Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 5 Ogos 2011

‘Bazar Ramadhan’ Jangan Jadi ‘Bazir Ramadhan’!

Apabila datang Ramadhan yang mulia, banyak tempat akan mengadakan pasar yang menyediakan banyak pilihan makanan dan juadah untuk berbuka puasa.  Pasar ini yang juga lebih dikenali sebagai ‘Bazar Ramadhan’ sangat memberi faedah buat masyarakat terutamanya buat pasangan suami isteri yang bekerja.  Kesuntukan masa dan kepenatan balik dari tempat kerja tidak mengizinkan mereka untuk menyediakan juadah berbuka puasa dengan sendiri.  Justeru, ‘Bazar Ramadhan’ adalah jawapannya.

Adanya ‘Bazar Ramadhan’ bukan sahaja menyediakan kemudahan buat masyarakat, malah peluang seperti ini sangat dinanti-nantikan oleh para peniaga.  Betapa Ramadhan menyediakan peluang buat mereka untuk menggandakan pendapatan.  Syukur alhamdulillah.

Masing-masing tahu akan kebaikan ‘Bazar Ramadhan’.  Jadi, tulisan ini bukanlah mahu membincangkan tentang kebaikannya.  Kerana kebaikannya semua sudah maklum.
Tulisan ini dibuat bagi memberi peringatan kepada pembaca sekalian supaya berhati-hati tatkala menghadiri ke ‘Bazar Ramadhan’.  Kerana sangat jelas pembaziran banyak berlaku kepada setiap orang yang masuk ke sana.  Supaya ‘Bazar Ramadhan’ tidak menjadi ‘Bazir Ramadhan’.
Pembaziran Wang
Sebut sahaja menu apa pun, tentu boleh dijumpai di Bazar Ramadhan. Samada ala-kampung, ala-bandar, ala-arab, ala-cina, ala-barat atau lain-lain ala, boleh dikatakan ada tersedia di Bazar Ramadhan.  Lelaki atau perempuan yang selama ini mengidam sesuatu jenis makanan, menggunakan masa ini untuk menyampaikan hajat masing-masing.
Disebabkan perut sedang lapar dan tekak sedang haus, jadi ramailah yang terlajak tatkala membeli-belah.  Itu nak, ini pun nak.  Kesemua sepuluh jari hampir dipenuhi dengan plastik-plastik bungkusan makanan untuk dibawa pulang berbuka puasa.  Sedangkan yang diperlukan hanya dua atau tiga jenis makanan sahaja untuk berbuka puasa.  Maka berlakulah pembaziran wang.
Pembaziran Makanan
Akibat dari pembelian yang terlebih, kadang-kadang seseorang tidak dapat menghabiskan makanan-makanan yang dibeli.  Kuih lima biji, hanya 2 biji dimakan.  Nasi sebekas, hanya suku diusik.  Juadah-juadah yang lain hanya diusik sepertiga sahaja.  Hasilnya, banyaklah makanan yang terbiar begitu sahaja yang akhirnya ke tong sampah destinasinya.  Menyedihkan.
Dari pembaziran wang, terjadi pula pembaziran makanan.  Alangkah baiknya jika wang yang lebih itu dibeli makanan untuk golongan anak yatim, miskin atau yang susah kehidupannya.  Betapa sayunya hati mereka jika mereka melihat perbuatan sesetengah kita yang membazirkan makanan.  Sedangkan mereka sangat susah untuk mendapat sesuap nasi.
Pembaziran makanan ini bukan sahaja terjadi kepada si pembeli, malah si peniaga juga kadang-kadang terpaksa membuang makanan yang tidak habis dijual ke dalam tong sampah.  Mungkin jika makanan itu masih dalam keadaan baik, boleh dipertimbangkan untuk ia diberikan kepada surau atau masjid untuk dijadikan juadah moreh atau minum malam golongan-golongan yang susah.
Pembaziran Masa
Ramai yang membazir masa di Bazar Ramadhan.  Terutama para remaja yang sekadar ingin berjalan-jalan di pasar tersebut.  Ada yang cuma hendak berjumpa dengan rakan-rakan atau mungkin juga ingin ‘mencuci mata’.  Yang dewasa juga kadang-kadang meluangkan masa sehingga sejam atau dua jam berjalan-jalan di Bazar Ramadhan bagi mencari makanan untuk berbuka puasa.  Kadang-kadang sudah dua pusingan berjalan, masih belum berjumpa lagi dengan juadah yang berkenan di hati.
Masa yang terluang itu dibazirkan begitu sahaja.  Sedangkan lebih baik masa itu diluangkan untuk berada di rumah bersama keluarga.  Diisi dengan ramah mesra dengan ahli keluarga atau sesi tadzkirah bersama keluarga.  Ataupun membaca al-Quran sehelai dua.  Perbuatan sebegini tentunya lebih melahirkan faedah yang banyak buat diri.
Pembaziran Tenaga
Hasil dari pembaziran masa, berlakulah juga pembaziran tenaga.  Disebabkan masa yang diluangkan untuk berjalan-jalan di Bazar Ramadhan terlalu lama, jadi banyak tenaga dibazirkan di situ.  Badan mudah menjadi letih dan ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada ibadah yang bakal yang dilakukan pada sebelah malam.  Sedangkan banyak lagi aktiviti yang lebih bermanfaat yang boleh dilakukan dari menggunakan tenaga yang ada untuk terlalu lama berada di Bazar Ramadhan.
Pembaziran Pahala
Seperti yang kita ketahui, Bazar Ramadhan selalu dihadiri oleh berbagai lapisan masyarakat dan kaum.  Mengikut pengalaman yang lepas, apabila hadir ke Bazar Ramadhan, cabaran untuk menjaga pandangan mata amat tinggi, terutama buat lelaki muslim.  Memang lumrah dan fitrah lelaki suka melihat wajah dan susuk wanita.  Jika gagal menjaga pandangan mata, maka terbazirlah pahala-pahala puasa Ramadhan begitu sahaja.
Ramainya orang di sana juga menyebabkan lidah juga kadang-kadang tidak terkawal.  Minda juga berfikir yang bukan-bukan.  Ditambah pula aktiviti berlanggar bahu antara lelaki dan perempuan yang kadang-kadang tidak dapat dielakkan.  Bukan itu sahaja, malah persentuhan kulit antara penjual dan pembeli yang bukan mahram juga selalu terjadi.  Pahala yang penat lelah sudah dikutip sejak pagi jatuh satu persatu diganti dengan dosa.
Si peniaga pula kadang-kadang untuk melariskan jualan, mulalah ‘menanam tebu di pinggir bibir’.  Cakap itu dan ini.  Sebahagiannya ada yang tidak benar.  Maka, terbazirlah pahala puasa si peniaga.
Justeru, para pembeli dan peniaga mesti hati-hati sungguh dalam bab ini.  Jika ingin ke Bazar Ramadhan untuk membeli keperluan untuk berbuka puasa, ya silakan.  Tetapi mesti ditundukkan pandangan mata, dijaga lidah dan lain-lain pancaindera.  Apabila semua keperluan sudah dipenuhi, keluarlah dari Bazar Ramadhan dengan segera supaya tidak berlaku pembaziran pahala.
Pembaziran Peluang
Ramadhan datang dalam setahun hanya sekali.  Disebabkan oleh ia datang sekali setahun, maka peluang untuk mengutip semua kebaikan di dalam bulan Ramadhan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Sayang sekali, ramai di kalangan penjual terlepas ibadah-ibadah sunnat yang utama kerana mereka terlalu menumpukan perhatian mereka kepada peluang untuk mendapat keuntungan di Bazar Ramadhan.  Peluang untuk mendapat pahala yang besar di dalam bulan Ramadhan seperti solat fardhu secara berjemaah khususnya pada waktu Asar dan Maghrib dibazirkan dan dilepaskan begitu sahaja.  Malah kadang-kadang amalan seperti membaca al-Quran dan berdzikir juga tidak dilakukan disebabkan oleh persiapan untuk berniaga yang dilakukan sejak dari pagi lagi.
Alangkah bagusnya jika para peniaga dapat mengambil cakna dalam hal ini.  Kita doakan agar mereka semua diberikan hidayah dan taufiq oleh ALLAH agar mempunyai sifat ingin berlumba-lumba untuk mengejar keuntungan di akhirat juga, bukan setakat keuntungan di dunia.
Jangan Membazir
Semoga dengan tulisan ini bisa menjadikan kita semua lebih berhati-hati tatkala berada di Bazar Ramadhan.  Janganlah kebaikan yang terdapat di Bazar Ramadhan itu memberikan keburukan buat diri kita, terutama dalam bab pembaziran.
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman yang maksudnya:  “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”  (Surah Al-Isyra’, ayat ke 27)
Pembaziran adalah perbuatan Syaitan.  Dan orang-orang yang terlibat dengan pembaziran adalah tergolong di dalam kalangan saudara kepada Syaitan.  Moga kita semua dijauhi dari sifat yang buruk ini, amin.
Ambillah peluang Ramadhan yang hanya hadir sekali dalam setahun ini sebaik-baiknya.  Janganlah kita bazirkan wang, makanan, masa, tenaga, pahala dan peluang berada di bulan yang mulia ini dengan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.  Mudah-mudahan kita semua bertaqwa, amin.

Tiada ulasan: