Beliau menyuarakan pandangan ketika ditemui selepas syarahan umum bertajuk 'Kuasa Penyembuhan Al-Quran Yang Menakjubkan' di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dekat sini semalam. Katanya pihak yang merasakan ‘suara permasalahan’ mereka tidak didengari, maka keutamaan adalah mendengar ‘suara’ Allah dan pesanan Rasulullah SAW.
“Dengan nama Allah dan Rasulullah SAW, saya rayu umat Islam di negara Islam yang paling indah di dunia ini agar jangan keluar berarak di jalan raya menuntut apa sekalipun. Sebaliknya sebarang permintaan perlu melalui cara bijaksana seperti mana diperintahkan Allah.
“Jumpa ketua dan beritahu masalah untuk dibincang, inilah yang diperlukan. Tetapi kalau membelakangi pemerintah, sama dengan meninggalkan Allah, Rasulullah SAW, al-Quran dan hadis. Keluar ke jalanan dipengaruhi dan dipandu oleh syaitan,” katanya.
Hujah kita begini:
Membaca kenyataan sebilangan pihak tertentu, bahawa kononnya demonstrasi adalah amalan yang bercanggah dengan Islam, terlintas di pemikiranku, sebuah buku tulisan Ustaz Rasul Dahri tentang demonstrasi yang bertajuk “demonstrasi adalah maksiat bukan jihad”
Didalam ulasan beliau, banyak mengkaitkan demosntrasi dengan tindakan golongan Khawarij yang telah melakukan pemberontakan terhadap khalifah ketika itu. Dengan alasan yang demikian, beliau mengistinbatkan bahawa demonstrasi adalah sesuatu yang maksiat kerana melawan kerajaan ketika itu.
Melihat kepada perbahasan ini, aku sebagai seorang yang tidaklah mempunyai ilmu yang banyak, tetapi, walaubagaimanapun, penilaian yang dapat dilakukan adalah, tafsiran dan pendedahan yang dilakukan oleh Ustaz Rasul Dahri itu menggambarkan bahawa dia tidak berpegang kaedah ;
الحكم على شئ فرع عن تصوره
Maksudnya;
“Hukum atas sesuatu adalah furuk (cawangan) dari gambarannya”
Ustaz Rasul Dahri meletakan sesuatu hukum, tanpa melihat kepada keadaan sesuatu benda yang hendak dihukumkan. Ekoran dari itu, hukum yang dijatuhkan itu menjadi ‘berat sebelah’ dan bersikap zalim.
Bertambah zalim lagi, buku ‘Demonstrasi adalah maksiat bukan jihad’ karangan beliau disebarkan di Malaysia. Ini kerana, suasana dan bentuk demonstrasi yang diadakan di zaman Khawarij dan di Malaysia adalah dua bentuk dan maqasid yang berbeza.
HAKIKAT DEMONSTRASI
Demonstrasi adalah satu kalimah inggeris yang diambil dari kalimah demonstration. Mengikut terjemahan melayu, Demonstrasi dimaksudkan dengan ‘perhimpunan tunjuk perasaan’.
Didalam Kamus Dewan Bahasa, Demonstrasi mengandungi dua makna. Pertama: penerangan, peragaan, penunjukan tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran dan lain-lain; Kedua: tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan lain-lain.
Melihat kepada dua makna tersebut, makna yang kedua adalah yang paling tepat dalam perbahasan kita ini.
Di dalam Bahasa Arab, Demonstrasi dipanggil dengan MUZHAHARAH. Di dalam perbahasan Islam, Islam membahagikan demonstrasi kepada dua bentuk, iaitu (1) demonstrasi liar dan (2) demonstrasi aman.
Demonstrasi liar adalah demonstrasi yang bersifat sekumpulan masyarakat di tempat-tempat umum untuk menuntut dan membantah perkara-perkara tertentu yang sudah menjadi tugas negara atau orang yang bertanggungjawab. Di dalam Demonstrasi ini, para penunjuk perasaan biasanya akan melakukan kerosakan, rusuhan, kemusnahan, membakar harta milik negara, harta umum ataupun harta individu.
Adapun Demonstrasi aman iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat untuk menyokong, menuntut dan juga membantah sesuatu. Tindakan ini tidak akan disertai aktiviti merosakkan, menghancurkan atau membakar harta benda negara, awam atau individu. Para penunjuk perasaan akan sentiasa memerhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara', nilai-nilai Islam dan kemaslahatan umat Islam. Mereka juga akan sentiasa menjaga adab-adab sebagai orang Islam.
ISLAM DAN DEMONSTRASI
Melihat kepada hakikat dua demonstrasi yang didedahkan, maka kita dapat menilai, yang mana satukah demonstrasi yang diharamkan dan demonstrasi yang dibenarkan didalam Islam.
Demonstrasi liar adalah sesuatu tindakan yang diharamkan didalam Islam, maka tafsiran dan qiasan yang dilakukan oleh Ustaz Rasul Dahri terhadap demonstrasi seperti demonstrasi yang di lakukan oleh Khawarij, maka itu adalah demonstrasi mengikut tafsiran yang pertama.
Adapun Demonstrasi aman, maka itu dibenarkan didalam Islam. Ini kerana, banyak bukti-bukti dan dalil-dalil yang menyatakan keharusannya. Antara dalil-dalil tersebut adalah seperti berikut;
a. Rasulullah SAW pernah melakukan demonstrasi aman di kota Makkah. Peristiwa ini terjadi setelah Nabi SAW diperintahkan oleh Allah Ta'ala supaya berdakwah secara terang-terangan. Baginda lalu memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua barisan menuju Ka'bah. Satu barisan dipimpin oleh Umar ibn al-Khattab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Dengan diiringi laungan takbir dan kalimah suci La ilaha illallah, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Ka'bah. Rasulullah sendiri berada di dalam kelompok tersebut memberi arahan.
b. Rasulullah SAW juga pernah menghimpunkan kaum Quraish di Bukit Safa untuk menyeru kepada mereka supaya beriman kepada Allah dan menjelaskan bahawa Baginda adalah Rasul yang diutus Allah kepada manusia.
c. Melihat kepada falsafah Haji, yang mana, Allah mengizinkan haji hanya dilakukan di Mekkah di hari-hari yang ditetapkan sahaja. Disamping mengerjakan haji, di suruh supaya melakukan tawaf dan bertalbiyyah sebagai cara hendak menyatakan hasrat hati dan ‘tunjuk perasaan’ didepan Allah.
Melihat kepada ‘istidlal’ ini, tidaklah Islam melarang Demonstrasi secara mutlak, seperti yang didakwa oleh Ustaz Rasul Dahri itu.
Sekiranya, cara non muslim sahaja menggunakan demonstrasi menjadi hujjah atas larangan berdemonstrasi, maka perlu difahami bahawa tidak semua perkara yang datang dari orang yang bukan Islam adalah di tolak, bahkan ada perkara yang datang dari bukan islam, di terima dan dibenarkan diamalkan didalam Islam, tetapi kebenaran tersebut, hendaklah berdasarkan kepada ketiadaan percanggahannya dengan nas-nas yang qatii dan yang lebih jelas.
Antara dalil mengatakan, tidak semua cara non muslim mesti di tolak adalah seperti berikut;
a. Sirah menjelaskan, ketika berlaku peperangan ahzab, Rasulullah SAW telah meminta pandangan dari kalangan sahabat supaya menyatakan pandangan-pandangan mereka. Lalu telah memberi pandangan oleh Salman Al-Farisi dengan menggali parit dengan alasan, taktik peperangan itu diamalkan oleh golongan Majusi (golongan yang menyembah Api) di Farsi ketika itu. Mendengar pandangan tersebut, Rasulullah menerimanya.
b. Di dalam sirah juga jelas menyatakan penerimaan Rasulullah SAW menjadikan golongan kuffar quraish yang ditawan dalam peperangan Badar, supaya menjadi guru-guru yang mengajar kepada anak-anak orang Islam di kala itu.
Dengan hujjah-hujjah ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, bahawa Islam tidak melarang melakukan demonstrasi yang aman, tetapi Islam melarang demonstrasi liar.
PERSOALAN YANG TIMBUL
Membaca buku ‘demonstrasi adalah maksiat bukan jihad’ karangan Ustaz Rasul Dahri itu, terlintas di pemikiran ini, apakah yang diingini oleh Ustaz Rasul Dahri. Ini kerana, buku itu disebarkan di negara ini.
Apakah Ustaz Rasul menganggap bahawa Malaysia pimpinan UMNO dan BN ini adalah kerajaan Islam seperti kerajaan Islam dibawah kepimpinan Saidina Osman?
Sekiranya itulah sangkaan Ustaz Rasul, maka jelas Ustaz Rasul telah tersasar dari jalan yang lurus, ini kerana, kerajaan Islam Hadhari Malaysia bukanlah kerajaan Islam mengikut metod dan bentuk kerajaan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan Khulafa ar-Rasyidin, bahkan ianya adalah kerajaan secular yang sesat dan menyesatkan.
Pembuktian ini jelas dari sandaran kerajaan bukanlah kepada al-quran dan al-hadis, tetapi sandarannya adalah perlembagaan persekutuan yang ditubukan oleh suruhanjaya red yang bernama lord red.
Adapun mengikut metod kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Rasulullah SAW, bahawa didalam perlembagaan Madinah itu ada tersebut;
انكم مهما اختلفتم فيه من شيء فان مرده الى الله عز و جل والى محمد – صلى الله عليه و سلم
Maksudnya;
“Sesungguhnya kamu, apabila kamu berbeza-beza padanya daripada sesuatu perkara, maka sesungguhnya, tempat kembalinya adalah kepada Allah dan kepada Muhammad s.a.w”(Lihat “Al-Bidayah Wa An-Nihayah” (3/232) : Al-Hafiz Abi Fida’ Ismail bin Kathir : Dar At-Taqwa : tanpa tarikh)
Wallahu a’lam.
Bahan Rujukan
1. Al-Fatawa : Dr Atiyyah Saqqar
2. Al-Fatawa Al-Maasirah : Dr Yusuf Al-Qaradhari
3. Al-Bidayah wa An-Nihayah : Imam Ibnu Kathir.
4. Dewan Bahasa dan Pustaka
5. Demonstrasi adalah maksiat, bukan jihad : Ustaz Rasul bin Dahri.
6. Utusan Malaysia.
1 ulasan:
fuhh..batu nisan memang pemikir moden btol.berdasarkan nas2 dan sumber2 yang mantop..terbaek..teruskan..=)
Catat Ulasan