Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 5 Oktober 2011

Negeri-negeri Tanah Melayu Tidak Dijajah



Isu negera kita dijajah atau tidak kini telah memasuki perdebatan hangat. Ada yang mengatakan bahawa negeri-negeri Melayu tidak pernah dijajah namun ramai juga yang mengambil perspektif bahawa kita pernah dijajah.


Yang berpendirian kita pernah dijajah mengatakan bahawa kita telah dijajah selama lebih 400 tahun. Bermula dengan kejatuhan pelabuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, kemudian bertukar kepada pentadbiran Belanda dan akhirnya British dengan beberapa penempatan selat (Straits Settlement) sehinggalah tahun 1957.
Bagi mereka yang ingin membetulkan pandangan di atas yang sudah sekian lama beranggapan kita dijajah dan hanya merdeka pada 31 Ogos 1957, mereka juga mempunyai asas dan fakta yang kukuh.
Ketika berbincang dengan beberapa peguam serta penganalis perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, mereka mengemukakan bahawa apabila Portugis menawan pelabuhan Melaka mereka hanya menguasai pelabuhan dan persekitaran yang strategik sahaja demi mengawal pusat perniagaan komoditi dan kepentingan perdagangan mereka. Bukan sahaja keseluruhan Tanah Melayu masih tetap dengan pemerintahan Raja-raja Melayu malah masih luas lagi kawasan Melaka yang tidak tertakluk kepada penguasaan Portugis.
Apabila Belanda mengambil alih dari penguasaan Portugis tidak banyak yang berubah. Malah kalau mengikut dokumen-dokumen gereja Kristian, di zaman Belanda usaha dakyah Kristianisasi menjadi berkurangkan berbanding dengan usaha puak Katolik semasa Portugis. Bukan sahaja pihak Katolik ini kemudian menyalahkan pemerintahan Belanda kerana terlalu mementingkan perdagangan “Dutch East Indian Company (Vereenigde Oost-Indische Compagnie, VOC) tetapi juga menyalahkan Protestan Belanda yang banyak berbeda dengan mazhab Katolik mereka.
Apabila British datang ke Tanah Melayu bermula dengan Pulau Pinang dengan satu demi satu jajahan yang dipanggil mereka “Straits Settlement”, negeri-negeri Melayu masih mempunyai Raja-raja Melayu yang berdaulat.
Sepanjang masa ini kuasa-kuasa besar Eropah silih berganti menduduki Melaka dan beberapa tapak strategik di tanah air kita, Raja-raja Melayu tetap berdaulat memerintah kawasan jajahan mereka. Pelbagai undang-undang kanun negeri-negeri di bawah pemerintahan Melayu digubal sepanjang tempoh masa tersebut. Undang-undang kanun ini juga menunjukkan tertegaknya pemerintahan kerajaan Islam negeri masing-masing. Malah Batu Bersurat turut membuktikan kedaulatan pemerintahan Islam telah tertegak seawal tahun 702 Hijrah lagi (1303 Masehi) dan Trengganu tidak pernah pula tunduk di bawah pemerintahan British semenjak dari itu.
Di antara kes yang menguatkan hujah mereka, sahabat-sahabat peguam saya ini telah memetik salah satu dari kes iaitu Duff Development Co. Ltd v. Government of Kelantan (1924) yang mana perbicaraan di London hingga ke House of Lords akhirnya memutuskan bahawa Kelantan being a sovereign independent State, maka Sultan Kelantan tidak tunduk kepada mahkamah England.
Jika mahkamah “penjajah” pun telah mengiktiraf kedaulatan negeri-negeri Tanah Melayu dan tidak tertakluk di bawah undang-undang mereka bagaimana mungkin pula ada pihak-pihak yang bersungguh mahu mengangkat “penjajah” serta memusnahkan kedaulatan pemerintahan dan Raja-raja Melayu?
Kita perlu menulis kembali sejarah Tanah Air kita agar ianya tidak lagi “euro-centric” yang mengangungkan penjajah Eropah. Pulau Pinang BUKAN ditemui oleh Francis Light pada tahun 1786. Malah menurut pengkaji sejarah Pulau Pinang Profesor Ahmad Murad Merican, sebelum kedatangan Light, Pulau Pinang sudah mempunyai kota dengan perbandarannya sendiri di Batu Uban yang turut tercatat dalam catatan awal British.
Jangan kita terikut mereka yang ingin melupakan sejarah sebenar Tanah Melayu serta kedaulatan pemerintahan Raja-rajanya dengan pentadbiran dan undang-undang tubuh berasaskan Islam. Jangan kita terikut dengan agenda dan misi terselindung mereka yang ingin generasi akan datang tidak lagi kenal sejarah sebenar kita. Berapa ramaikah rakyat Singapura kini yang tahu bahawa sejarah negeri itu tidak bermula dengan Raffles menjejak kaki di pulau itu?