Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 1 Julai 2011

Ada Apa Dengan Ambiga?

Saban hari media perdana negara kita yang masih di bawah ketiak BN memomokan bahawa Perhimpunan Bersih 2.0 adalah haram yang bakal mencetuskan kacau-bilau yang maha dahsyat. Perhimpunan yang belum lagi dilaksanakan itu digambarkan dalam bentuk yang hodoh, kotor dan jijik seolah-olah seperti di Mesir ataupun Syria. 


Tak cukup dengan laporan berat sebelah, Pengerusi Bersih itu sendiri dihentam bertalu-talu. Di antaranya, Ambiga dilaporkan sebagai seorang yang beragama Hindu dan anti Islam, menjadi peguambela kepada seorang wanita Islam yang murtad iaitu Lina Joy, pendukung dan penggerak IFC ( Interfaith Commision) dan lain-lain lagi.
Dari satu sudut, mungkin kita boleh bersetuju dengan dakwaan seperti itu jika ianya benar. Tetapi, itu semua bukan pokoknya kerana ia boleh dibincangkan kemudian dalam platform yang lain. Isunya sekarang bukan Ambiga tetapi ia mengenai tuntutan rakyat yang mahukan pilihanraya yang adil dan bersih. Saya nak bertanya kepada individu yang mempertikaikan latar belakang Ambiga. Jika yang menggerakkan Bersih 2.0 ini adalah individu lain yang beragama Islam, adakah anda akan menyokongnya? Saya rasa tidak!
Bersih 2.0 adalah mengenai kebebasan dan keadilan
Perhimpunan Bersih 2.0 ini adalah menifestasi rakyat tentang ketidakpuasan hati dengan sistem pilihanraya sekarang yang tidak adil dan bersih. Ia bukan sama sekali bertujuan untuk menjatuhkan parti pemerintah melalui jalanraya seperti di Mesir. 
Rakyat  yang menyokong pembangkang mahukan pilihanraya yang adil dan tidak mempunyai unsur-unsur penyelewengan. Jadi, apabila Bersih 2.0 digerakkan, maka rakyat yang merasakan pilihanraya masih tidak adil akan menyokongnya walaupun yang menggerakkannya adalah individu yang bernama Ambiga.
Keadilan tak mengenal siapa anda
Harus ditekankan bahawa perhimpunan ini bukan tentang Ambiga tetapi ia mengenai keadilan. Kerana itu, persoalan tentang siapa Ambiga bukan lagi maudu'.
Sewajarnya, kita harus merenung semula kisah bagaimana Saidina Ali terpaksa akur dengan keputasan hakim agar menyerahkan baju besi miliknya kepada seorang pencuri yang berbangsa Yahudi. Ramai yang mengetahui kisah yang masyhur ini. Kerana kegagalan Saidina Ali mengemukakan bukti yang kukuh mengatakan Yahudi tersebut telah mencuri bajunya, maka beliau tewas dengan keadilan yang tidak berpihak kepadanya.
Jika bangsa dan agama dijadikan sandaran, maka tiadalah makna keadilan dalam perbicaraan itu. 
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Maidah, ayat 8 :
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. 
Begitu jugalah dalam hal menuntut keadilan dalam pilihanraya yang bersih ini. Jika bangsa dan agama dijadikan justifikasinya, maka anda sendiri telah mengotori keadilan yang menjadi teras syiar Islam.

Tiada ulasan: