
Islam telah menetapkan poligami sebagai sesuatu perbuatan mubah (boleh).  Bukan sunnah, bukan pula wajib.  Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan hal ini di dalam an-Nizham al-Ijtima’i fi al-Islam hal. 129 :

"Perlu dijelaskan bahawa Islam tidak menjadikan poligami sebagai kewajipan ke atas kaum muslimin, bukan pula perbuatan mandub (sunat) bagi mereka, melainkan sesuati yang mubah (boleh), yang boleh mereka lakukan jika mereka berpandangan demikian".

Dalil bagi kebolehan berpoligami telah dijelaskan dengan sangat jelas oleh Allah SWT di dalam firmanNya yang bermaksud;

Maka nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat.” [TQS an-Nisaa’ (4): 3]

Imam Suyuthi menjelaskan bahawa di dalam ayat di atas terdapat dalil, bahawa jumlah isteri yang boleh digabungkan (dinikahi dalam satu-satu masa) adalah empat saja (fiihi anna al-‘adada alladziy yubahu jam’uhu min al-nisaa’ arba’ faqath) [Imam Suyuthi, Al-Iklil fi Istinbath At-Tanzil, (Kairo : Darul Kitab Al-Arabiy, t.t.), hal. 59].

Sebab penurunan ayat 3 surah An-Nisaa' tersebut adalah berkaitan dengan kisah pertanyaan Urwah bin ZubairRadhiallahu Anhu kepada Aisyah iaitu;

Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) wanita-wanita yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” [TQS an-Nisaa’ (4): 3].

Maka ‘Aisyah Radhiallahu Anha menjawab,”Wahai anak saudara perempuanku, yatim di sini maksudnya wanita yang di bawah asuhan walinya di mana hartanya bercampur dengan harta walinya, dan harta serta kecantikan wanita yatim itu menyebabkan pengasuh anak yatim itu senang kepadanya lalu ingin menjadikan wanita yatim itu sebagai isterinya.  Tetapi pengasuh itu tidak mahu memberikan mahar (maskahwin) kepadanya dengan adil, iaitu memberikan mahar yang sama dengan yang diberikan kepada wanita-wanita lain.  Oleh sebab itu, pengasuh anak yatim seperti ini dilarang mengahwini anak-anak yatim itu kecuali jika mereka mahu berlaku adil kepada mereka dan memberikan mahar kepada mereka lebih tinggi dari kebiasaannya.  Dan kalau tidak dapat berbuat demikian, maka mereka diperintahkan mengahwini wanita-wanita lain yang mereka disenangi.” [HR Al-Bukhari, Abu Dawud, an-Nasa`i, dan at-Tirmidzi] [Lihat Sayyid Sabiq, Fikih Sunah (terj), VI/136-137].

Walaubagaimanapun, kebolehan poligami di dalam ayat di atas bukanlah bermaksud bahawa poligami hanya dibolehkan di dalam konteks pengasuhan anak yatim. (Seperti pandangan kaum liberal yang menyatakan syarat poligami ialah mengahwini janda-janda yang telah kematian suami atau anak-anak yatim).

Ini dijelaskan di dalam ilmu ushul fiqih, di mana yang menjadi hujah pegangan ialah maksud ayat yang bersifat umum (fankihuu maa thaab lakum mina an-nisaa' ila akhir ayah), dan bukan disebabkan oleh turunnya ayat yang bersifat khusus (pengasuhan anak yatim). Maka poligami boleh dilakukan oleh orang yang menjadi pengasuh anak yatim ataupun mereka yang bukan mengasuh anak yatim. 

Kaedah ushul fiqih tersebut ialah:
Idza warada lafzhul ‘umuum ‘ala sababin khaashin lam yusqith ‘umumahu

Jika terdapat ayat yang membawa hujjah yang umum kerana sebab yang khusus, maka sebab yang khusus itu tidaklah menggugurkan keumumannya.” [Abdul Qadir Ad-Dumi tsumma Ad-Dimasyqi, Nuzhatul Khathir Syarah Raudhatun Nazhir wa Junnatul Munazhir, (Beirut : Dar Ibn Hazm, 1995), Juz II hal. 123].

Beberapa hadis telah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah membenarkan poligami dijalankan oleh para sahabat berdasarkan keumuman ayat tersebut, tanpa sesekali mempertikaikan sama ada ia berkait dengan pengasuhan anak yatim atau tidak.  Diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah mengarahkan Ghailan bin Umayyah Ats- Tsaqafi yang baru masuk Islam untuk memilih empat sahaja dari sepuluh orang isteri yang dimilikinya semasa beliau masih kafir.  Rasulullah SAW bersabda, "Pilihlah empat orang dari mereka, dan ceraikanlah yang lainnya!" [HR Malik, an-Nasa'i, dan Ad- Daruquthni].

Di dalam kes yang lain, Harits bin Qais pernah berkata kepada Rasulullah SAW, " Saya masuk Islam bersama-sama lapan orang isteri saya", maka baginda SAW bersabda, "Pilihlah dari mereka empat orang" [HR Abu Dawud] (Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid VI/139)

Keadilan suami tidak boleh dijadikan sebagai syarat berpoligami.  Sebenarnya, adil bukanlah syarat untuk berpoligami, sebaliknya ia merupakan kewajipan yang dilakukan oleh seorang lelaki ketika ia memilih untuk berpoligami.  "Syarat" ialah suatu sifat atau keadaan yang perlu terwujud sebelum adanya sesuatu yang disyaratkan (masyrut) 

Sebagai contoh, wudhu' adalah syarat sah solat; yang bermaksud wudhu' perlu diwujudkan dulu sebelum solat.  Jika kita menyatakan bahawa "adil" adalah syarat bagi poligami, bermaksud "adil" perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum orang tersebut berpoligami.  Hal ini adalah sangat mustahil untuk dibuktikan!  Sebenarnya, yang terwujud sebelum seseorang lelaki berpoligami bukanlah "adil" itu sendiri, tetapi "perasaan" seseorang sama ada ia mampu untuk berlaku adil atau tidak.  Di sinilah, syariah mendorongnya untuk berkahwin dengan satu isteri sahaja (fa-in khiftum an-laa ta’diluu fa waahidah, “Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja".

Manakala "keadilan" yang merupakan salah satu kewajipan ketika berpoligami seperti yang disebutkan di dalam TQS An-Nisaa'(4) : 3, adalah keadilan di dalam pemberian nafkah dan giliran bermalam dengan isteri-isteri.  Nafkah di sini bermaksud mencukupi keperluan para isteri sama ada dari aspek pakaian, makanan dan tempat tinggal sesuai dengan kemampuannya.  Perlu juga difahami bahawa "adil" bukanlah bererti "sama rata" (dari segi kuantiti), melainkan memberikan hak bersesuaian dengan keadaan para isteri masing-masing.  Contohnya, isteri pertama dengan tiga orang anak dan isteri kedua dengan seorang anak, tentu kadar nafkahnya tidak sama secara kuantiti.  Walaubagaimanapun, jika suami mampu untuk menyamakan secara kuantiti juga diperbolehkan (mubah), bukan sunat, bukan wajib.

Sementara untuk giliran bermalam pula, wajib diberikan secara sama rata kepada para isteri.  Walaubagaimanapun, jika ada di antara isteri yang sedang menghadapi masalah seperti sakit atau di dalam keadaan tekanan yang menyebabkannya tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya, maka giliran bermalam itu boleh diberikan kepada isterinya yang lain, dengan syarat mendapat keizinan/ keredhaan isteri yang lain.  [Syaikh Abdurrhaman Al-Jaziry, al-Fiqh ‘Ala Al-Madzahib Al-Arba’ah Juz IV, hal. 206-208; Lihat secara khusus cara berlaku adil terhadap isteri-isteri dalam Ariij Binti Abdurrahman As-Sanan, Adil Terhadap Para Isteri (Etika Berpoligami), (Jakarta : Darus Sunnah Press), 2006].

Paling penting, giliran bermalam tersebut bukanlah bermaksud untuk jima' (bersetubuh) semata-mata, melainkan untuk menemani dan berkasih sayang (al-uns), sama ada terjadi atau tidaknya jima'.  Maka, seorang suami tetap dianggap telah menunaikan tanggungjawabnya dalam hal giliran bermalam walaupun tidak terjadinya jima' [Syaikh Abdurrhaman Al-Jaziry, al-Fiqh ‘Ala Al-Madzahib Al-Arba’ah Juz IV, hal. 206-217].

