Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 14 Julai 2011

Fitnah : Al-Quran Berbaris Dan Tidak Berbaris

Al-Quran berusia 1400 tahun, tidak mempunyai baris

Baru-baru ini, sesetengah golongan menimbulkan isu mengenai al-Quran berbaris dan al-Quran tidak berbaris. Pada masa yang sama golongan ini mempersoalkan ketulenan al-Quran berbaris dengan melemparkan tohmahan tidak berasas bahawa al-Quran berbaris itu sudah diseleweng. Sungguh keras tohmahan itu, ia juga satu fitnah. Sungguh cetek juga pengetahuan golongan itu terhadap realiti. Isu ini ditimbulkan oleh golongan kafir yang cuba mencari kesalahan Al-Quran. Malangnya ada segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan hal ini.


Saya hanya boleh tersenyum kepada golongan ini, mereka mungkin tidak tahu dua jenis realiti. Satu, realiti sejarah dan satu lagi ialah ‘realiti sebab’.

Realiti Sejarah (Mengapa Disusun)

Dari sudut sejarah penyusunan ayat-ayat al-Quran, ia tidak perlu diterangkan secara panjang lebar di sini kerana umum yang celik sejarah Islam sudah mengetahui sejarah penyusunan itu dan mengapa ia dilakukan. Penyusunan al-Quran dibuat untuk memudahkan umat Islam membaca dan menghafal.

Bagaimanapun, kita hanya imbas sedikit mengenai sejarah penyusunan al-Quran sebagai maklumat kepada yang belum mengenali sejarah penyusunan mushaf al-Quran.

Ketika zaman kewahyuan dan kenabian Rasulullah, ayat-ayat wahyu yang diturunkan telah ditulis oleh para sahabat terutama Ali,Muawiyah, `Ubai bin K`ab dan Zaid bin Thabit,. Ayat-ayat suci itu pula ditulis di atas pelepah kurma, kulit binatang dan sebagainya. Ia ditulis bagi memudahkan umat pada ketika itu untuk membaca dan menghafal ayat-ayat yang diturunkan. Malah, ayat-ayat itu ditulis di hadapan Rasulullah sendiri oleh para sahabat, lazimnya pada ketika selepas wahyu diturunkan. Proses serupa itu berlarutan sehingga sejarah kewahyuan tamat apabila baginda wafat.

Al-Quran masih lagi di catatkan di atas kulit kayu di Afrika

Walaupun belum ditulis secara mushaf (bahasa mudahnya ialah dalam bentuk buku), al-Quran sebenarnya sudah sedia mushaf dalam ingatan umat Islam (para sahabat yang taat) ketika itu. Selepas kewafatan Rasulullah, ayat-ayat ini dikumpul semasa zaman khalifah-rasyidin.

Kerja pengumpulan dan merekodkan al-Quran dalam bentuk tulisan secara serius bermula ketika zaman kekhalifahan Abu Bakar yang begitu garang memerangi golongan murtad. Perang melawan golongan murtad juga menyebabkan sebilangan besar umat Islam yang menghafal al-Quran telah terkorban.

Kebimbangan terhadap bilangan penghafal al-Quran yang semakin berkurangan (ramai gugur syahid dalam memerangi golongan murtad) menyebabkan Umar yang risau dengan perkembangan itu telah berjumpa dengan Abu Bakar. Umar mencadangkan supaya al-Quran ditulis dan disusun dalam bentuk buku kerana para hafiz sudah ramai terkorban.

Abu Bakar pada mulanya menolak cadangan itu. Namun selepas khuatir melihat bilangan para penghafal yang ramai terkorban, maka difikir semula terhadap cadangan itu selepas beberapa kali dipujuk Umar. Abu Bakar kemudian bertemu Zaid bin Sabeit (Zaid adalah antara tahfiz terawal sejak tahun-tahun kenabian Rasulullah) dan menceritakan kebimbangannya kepada Zaid mengenai kemungkinan satu masa nanti sudah tiada lagi umat yang mengingati ayat-ayat al-Quran.

Quran kemudian ditulis di atas lembaran-lembaran dan diserah kepada Abu Bakar, kemudian pada tahun 13H iaitu setelah mangkat Abu Bakar, lembaran itu diserahkan pula kepada Umar. Sesudah mangkat Umar, diserahkan pula kepada anaknya iaitu Hafsah. Kemudian semasa kekhalifahan Uthman, lembaran itu diambil semula daripada Hafsah. Demikian serba ringkas mengenai sejarah penyusunan mushaf. Jika ingin mengetahui lebih terperinci mengenai sejarah penyusunan al-Quran, sila rujuk bahan yang berkaitan.

Bermula zaman khalifah Uthman, timbul pula masalah pembacaan al-Quran dalam pelbagai dialek Arab ketika itu. Maka, tiba masanya supaya al-Quran disusun sebutan dialeknya supaya tepat mengikut cara sebutan lidah Rasulullah dalam dialek Quraisy. Ia kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah dan diucapkan baginda dalam sebutan ‘asal’ mengikut lidah Rasulullah semasa ayat-ayat itu diturunkan. Rasulullah adalah ‘penerima wahyu al-Quran’, sedarlah realiti ini. Sebutan asal di sini pula bermaksud sebutan ayat suci seperti yang disebut oleh Rasulullah dalam dialek Quraisy kerana Rasulullah adalah seorang Arab dari kelompok Quraisy. Maka, kaedah sebutan (dialek) al-Quran dibuat mengikut cara ia disebut oleh Rasulullah, setiap perkataan perlu mengikut lenggok lidah Rasulullah dalam dialek Quraisy, ia perlu, kerana begitulah bunyinya (dari segi dialek) ketika ayat al-Quran keluar dari mulut Rasulullah semasa disampaikan Jibrail.

Realiti Sebab (Mengapa Mempunyai Baris)

Baris dapat mewujudkan sebutan yang seragam di seluruh dunia

Jika seseorang mempelajari hukum bahasa, dia sudah tentu tahu apa itu ‘fonetik’ atau ‘phonetic’ atau bahasa mudahnya ialah sistem ejaan mengikut bunyi dialek yang menggunakan simbol tertentu bagi mewakilkan ‘bunyi asal’ sesuatu perkataan itu. Sistem simbol bagi mewakilkan ‘sesuatu bunyi tepat’ itu juga harus dipelajari supaya ia boleh disebut dengan tepat mengikut dialek asalnya.

Baris-baris (fatahah, kasroh, dommah) dan simbol-simbol (sukun, syaddah dan sebagainya) diletakkan dalam mushaf bagi memberi penekanan ‘tone’ kepada sesuatu perkataan supaya ia tepat dengan dialek seperti yang diucapkan Rasulullah mengikut lidah dialek Quraisy. Ia juga bagi mewujudkan sebutan yang seragam, tidak pelbagai, iaitu sebutan bagi sesuatu ayat atau perkataan itu tepat dari segi sebutan dan maknanya.

Perletakan baris juga adalah untuk membantu bacaan supaya sebutan itu tepat dari segi dialek dan cara yang sepatutnya ia disebut. Sebelum mushaf diletakkan baris, al-Quran disebut, dilafaz dan dibaca dalam pelbagai dialek Arab. Namun selepas baris-baris diletakkan, ia membantu pembacaan supaya sebutannya menjadi standard mengikut dialek yang disebut oleh Rasulullah, seperti dilafaz oleh nabi semasa wahyu itu diturunkan.

Namun kalau kita merenung realiti ‘proses belajar’ membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa orang Arab sendiri perlu belajar mengenal baris sebelum dapat membaca al-Quran dengan betul. Ini realiti.

Walaupun al-Quran itu dalam bahasa Arab, namun orang Arab sendiri perlu belajar mengenal baris, perlu belajar mengeja mengikut baris, perlu mengenal hukum-hukum bacaan, perlu belajar tajwid sebelum dapat membaca al-Quran dengan betul. Ini juga realiti.

Ia juga bagi menjaga kesucian al-Quran itu sendiri. Orang Arab juga ada yang Kristian, tidak semua Islam. Jika orang Arab tidak perlu belajar membaca al-Quran, maka orang Arab beragama Kristian juga akan dapat memahami maksud al-Quran dengan mudah. Tapi, perkara ini (orang Arab Kristian membaca al-Quran dan mentafsir sesuka hati) akan dapat dikawal sekiranya diletakkan baris. Ini bemakna, orang Arab juga perlu belajar membaca al-Quran, perlu mengenal baris, perlu mengenal simbol dan perlu tahu setiap tone dalam menyebut sesuatu perkataan al-Quran bagi mendapatkan maksud yang tepat.

Semasa saya masih belajar (dalam negara), saya ada mengenali seorang pensyarah berbangsa Arab (rakyat Mesir) dan beberapa kali berkunjung ke rumahnya di kawasan kampus. Saya pernah berkata kepada pensyarah itu: “Senang ya orang Arab, tak perlu susah-susah belajar mengenal baris untuk belajar al-Quran.”

Tapi pensyarah saya balas: “eh.. orang Arab pun kena belajar kenal baris. kalau tak kenal baris, macam mana nak baca al-Quran? Baris itulah yang membezakan bahasa Arab dengan bahasa al-Quran.”

“cuba kamu pergi di bilik hujung itu (sambil menunjukkan jari). Cuba kamu dengar apa yang isteri saya sedang buat bersama anak saya,” kata pensyarah itu yang fasih berbahasa Melayu kerana sudah lebih 8 tahun mengajar di universiti tempatan tempat saya belajar dulu.

Saya pun pergi ke bilik hujung di rumah pensyarah saya itu dengan izinnya sendiri, saya dengar:

“.. Sa fataha, sa. Jim fataha, ja. Ha fataha, ha. Qho fataha, qho....” saya dengar isteri pensyarah sedang mengajar anaknya mengeja mengenal baris.

Jawapan balas daripada pensyarah dan pengalaman itu buat saya tersedar satu realiti, realiti terhadap kepentingan baris itu sendiri.Baris itulah yang membezakan bahasa Arab dengan bahasa al-Quran. Baris itu diletakkan bagi memelihara kesucian al-Quran itu sendiri. Ia adalah ciri unik dalam menjaga kesucian al-Quran.

Jika ada lagi yang masih semberono mengatakan al-Quran berbaris itu tidak tulen, dan mengatakan al-Quran yang asal itu tidak berbaris, maka fikir semula.

Al-Quran diturunkan secara lisan, bukan secara bertulisan. Maka di mana asasnya dakwaan pihak berkenaan mengenai al-Quran itu asalnya tiada baris sedangkan al-Quran itu diturunkan secara lisan, jika secara lisan, dari mana wujud pertikaian barisnya?

Al-Quran diletakkan baris bagi menjadikan sesuatu perkataan atau ayat itu mengikut cara sebutan yang diucapkan Rasulullah sepertimana ia diturunkan dan dilafazkan semasa Jibrail melakukan tugasnya menurunkan wahyu kepada baginda. Ia juga bagi memudahkan bacaan dalam sebutan yang betul, seterusnya memudahkan proses menghafal.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Quran, al-Hijr: 9)

Jika ada yang mempertikai baris al-Quran, cuba fikir semula dengan waras. Al-Quran itu dibukukan (mushaf) dengan baris-baris supaya mudah dibaca dan dihafal serta sebagai usaha dijauhkan dari tangan-tangan kafir yang sentiasa mahu mengubah isi kandungannya bagi menyesatkan akidah Islam. Juga supaya muncul generasi tahfiz, adalah lebih baik belajar menghafal al-Quran daripada mempertikaikan barisnya.

Golongan yang mempertikai baris al-Quran itu pula, adakah mereka hafal al-Quran? Atau sekadar tahu mempertikai dan hanya merujuk terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu sahaja? Jika merujuk terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu, memang benarlah al-Quran itu tiada baris, kerana bahasa Melayu memang tiada baris. Tetapi bahasa al-Quran diletakkan baris bagi menjaga ketulenan dan kesuciannya, ia juga bagi membezakannya dengan bahasa Arab yang difahami semua bangsa Arab tidak kira Arab Muslim atau Arab kafir. Jika diletakkan baris, ia hanya boleh dibaca oleh orang Islam yang tahu membacanya selepas belajar cara membacanya.

Kepada golongan yang mempertikai baris al-Quran, nasihat di sini ialah berkawanlah dengan semua orang, jangan taksub dengan fahaman sendiri yang sempit. Berkawanlah dengan semua orang supaya akan dapat banyak pengetahuan berguna, seperti pengalaman yang saya ceritakan tadi. Mohon maaf jika saya tersilap dalam menyampaikan maksud artikel ini. jika ada yang masih belum jelas, rujuklah kepada mereka yang lebih berilmu dalam hal ini. Saya hanya sekadar menyampaikan mengikut sudut pandangan yang saya fahami.

Allah lebih mengetahui terhadap segala perancangan-Nya dalam memelihara agama-Nya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

yes berkawan dgn semua! hehe