Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Selasa, 18 Oktober 2011

Haramkan Filem KLIP 3GP

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Semakin hari semakin jijik untuk melihat dan menonton filem yang dikeluarkan oleh penerbit dan syarikat perfileman di Malaysia. Hanya kerana melihat kepada faktor keuntungan daripada hasil kutipan jualan tiket dan jualan filem maka soal agama dan adat sudah tidak lagi menjadi pertimbangan utama.

Ketika ini, filem yang terlalu banyak membawa unsur tahyul dan seram disajikan kepada masyarakat yang sememangnya mudah terpengaruh dengan aksi-aksi yang menakutkan dan menyeramkan sehingga timbul dialog yang menghina Islam terjadi disebabkan kurangnya peka terhadap apa yang dilakonkan.

Semalam, satu posting di facebook saya yang dihantar oleh Akhi Fairuz selaku Admin Maher Zain Malaysian Fan Club (MZMfc) yang melahirkan rasa kekesalan di atas penerbitan sebuah filem yang tidak berfaedah ini. Beliau menyatakan bahawa :-

"Jujurnya, saya berasa kurang senang, kecewa dan terkilan akan filem ini. Apa yang mahu diketengahkan di dalamnya? Gejala sosial melibatkan remaja? Sebaran video lucah melalui kamera bimbit? Zina yang semakin membarah di dalam masyarakat? Berhati-hati kalau melakukan penzinaan, khuatir ada orang merakam aksi lucah anda? Atau cuba mengajar penonton kaedah menyebarkan keaiban orang lain di ruang internet?"

Saya telah juga beberapa kali melihat klip video tersebut di dalam laman Youtube dan saya juga kecewa dan kesal dengan apa yang telah berlaku. Saya tidak dapat melihat apa-apa pun unsur yang positif daripada klip video ini melainkan ia bakal merangsang nafsu penonton dan sudah pasti ia akan dijadikan sumber utama menarik minat masyarakat khususnya anak muda untuk menonton filem yang durjana ini.

Sekali pandang, ia telah sama sekali menghilangkan nilai-nilai murni dalam masyarakat yang tiada unsur Islam dan mengetepikan budaya Melayu walaupun saya percaya 100% pelakon utamanya adalah daripada kaum Melayu yang beragama Islam.

Persoalannya, apakah sekadar berpandukan kepada mesej terhadap filem sudah boleh dijadikan modal kepada penerbit untuk mengeluarkan satu filem yang mengandungi aksi seks yang bakal meruntuhkan jiwa dan raga masyarakat khususnya di kalangan anak-anak muda masa kini yang terdedah dengan pelbagai sumber yang mudah untuk diperolehi dihujung jari.

Filem seperti ini bukan sahaja memberikan kesan yang negatif kepada penonton tetapi ia juga memberikan kesan kepada pelakonnya iaitu Shamimi Amalian Norhisham.

Dalam laporan Harian Metro, telah disiarkan berita berikut :-

KUALA LUMPUR: Filem 3GP belum ditayangkan tetapi Mimi (One Nation Emcee) mula resah memikirkan penyebaran beberapa klip video dalam Internet yang menyatakan ia adalah rakaman aksi seksnya.

Mimi atau nama penuhnya, Shamimi Amalina Norhisham, 25, berkata dia tidak menyangka ada adegan filem itu yang kini berleluasa tersebar di Internet dengan tajuk yang jelas memaparkan dia melakukan hubungan seks itu.

“Saya memang tidak tahu pasal penyebaran klip video itu kerana sudah lama tidak melayari Internet. Namun yang pasti, itu hanya sedutan lakonan saya. Klip itu antara adegan dalam filem Klip 3GP yang saya jayakan.

“Malah, lakonan yang saya jayakan juga dilakukan secara profesional, jadi jangan kata saya sanggup ketepikan agama semata-mata untuk berjaya dalam bidang lakonan.

“Sehubungan itu, saya sungguh kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruah saya,” katanya.

Menurut Mimi, kebanyakan aksi yang boleh dianggap lucah itu disunting supaya ia nampak seperti adegan sebenar, sedangkan sewaktu penggambaran, watak tambahan atau pendua digunakan supaya kelihatan seperti dirinya.

Sekali lagi, saya mempertikaikan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang seolah-olahnya serasi dengan filem seperti ini. Adakah LPF dapat memberikan kepastian bahawa filem seumpama ini dapat membina sebuah masyarakat bertamadun dan berakhlak mulia?

Filem ini dijadualkan akan ditayangkan pada 13 Oktober 2011. Masih ada masa lagi untuk rakyat membuat bantahan dan dan masih ada ruang lagi untuk filem ini ditarik balik penayangannya kepada umum.

Saya menyeru agar masyarakat Malaysia menolak filem ini!