Allah SWT berfirman yang bermaksud;

Kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian.” [TQS an-Nisaa’ (4) : 129].

Adapun "adil yang mustahil dimiliki oleh suami" seperti yang dinyatakan di dalam ayat di atas bukanlah bermaksud "adil" di dalam hal nafkah dan giliran bermalam, melainkan adil di dalam "kecenderungan hati" (al-mail al-qalbi).

Imam Suyuthi menukilkan pendapat Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu yang menyatakan bahawa “adil yang mustahil" ini adalah : rasa cinta dan bersetubuh (al-hubb wa al-jima’) [Lihat Imam Suyuthi, Al-Iklil fi Istinbath At-Tanzil, (Kairo : Darul Kitab Al-Arabiy, t.t.), hal. 83].

Sayyid Sabiq menukilkan riwayat, bahawa Muhammad bin Sirin berkata,”Saya telah mengajukan pertanyaan berkenaan ayat ini kepada ‘Ubaidah. Jawabnya,’Iaitu dalam cinta dan bersetubuh.” [Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid VI/143].

Maka, adalah kesilapan yang sangat besar apabila kaum liberal anti-poligami menyatakan keharaman poligami berdasarkan dalil ayat di atas (TQS An Nisa' 4 : 129) yang dikaitkan dengan kewajiban adil dalam poligami (TQS an Nisa' 4 : 3).  Mereka melontarkan alasan dangkal dengan mempersoalkan perbezaan maksud kedua-dua ayat tersebut di mana Allah telah mewajibkan adil (TQS an Nisa'4:3), tetapi di sisi lain keadilan adalah mustahil (TQS An Nisa' 4:129). 

Lantas, kerana itu mereka membuat kesimpulan bahawa sebenarnya poligami itu dilarang dan haram. Mereka menganggap keadilan pada dua ayat tersebut adalah keadilan yang sama. Hakikatnya, keadilan yang dimaksudkan di dalamSurah An Nisaa A:3 adalah berbeza dengan konteks keadilan yang disentuh di dalam Surah An Nisaa 4:129.

Sesungguhnya Allah SWT telah menyatakan bahawa tidak akan ada percanggahan di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman :

Kalau sekiranya al-Quran itu dari sisi selain Allah, nescaya akan mereka dapati pertentangan yang banyak di dalamnya.” [TQS an-Nisaa` (4) : 82].

KRITIKAN BALAS KEPADA BEBERAPA HUJJAH PENOLAKAN POLIGAMI
Berikut adalah bantahan terhadap beberapa penolakan terhadap bolehnya poligami.

1)Mereka berhujah bahawa poligami hanya diperbolehkan di dalam keadaan darurat.

Ada pihak yang menolak poligami kerana menganggap bahawa poligami adalah "emergency exit door" (pintu keluar dalam keadaan darurat sahaja).  Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali dan tidak sesuai dengan pengertian darurat di dalam ilmu fiqih dan ushul fiqih.  Darurat menurut Imam Suyuthi dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nazha`ir fi al-Furu’, adalah “sampainya seseorang pada suatu batas (keadaan) yang jika dia tidak mengerjakan yang haram, maka dia akan mati atau hampir mati” (wushuuluhu haddan in lam yatanawal al-mamnu’ halaka aw qaaraba) .  Ini bererti seorang lelaki hanya diperbolehkan untuk berpoligami jika keadaannya sudah sangat kritikal iaitu hampir mati jika beliau tidak berpoligami. Kasihan sekali.  Kenyataan ini sangat melucukan dan jauh dari kebenaran!

Pendapat yang membolehkan poligami hanya di dalam keadaan darurat bererti mereka menganggap bahawa hukum asal bagi poligami ialah haram, (seperti haramnya daging babi untuk dimakan), dan hanya diperbolehkan (rukhsah) jika tiada jalan keluar selain berpoligami.  Sedangkan, pada hakikatnya hukum poligami adalah mubah, bukannya haram!.

2)Mereka berkata Rasulullah SAW sendiri melarang Ali bin Abi Thalib dari berpoligami

Ada pihak yang mengharamkan poligami dengan memberikan alasan bahawa Rasulullah SAW sendiri telah melarang Saidina Ali bin Abi Thalib dari berpoligami.  Memang pernah berlaku situasi di mana Ali yang telah mengahwini Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah SAW; meminta izin dari Rasulullah SAW untuk menikahi Puteri Abu Jahal.  Rasulullah SAW kemudiannya bersabda,

Tidak aku izinkan, tidak aku izinkan, tidak aku izinkan! Kecuali Ali bin Abi Thalib rela untuk menceraikan puteriku dan menikahi puterinya Abu Jahal. Sesungguhnya Fatimah adalah darah dagingku, menyenangkan aku apa yang menyenangkannya, menyakitiku apa yang menyakitinya"

Jika hadis di atas hanya dibaca sehingga di sini sahaja, seolah-olah Rasulullah SAW telah mengharamkan poligami.  Kaum liberal yang cenderung mendustakan Allah dan RasulNya, biasanya hanya menyampaikan hadis di atas tanpa melihat hadis yang disampaikan dari jalur periwayatan yang lain.  Sedangkan, di dalam jalur riwayat lain ada perkataan Nabi SAW yang sangat penting kaitannya dengan status hukum poligami. Sabda Rasulullah SAW tersebut ialah :

Sungguh aku tidaklah mengharamkan sesuatu yang halal, dan tidak pula menghalalkan sesuatu yang haram.  Akan tetapi, demi Allah, tidak akan puteri Rasulullah berkumpul dengan puteri musuh Allah dalam suatu tempat selama-lamanya.” (HR Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW yang terakhir ini dengan jelas menunjukkan bahawa poligami itu adalah halal, bukannya haram.  Maka, larangan Nabi SAW kepada Ali yang ingin memadukan Fatimah dengan puteri Abu Jahal bukanlah kerana Rasulullah SAW mengharamkan poligami, melainkan kerana Rasulullah SAW tidak redha Ali mengumpulkan puteri kesayangan Rasulullah SAW dengan puteri musuh Allah di bawah lindungan seorang lelaki (suami).  Inilah yang dapat difahami daripada kalimah sambungan hadis tersebut iaitu

Akan tetapi, demi Allah, tidak akan puteri Rasulullah berkumpul dengan puteri musuh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam suatu tempat selama-lamanya“.

Bahkan Ali sendiri sebenarnya telah berpoligami, setelah Fatimah meninggal dunia.  Ibnu Uyainah mengatakan bahawa Ali bin Abi Thalib mempunyai empat isteri dan 19 hamba perempuan, setelah wafatnya Fatimah RA (Imam Suyuthi, Nuzhatul Muta`ammil wa Mursyidul Muta`ahhil fi al-Khathib wa al-Mutazawwij, [Beirut : Dar Amwaj, 1989, hal 17]

3)Mereka berkata bahawa poligami yang akan menimbulkan bahaya (Dharar) adalah haram


Ada pihak yang cuba untuk menolak poligami dengan menggunakan maklumat-maklumat dan data-data statistik untuk menjelaskan banyaknya bahaya (dharar) akibat pelaksanaan poligami.  Contohnya, perbalahan di antara para isteri, tekanan perasaan kepada isteri dan anak-anak dan sebagainya.

Secara metodologi (ushul fiqih), cara berfikir sedemikian adalah salah.  Ini kerana tindakan tersebut bererti menjadikan akal sebagai satu-satunya alat untuk mengetahui status hukum syara'.  Sedangkan akal tidak akan pernah mampu untuk memutuskan halal-haramnya sesuatu dengan bersandarkan "dalil-dalil" dari statistik dan fakta-fakta empirik semata-mata.  Tugas akal hanyalah untuk memahami teks wahyu, bukan untuk menyimpulkan status hukum tanpa bersandarkan wahyu.

Imam Ghazali mengatakan, “Al-Ahkam as-sam’iyah laa tudraku bi al-‘aql,” (Hukum-hukum syar’i tidaklah dapat dijangkau dengan akal semata) [Imam Ghazali, Al-Mushtashfa min ‘Ilm al-Ushul, Juz I hal. 127].

Ada pula pihak lain yang menggunakan data-data tersebut untuk menolak poligami, dengan disokong oleh kaidah fiqihdar’ul mafasid muqaddamun ‘ala jalbil mashalih (menolak kerosakan, lebih didahulukan daripada memperoleh kemaslahatan).  Pendapat ini menyatakan poligami dilarang, kerana melarang poligami bererti menolak kerosakan, yang perlu didahulukan daripada mencari kemaslahatan, iaitu dengan melakukan poligami.

Pendapat ini juga adalah batil.  Ini kerana pengamalan kaidah fikih di atas berlaku hanya di dalam kes-kes yang memerlukan proses ijtihad dilakukan untuk sampai kepada suatu hukum.  Penting untuk disebutkan di sini, bahawa ijtihad tidak berlaku jika ada nash yang qath’i (pasti) di dalam suatu masalah.  Kaidah fikih menyebutkan laa ijtihaada fi maurid al-nash (Tidak boleh melakukan ijtihad dalam keadaan ada nas yang qath’i). 

Di dalam hal ini telah ada nas yang qath’i iaitu Surah an Nisaa  4: 3 yang membolehkan poligami.  Jika ada nas yangqath’i, tidak boleh lagi berijtihad pada nas yang qath’i itu, apatahlagi sehingga hasil ijtihadnya membatalkan hukum dalam nas qath’i itu.

Tindakan yang paling tepat untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul akibat pengamalan poligami sepatutnya bukan dengan melarang atau mengharamkan poligami, melainkan dengan cara meluruskan penyimpangan di dalam berpoligami, atau menghilangkan bahaya yang muncul ketika berpoligami. 

Kaedah fiqih menyebutkan adh-dharaar yuzaalu syar’an (Segala bahaya wajib secara syar’i untuk dihilangkan).  Maka, jika di dalam berpoligami seorang suami berbuat zalim, misalnya tidak adil dalam memberikan nafkah, atau suka memukul isteri, maka yang dilakukan bukan membubarkan poligami, melainkan mengadukan masalah tersebut kepada hakim (peradilan Islam).  Hakim boleh menjatuhkan hukuman syar’i (ta’zir) kepada suami dan mewajibkan suami agar memenuhi hak-hak isteri.  Analogi mudahnya, jika kereta kita rosak, misalnya penghawa dinginnya tidak berfungsi atau tangki minyaknya bocor, penyelesaiannya bukanlah dengan membuang kereta itu.  Tetapi bawalah kereta itu ke bengkel untuk diperbaiki. Inilah yang haq.

PENUTUP
Sesungguhnya hukum Allah SWT di dalam masalah poligami sudah ditetapkan dengan sangat jelas dan tidak perlu kita terlalu berpolemik untuk menerangkan kebolehannya.  Perkara yang halal telah jelas dan yang haram pun telah jelas. Walaubagaimanapun, kita harus sedar bahawa akan sentiasa ada sebahagian dari umat Islam yang bertaqlid buta dan terikut-ikut dengan kaum kafir.  Ketika kaum kafir menolak poligami dan membolehkan zina, ada juga di kalangan umat Islam ini yang mengikuti jalan hidup sesat tersebut, iaitu dengan menyukarkan atau melarang poligami, dan sebaliknya membiarkan zina.  Tidak perlu kita hairankan dengan kewujudan golongan-golongan perosak agama seperti ini.  Mereka memang ada.  Di sekeliling kita, diberi peluang untuk bersuara sebebas-bebasnya, dipertahankan, diagungkan malah bersahabat baik dengan musuh-musuh Allah, RasulNya, agamaNya dan umat Islam secara keseluruhan.

Mereka memang ada! Mereka adalah kelompok liberal dan pemimpin sekular yang mengabdikan dirinya secara tulus kepada kaum penjajah yang kafir.  Mereka inilah yang perlu diwaspadai agar umat tidak tertipu dengan kata-kata mereka yang sangat keji.  Mereka mempropagandakan fahaman-fahaman kufur dengan menyalahgunakan dalil-dalil agama untuk kepentingan penjajah.  Kejahatan kaum liberal dan penguasa sekular ini wajib kita hentikan dan kita hancurkan.

Marilah kita renungkan dengan saksama sabda Rasulullah SAW :
Sungguh kamu akan mengikuti jalan-jalan (hidup) orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkjal, sehasta demi sehasta, hingga kalau pun mereka masuk ke lubang biawak, kamu akan mengikuti mereka. Kami [para sahabat] berkata,’Wahai Rasulullah, [apakah mereka itu] orang Yahudi dan Nasrani?’ Rasulullah menjawab,”Lalu siapa (kalau bukan mereka)?”
[HR Bukhari dan Muslim].

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: