Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 22 Oktober 2011

Bob Lokman Dan Aziz Bari: Praktikal Untuk Pejuang Islam.



Bob Lokman: “"Buat apa saya hendak hadir, tidak ada kepentingan untuk Islam," katanya yang bertegas tidak akan hadir memberi keterangan di pejabat JAIS. "Nak tangkap, tangkaplah. Saya tidak akan hadir. Sifat (JAIS) begini bukan hendak jaga keharmonian agama," katanya sambil memberitahu hanya berserah pada Allah.

Prof Aziz Bari: “Tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim. Sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.”

Para pejuang Islam seharusnya malu apalagi masyarakat awam yang bertuhankan hawa nafsu kebendaan. Apa tidaknya. Tidak kita sangka Bob Lokman yang bertahun-tahun hidup glamor dalam dunia artis begitu tegas mempertahankan prinsip Islam yang mula berbuah sebaik sahaja beliau melibatkan diri dalam perjuangan yang dibawa oleh PAS.

Apabila beliau ditangkap oleh JAIS kerana mengajar agama tanpa tauliah, beliau begitu tegas mengherdik pegawai-pegawai JAIS. Biasanya orang yang ditangkap tidak berani mengangkat muka. Sebaliknya, Bob Lokman berani pula membasuh dan menyembur pegawai-pegawai JAIS yang didakwa menjadi terompah kayu UMNO itu. Dia sanggup menghadapi apa sahaja risiko akan sikapnya yang menyanggah arahan JAIS. Beliau mungkin didenda dan dipenjara, namun itu tidak menjadi perhitungan baginya. Beliau amat yakin, berani kerana benar dan beliau yakin benar di sisi Allah.

Begitu juga Prof. Aziz Bari yang berani mempertahankan ilmunya meskipun dalam isu kuasa Sultan. Isu ini cukup sensitif. Sukar dicari dalam kalangan pejuang Islam sendiri yang berani bermain di ‘sempadan Sultan’. Tengoklah dalam isu Sultan Pahang yang memaafkan kesalahan Kartika yang mengaku meminum arak. Mana ada tokoh pejuang Islam yang berani menegur tindakan Sultan itu. Masing-masing hanya berani mengulasnya dalam majlis-majlis kuliah dalam bahasa berlapik. Cuba sebutkan seorang ulama pejuang yang berani menerangkan tentang hukum yang melibatkan Sultan Pahang itu secara terbuka.

Maka apabila Bob Lokman dan Aziz Bari berani menyatakan dan mempertahankan ilmu dan keyakinan mereka, para pejuang Islam PAS sebenarnya perlu berasa malu dan terpukul. Artis yang tak sampai setahun terjun ke dalam perjuangan begitu tegas dan mantap akidahnya, sebaliknya kita ( termasuk aku) yang sudah berpuluh-puluh tahun bersama PAS dan menadah kitab belum tentu berani bersikap seperti Bob Lokman. Pakar undang-undang yang berada di luar PAS berani menyatakan ilmunya meskipun menyentuh sempadan sultan, sebaliknya kita yang saban masa bercakap tentang perjuangan Islam malu dan menikus apabila berbicara tentang ‘kesilapan diraja’.

Justeru itu, pejuang Islam haruslah berasa malu pada kedua-dua ikon ini. Malah kita sepatutnya belajar daripada keberanian dan ketegasan mereka. Mereka adalah ‘role model’ bagi kita semua. Apakah JAIS akan runtuh kerana seorang Bob Lokman dan UIA akan runtuh kerana seorang Aziz? Sama-samalah kita saksikan kesudahan drama ini. Tidak mustahil juga drama ini akan berakhir dengan kejatuhan BN dalam PRU13 nanti. Insya-Allah.