Islam tidak pernah menghalang sesuatu yang merupakan fitrah. Tetapi Islam memberikan garis panduan agar kehidupan mereka terpelihara daripada kerosakan dan menjamin keamanan mereka.
Cinta yang didorong oleh rasa takut kepada ALLAH akan membawa kebaikan dan kebahagian kepada manusia. Sebaliknya cinta yang berlandaskan nafsu tidak akan kekal. Malah akan menyebabkan manusia rasa gundah gulana dan kecewa. Cinta yang sejati dan agung hanyalah untuk ALLAH.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman: Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka." – Riwayat al-Bukhari.
Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak. Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu.Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu al-Mughirah bin Syu'bah. Beliau memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Rujuk al-Tirmizi: 1087. Diklasifikasikan sebagai hasan oleh al-Nasai).
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah." – Riwayat Ibn Majah dan diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Busoiri dan al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah: 624.
Al-Sindi r.h berkata:
"Hadis itu boleh merujuk kepada dua orang atau lebih. Maksudnya, jika timbul perasaan cinta antara dua manusia yang berlainan jenis, cinta itu tidak akan bertambah atau bertahan lama tanpa ikatan perkahwinan. Jika terjadi perkahwinan atas dasar cinta itu, ia akan bertambah kuat dari hari ke hari. " (Rujuk: Nota kaki Sunan Ibn Majah).
Konsep cinta dalam Islam sangat unik, iaitu menyintai sesuatu atau seseorang hendaklah kerana mencari keredhaan ALLAH dan menurut peraturan syarak. Islam mengajar kita bahawa perkahwinan adalah ikatan yang suci, tepat dan satu-satunya cara yang dibenarkan oleh syarak dalam menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita.
Jika seorang lelaki benar-benar ingin mengambil seorang wanita menjadi isteri, dia perlu melihat wanita itu dengan keizinan wali dan ditemani mahram.
Sabda Rasulullah s.a.w melalui hadis Ibn Abbas r.a:
"Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya." – Riwayat al-Bukhari.
Berhubung dengan batasan aurat bakal isteri, jumhur ulama berpendapat, hanya dibolehkan melihat wajah dan kedua tangan hingga ke pergelangan. Al-Auza'i berpendapat, dibolehkan melihatnya kecuali aurat, Ibn Hazm berkata, boleh melihat bahagian depan dan belakang wanita itu.
Menurut Ibn Qayyim, terdapat salah satu riwayat Imam Ahmad yang membenarkan bakal suami melihat apa yang zahir daripada tubuh bakal isteri seperti leher, betis dan sebagainya. Pendapat ini dipersetujui oleh Ibn Qudaamah dan al-Hafiz Ibn Hajar r.h. (Tahziib al-Sunan, ms: 25 – 26, al-Mughni, jil: 7, ms: 454 dan Fath al-Baari, jil: 11, ms: 78).
Antara pendapat ulama tentang batasan aurat bakal isteri ialah:
Menurut Imam Syafie, tidak boleh melihat wanita yang ingin dikahwini tanpa menutup kepala (memakai hijab). Dia boleh melihat wajah dan tangan hingga ke pergelagan sama ada dengan keizinan atau tanpa keizinannya. (Al-Haawi al-Kabiir, jil: 9, ms: 34).
Imam al-Nawawi berpendapat dalam Raudhah al-Tolibin dan 'Umdah al-Muftin, jil: 7, ms: 19 – 20, sunat melihat bakal isteri agar seorang lelaki itu tidak menyesal setelah berkahwin dengannya… dibolehkan melihat berkali-kali dengan izinnya atau tanpa keizinannya. Jika masih tidak berpuas hati, dia dibenarkan mengutus wanita lain untuk melihatnya dan menerangkan sifat-sifat wanita itu kepadanya. Wanita juga dikehendaki melihat bakal suami agar apa yang disukai oleh bakal suami, disukai juga oleh dirinya terhadap bakal suami itu.
Abu Hanifah pula berpendapat, dibolehkan melihat wajah, tangan dan kaki. (Bidayatul Mujtahid wa Nihaayatul Muqtasid, jil: 3, ms: 10). Pendapat ini juga dipersetujui oleh Ibn Rushd.
Jumhur ulama membenarkan melihat wajah dan tangan kerana wajah merupakan sumber kecantikan seorang wanita dan tangan pula boleh menggambarkan tubuhnya sama ada langsing atau sebaliknya.
Berhubung dengan percintaan sebelum kahwin yang banyak berlaku di banyak Negara Islam diambil dari budaya barat, ia mempunyai banyak kesan negatif berbanding positif. Dalam Islam, lelaki dan wanita yang tidak ada sebarang pertalian darah (mahram) tidak boleh membuat sebarang perhubungan, sentuhan, keluar berdua-duaan (dating) atau sebagainya tanpa ikatan yang sah. Sudah banyak pengalaman orang-orang terdahulu mengajar kita betapa cinta yang berlandaskan keinginan nafsu tanpa panduan syarak gagal di pertengahan jalan.
Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu. Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Mereka juga mula menyedari bahawa pasangannya itu bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah boleh dikatakan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian.
Cinta yang berpandukan kecintaan kepada ALLAH akan membahagiakan hati manusia dan menenangkan jiwa mereka. Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab ALLAH. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka.
Kesimpulannya, ingatlah bahawa syaitan sentisa menghiasi indah sesuatu maksiat. Padahal ia amat keji di sisi ALLAH. Orang yang bercinta selalu lupa diri kerana telah terikut jalan syaitan. Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan ALLAH memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-NYA.
1 ulasan:
erm
cinta tetap cinta
sebelum atau selepas nikmat cinta yg tulus tetap terasa andai ada keikhlasan
Catat Ulasan