Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 23 Julai 2011

Langit Atau Bumi Dicipta Terlebih Dahulu?






Ayat-ayat al-Quran ketika berbicara tentang isu ini memberikan maklumat yang secara zahirnya nampak seolah-olahnya bercanggah. Sebagai contoh, dalam ayat 27-30 surah an-Naziat, Allah mengatakan langit dicipta terlebih dahulu daripada bumi. Allah berfirman, “Kamukah yang sulit penciptaannya ataukah langit? Allah telah membangunnya. Dia meninggikan bangunannya lalu menyempurnakannya, dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya).”
Akan tetapi dalam ayat 29 surah al-Baqarah, Allah mengatakan bahawa bumi dicipta terlebih dahulu daripada langit. Allah berfirman, “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia berkehendak menuju ke arah langit lalu dijadikannya tujuh langit dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”
Ayat-ayat yang nampak bercanggah ini amat menggembirakan mereka yang ada penyakit di hati terutamanya dari kalangan musuh-musuh Islam. Namun bagi ulama Islam mereka tidak melihat ini sebagai suatu percanggahan. Sebaliknya, bagi mereka, ayat-ayat ini menceritakan tentang dimensi langit yang berbeza yang melibatkan proses kejadian di peringkat yang berbeza.
Dalam al-Asas fit Tafsir, as-Syeikh Said Hawa mengutarakan satu pandangan yang menarik berhubung isu ini. Ketika memberi komen tentang ayat 22-29 dalam surah al-Baqarah, beliau berkata, “Dalam ayat-ayat ini kalimat langit (iaitu samaa’ dalam bahasa Arab) disebutkan sebanyak empat kali, iaitu ‘(menjadikan) langit sebagai bangunan’, ‘Dia menurunkan hujan daripada langit’, ‘Dia menuju ke langit’ dan ‘Dia menjadikan tujuh langit’. Pada pandangan saya, langit dalam ayat yang pertama berkaitan dengan penciptaan langit secara umumnya. Langit dalam ayat kedua berkaitan bahagian atmosfera yang terdekat dengan bumi yang terdapat awan-awan padanya. Langit dalam ayat ketiga mempunyai maksud yang sama dengan ayat yang pertama. Adapun ayat yang keempat yang berkaitan dengan kejadian tujuh lapis langit, ia merupakan langit yang khusus.. Apabila kita kaitkan kesemua ini dengan ilmu moden, kita diberitahu bahawa galaksi-galaksi, dan sistem solar hanyalah sebahagian daripadanya, berumur lebih kurang 10 bilion tahun dan bumi serta matahari berumur lebih kurang 4.5 bilion tahun. Ia bermaksud langit dicipta terlebih dahulu daripada bumi. Justeru sebahagian daripada kita berasa terkejut apabila diberitahu bahawa al-Quran mengatakan bumi dicipta terlebih dahulu daripada langit. Sebenarnya al-Quran mengatakan bumi dicipta terlebih dahulu jika dibandingkan dengan penciptaan tujuh lapis langit yang khusus. Namun jika dibandingkan penciptaan bumi dengan penciptaan langit secara amnya, sudah pasti penciptaan bumi berlaku selepas penciptaan langit.”
Kenyataan Said Hawa menunjukkan ayat-ayat al-Quran berhubung dahulu atau kemudiannya kejadian langit dan bumi sebenarnya tidak bercanggah antara satu dengan lain. Hal ini disebabkan kejadian langit mempunyai fasa-fasanya. Ada fasa yang berlaku sebelum kejadian bumi dan ada yang berlaku selepas itu.
Dalam konteks ini, pandangan Imam Alusi sememangnya relevan kerana beliau berkata, “(Apa yang boleh difahami ialah), langit sebenarnya dicipta sebelum bumi. Bumi dicipta selepas penciptaan langit. Selepas itu barulah berlaku penciptaan tujuh lapisan langit. Kemudian selepas itu barulah lahir logam-logam serta tumbuh-tumbuhan diikuti dengan alam haiwan dan disusuli dengan alam manusia ..” Pandangan Imam Alusi ini dinukilkan oleh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir.
Justeru, berdasarkan al-Quran, langit dicipta terlebih dahulu berbanding bumi. Hal ini adalah berdasarkan kenyataan Allah dalam ayat 30 surah an-Naziat yang bermaksud, “Dan bumi sesudah (langit dibangunkan) dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya).” Penciptaan langit berlaku lebih daripada 10 bilion tahun dahulu selepas ledakan Big Bang. Selepas ledakan itu lahirlah bintang-bintang, planet-planet dan galaksi di langit atau kosmos. Proses ini disusuli dengan proses kejadian bumi lebih kurang 4.5 bilion tahun dahulu. Suhu bumi ketika itu berada di tahap yang amat tinggi justeru tidak sesuai untuk dihuni oleh sebarang hidupan. Selepas itu proses penyejukan berlaku dan dengan itu gas-gas dihasilkan terutamanya karbon dioksida, nitrogen dan air. Gas-gas ini menjadi asas kepada kejadian langit atmosfera yang melitupi bumi. Proses kejadian atmosfera ini bermula lebih kurang sejuta tahun selepas kejadian bumi dan atmosfera pula mempunyai tujuh lapis. Hal ini dilaporkan di physicalgeography.net oleh Dr. Michael Pidwirny daripada Universiti British Columbia Okanagan di bawah tajuk The Universe, Earth, Natural Spheres, And Gaia. Justeru, ayat-ayat al-Quran yang menyatakan bahawa langit dicipta selepas penciptaan bumi boleh dikaitkan dengan proses penciptaan atmosfera ini.
Tambahan daripada itu, aktiviti penciptaan di langit tidak ada noktahnya. Sebagai contoh, proses kejadian bintang-bintang baru terus saja berlaku walaupun kejadian bumi telah sampai ke tahap kesempurnaannya. Sebagai contoh, pada tanggal 7 Januari 2000, Science Daily melaporkan bahawa NASA, melalui Hubble Space Telescope, berjaya mengesan kejadian bintang-bintang baru yang dikenali sebagai NGC 4214 di galaksi yang berdekatan. Justeru, kenyataan bahawa langit dicipta selepas penciptaan bumi sememangnya berasas apabila dikaitkan dengan proses-proses ini.
KRONOLOGI KEJADIAN ALAM
Para saintis pada hari ini sering kali bertanya, “Apakah yang sebenarnya berlaku selepas ledakan Big Bang?” Justeru sebahagian mereka cuba menyusun satu bentuk kronologi berhubung perkara ini. Selepas mengkaji pandangan-pandangan mereka, saya mengolah dan menyusun semula kronologi itu mengikut enam fasa.
Fasa Pertama (Ledakan dan Pengembangan) – Peringkat ini bermula daripada saat ledakan Big Bang sehingga berlalu masa 0.000000000000000000000000000000001 saat. Kosmos ketika itu melalui proses pengembangan yang amat laju. Ia berkembang daripada ukuran sebesar atom kepada ukuran sebiji buah nangka dalam masa yang teramat singkat, iaitu, kurang daripada satu per sebilion saat dalam keadaan suhu yang mencecah 10 kuasa 27 darjah Celsius. Dalam masa yang singkat angkasa dipenuhi elektron dan quarks.
Fasa Kedua (Penyejukan dan Kelahiran Nukleus) – Di peringkat ini masa berlalu lebih kurang tiga minit. Suhu, yang di peringkat sebelumnya berada di tahap yang amat tinggi, melalui proses penyejukan dan turun ke paras 10 kuasa 8 darjah Celsius. Keadaan ini memungkinkan quarks bercantum sesama sendiri dan bertukar menjadi proton dan neutron. Percantuman proton dan neutron melahirkan nukleus dan proses kelahiran nukleus ini menjadi asas kepada kelahiran atom hidrogen dan helium kemudiannya. Oleh kerana atom belum lagi wujud di peringkat ini kosmos berada dalam keadaan yang gelap gelita.
Fasa Ketiga (Kelahiran Atom) – Fasa ini memakan masa lebih kurang 300,000 tahun. Di peringkat ini elektron bercantum dengan proton serta neutron dan dengan itu lahirlah atom-atom, terutamanya, atom-atom hidrogen dan helium. Kelahiran atom-atom ini menjadi titik permulaan kepada kelahiran cahaya di kosmos. Suhu ketika itu mencecah lebih kurang 10,000 darjah Celsius.
Fasa Keempat (Asap dan Kelahiran Galaksi Serta Bintang) – Fasa ini bermula 300,000 tahun sehingga lebih kurang 1 bilion tahun selepas Big Bang. Di peringkat ini tarikan graviti menyebabkan gas-gas hidrogen dan helium bercantum sehingga melahirkan gumpalan-gumpalan asap raksasa. Daripada gumpalan-gumpalan asap ini lahirlah galaksi. Adapun gumpalan-gumpalan asap yang kecil, ia berperanan melahirkan bintang-bintang.
Fasa Kelima (Percantuman Galaksi, Kelahiran Big Hole, Supernovae dan Matahari) – Fasa ini memakan masa daripada 1 bilion tahun hingga 9 bilion tahun selepas ledakan Big Bang. Di peringkat awal fasa ini galaksi-galaksi bercantum antara satu sama lain. Proses cantuman ini berlaku dengan dahsyat sekali sehingga menyebabkan kemusnahan sebahagian bintang. Bintang-bintang yang hancur bersama-sama dengan gas yang terhasil terhumban ke suatu pusat dan dengan itu menghasilkan satu lubang yang teramat padat (very dense) tanpa mempunyai isi padu (with no volume).
Lubang ini mempunyai tarikan graviti yang teramat kuat dan dikenali sebagai lubang hitam atau black hole. Apa saja yang memasukinya, termasuk cahaya, tidak mampu keluar daripadanya. Gas-gas yang disedut oleh lubang hitam ini berada di tahap suhu yang amat tinggi sehingga mengeluarkan cahaya yang terang benderang yang, pada hari ini, dikenali sebagai quasars. Selepas ia memasuki lubang hitam ia lenyap selama-lamanya.
Di peringkat ini proses kehancuran bintang-bintang berlaku dengan pesatnya. Proses kehancuran ini melahirkan ledakan yang amat dahsyat yang dikenali sebagai supernovae. Ledakan ini mengeluarkan elemen-elemen seperti oksigen, karbon, nitrogen, kalsium dan besi ke angkasa raya. Di samping itu ia juga mengeluarkan elemen-elemen berat seperti emas, perak, uranium, plumbum (lead) dan yang seumpamanya. Kesemua ini menjadi asas untuk melahirkan galaksi-galaksi baru. Di penghujung fasa ini (lebih kurang 5,000 bilion tahun dahulu) lahirlah matahari dan sistem solar.
Fasa Keenam (Kejadian Bumi dan Atmosfera dan Permulaan Hidupan) – Fasa ini bermula lebih kurang 9 bilion tahun selepas ledakan Big Bang, iaitu 4.5 bilion tahun dahulu. Di peringkat ini bermulalah kejadian bumi dan atmosfera yang berhubungan dengannya. 1 bilion tahun selepas itu (lebih kurang 3.5 bilion tahun yang lepas) lahirlah hidup-hidupan yang pertama di atas bumi. (Parker, Barry R., The Vindication of the Big Bang: Breakthroughs and Barriers, New York: Plenum Press, 1993; NOVA Science Programming On Air and Online, Public Broadcasting Service (PBS) History of the Universe, http://www.pbs.org/wgbh/nova/origins/univ-nf.html)
Apabila ayat-ayat al-Quran berhubung kejadian langit dan bumi ini dikaitkan dengan penemuan semasa, kita akan mengagumi ayat-ayat ini kerana ia menceritakan tentang fasa-fasa kejadian langit dan bumi secara sistematik. Justeru, Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata, “Memang jelas sekali al-Quran menetapkan penciptaan galaksi-galaksi (di langit) berlaku terlebih dahulu daripada bumi. Ini merupakan sebahagian daripada mukjizat yang menunjukkan bahawa al-Quran datang daripada Allah.”

Tiada ulasan: