Lihat sahaja apa-apa yang berlaku dalam kes video lucah. Mufti-mufti sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mendedahkan aib seseorang itu dosa besar.
Apa yang berlaku? Ada pihak yang muat turun video itu di Youtube. Banyaklah yang menyalinnya ke blog. Surat khabar pun siar juga. Tv pun ikut sama. Benda itu menjadi seolah-olah halal ditonton. Yang turut menonton ialah remaja dan kanak-kanak. Kita mengajar mereka menonton bahan lucah.
Video yang didakwa hanya ada satu tiba-tiba boleh muncul dua kali di Youtube. Jika kita menerimanya ada satu sahaja, sudah pastilah pihak yang menyimpannya tidak amanah. Jika dakwaan tentang satu-satunya hanya penipuan, kita terpaksa terima video itu wujud dalam kuantiti yang lebih daripada satu. Kemungkinan besar video ini banyak terdapat di pasaran gelap. Kebetulan pelakunya mirip orang yang kena tuduh. Maka merebaklah fitnah yang dicanang oleh musuh yang sememangnya ternanti-nanti masa dan ketikanya untuk menjatuhkan kredibiliti individu itu. Lalu terhumban ke tepilah semua hukum-hakam tentang tuduhan zina.
Disoroklah fakta tentang keperluan kepada empat saksi berwibawa untuk membuktikan kes itu. Semua enggan menyebutnya. Yang terus ditonjol dan diperkatakan ialah orang dalam video itu Anwar Ibrahim. Tetapi perut boroi menunjukkan bukan Anwar. Potongan rambut menunjukkan bukan Anwar kerana besoknya rambut Anwar lebat. Tak ada janggut pun menunjukkan bukan Anwar kerana semasa ke mahkamah besoknya dia bermisai dan berjanggut. Apabila video kedua dipertontonkan, ternyata parut bedah belakang tak ada pada tubuh orang itu yang dengan sendirinya bukan Anwar.
Sesudah banyak benda bukan Anwar ada dalam video itu, pendakwa tergamak meminta orang didakwanya bersumpah laknat bersamanya di masjid. Hukum mana pula yang dia pakai? Kita yang rasional menganggap orang ini sudah tidak berdaya untuk mempertahankan pembohongannya. Sumpahlah yang dijadikan alat untuk menyelamatkan diri. Persetankanlah hukum yang tertulis dalam al-Qur'an. Masih Islam lagikah seseorang yang dengan beraninya mengkesampingkan hukum Allah?
Kembalilah kepada Islam. Bawa sahaja ke mahkamah syariah. Biar mereka yang tentukan. Janganlah menghukum saudara sendiri dengan fitnah yang meruntuhkan ketamadunan itu. Kuasa tidak boleh berdiri dengan kelucahan dan fitnah. Buatlah yang Allah suruh. Tinggalkanlah yang Allah larang. Susah sangatkah? Hidup bukan di dunia sahaja. Biarlah hidup kita yang kekal selama-lamanya itu tersisih dari api neraka. Amin!!!
1 ulasan:
Entah la... X dapat nak cakap apa2... Hari nie...
myetech9[dot]com @ Enchik Nine
Catat Ulasan