Perjumpaan komuniti Islam yang terdiri daripada warganegara Amerika berkulit hitam (majoriti di Harlem) dan kulit putih, penduduk berketurunan Arab, Pakistan serta imigran-imigran itu kerap diadakan di Blok 116th Street di Harlem. Ia diadakan secara perkongsian pendapat melalui penelitian masing-masing terhadap perkembangan dunia.
Ia adalah perjumpaan ilmiah yang diadakan secara profesional serta menolak sikap membangga diri dengan pendapat sendiri. Mereka sedar, membangga diri tidak akan menguntungkan sesiapa. Pendapat sendiri tidak semestinya tepat, pendapat orang lain pula tidak semestinya salah. Titik pertemuan harus dipertemukan dalam setiap percambahan idea.
Meskipun di kebanyakan blok penempatan di New York menghadapi tekanan hebat daripada puak anti-Islam, komuniti Islam di Harlem bagaimanapun masih selesa beribadah, berbincang dan berjiran tanpa masalah serius. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka adalah contoh komuniti Islam antara yang terbaik di seluruh Amerika. Komuniti bukan Islam di Harlem juga selesa hidup berjiran dengan komuniti Islam.
Maka dengan itu, setiap perjumpaan tertutup yang hanya dihadiri penduduk beragama Islam, amat jarang menimbulkan suasana ketegangan oleh penduduk bukan Islam di sana. Ia membolehkan penduduk Islam berbincang dalam bilangan yang ramai mengenai apa sahaja topik melibatkan masa depan agama Islam.
Ia termasuk berbincang mengenai WW3 yang kelihatan lebih berat ke arah peperangan akidah melebihi peperangan ideologi kemanusiaan atau politik semata sebagaimana permukaan dua siri perang dunia yang lalu.
Satu pertiga daripada komuniti Islam yang masih belia dan pertengahan umur di Harlem mempunyai kelayakan pendidikan tinggi. Meskipun ijazah pertama, skrol sarjana atau ijazah kedoktoran falsafah bukanlah penentu kejayaan di dunia atau akhirat, tetapi ia membantu komuniti ini berfikir secara kritikal semasa hidup di dunia. Idea yang lahir juga mencakupi pemerhatian terhadap seluruh aspek yang memandu ke arah kebarangkalian tercetusnya peperangan besar.
Sebilangan mereka juga ada pandangan tersendiri mengenai ‘kebangkitan Islam’ dari ‘arah itu’ iaitu arah yang sama di ‘tempat ia disempurnakan’. Melalui pendapat mereka, kepimpinan Islam tidak bangkit semula dari mana-mana arah lain, melainkan di tempat ia disempurnakan. Kita simpan dahulu persoalan ini. Kembali kepada 2012 yang dikatakan bakal berlaku peperangan besar. Sebahagian kecil sisi pencernaan juga diambil sedikit daripada seminar-seminar sekitar Harlem.
--
Input-Output: Ringkas
‘Paksaan’ supaya melancarkan propaganda perang
PERLAKSANAAN kerjasama Amerika mengadakan latihan perang bersama Korea Selatan menimbulkan ketegangan di rantau sebelah sana. Antara yang tegang ialah Korea Utara, Korea Selatan sendiri, Jepun, China dan jiran-jiran mereka yang mungkin terkena tempias peperangan. Masing-masing mahu menjaga kepentingan dan keselamatan masing-masing, ia biasa.
Kisah di sebalik tirai besi Korea Utara pula, Pyongyang semakin kerap mengeluarkan kenyataan propaganda kepada rakyatnya melalui media tunggal supaya bangkit mempertahankan kedaulatan di rantau sebelah sana. Keberadaan propaganda di Korea Utara pula semakin menghimpit risiko untuk tercetusnya perang dalam skala kecil. Dalam kebanyakan taktik peperangan yang bakal disertai Amerika, ia seharusnya bermula dengan sekecil-kecil sebab untuk mencetuskan sebesar-besar kesan.
Amerika dan angkatan Allied semakin galak mengeluarkan kenyataan propaganda kononnya negara kuasa besar itu bersama sekutunya berada dalam tekanan dan berhadapan risiko diserang Korea Utara. Ia kelihatan umpama seekor gajah yang ketakutan melihat tikus. Pyongyang dilihat umpama tikus oleh Washington. Tikus itu boleh sahaja dipijak oleh sang gajah tanpa masalah. Amerika sengaja menunjukkan kebimbangannya diancam Pyongyang.
Ia dikuatkan lagi dengan propaganda Washington bahawa Pyongyang mungkin sahaja menggunakan senjata nuklear sebagai menunjukkan kedegilannya. Bagi pihak Pyongyang, amaran mengenai penggunaan senjata nuklear juga sudah beberapa kali dikeluarkan sejak beberapa tahun lalu.
Pyongyang membuat kesilapan kecil berhubung kenyataan itu dan Washington memanipulasi kenyataan yang dikeluarkan Pyongyang. Ia kini dilihat berada dalam fasa pertembungan propaganda. Pihak yang bijak memanipulasi propaganda akan menjadi juara petualang (pencetus) dalam peperangan ini. Dalam kes ini, Washington memainkan peranan secara ‘sembunyi tangan’ dalam manipulasi untuk meraih sokongan dalam kempen perang kali ini. Manakala Seoul pula dijadikan ‘keju’ untuk memerangkap tikus. Ia sama ada keju itu sempat diratah oleh sang tikus atau tidak, gajah tidak akan rugi apa-apa. Tikus mesti dipaksa untuk mengamuk demi survival meskipun keju terpaksa dikorbankan. Gajah pula akan melompat-lompat ‘ketakutan’ memusnahkan setiap yang dipijaknya semasa tikus-tikus mengamuk. Gajah akan dilihat oleh Eropah seolah-olah ia takut kepada tikus, ia juga dilihat seperti memerlukan bantuan bagi menangani tikus.
Situasi tegang antara Seoul dengan Pyongyang menimbulkan kebimbangan kepada jiran-jiran mereka terutama Jepun dan China kerana khuatir terkena tempias. Namun, matlamatnya bukan untuk mengheret Pyongyang ke kancah perang. Ia dilihat lebih kepada langkah untuk mengheret Beijing ke dalam kancah ini. Mengheret negara terbesar dunia untuk mewujudkan keadaan perang yang lebih besar. Bagaimana? Begini di permukaannya.
Keberadaan kapal-kapal perang Washington dan Seoul di perairan Korea Selatan mendorong Pyongyang untuk mengintip. Melakukan intipan, ia adalah prosedur biasa bagi setiap negara yang merasakan dirinya seolah diancam. Dalam intipan ini, Pyongyang dilaporkan menugaskan beberapa kapal selam untuk mengawasi perairan Korea Utara. Pada masa yang sama, beberapa buah kapal selam milik Seoul dan Washington juga dilapor berlegar di sekitar perairan Korea Selatan bagi menjayakan latihan perang mereka. Masing-masing berjaga-jaga.
Selain itu, Beijing juga menugaskan kapal selam untuk mengawasi perairan China sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan. Begitu juga dengan Tokyo. Apa yang kita faham melalui situasi ini? Dalam psikologi perang, sesebuah pihak akan bertindak menahan, menawan atau menyerang sekiranya sempadannya diceroboh pada ketika berlakunya keadaan tegang. Keadaan seumpama itu memang sedang berlangsung di rantau sebelah sana.
Serangan akan tercetus apabila salah sebuah kapal-kapal itu memasuki perairan pihak lain sama ada secara sengaja atau tidak. Ia mungkin berlaku secara terpaksa tanpa menunggu arahan pihak atasan untuk melakukan serangan, atau berlaku seperti diarahkan. Menjaga kedaulatan masing-masing adalah tujuan utama dalam mengukuhkan pertahanan atau melakukan serangan.
Ada beberapa pendapat mengatakan bahawa ketegangan melibatkan Pyongyang, Seoul, Beijing dan Tokyo hanya akan berakhir apabila latihan perang itu tamat dalam tempoh beberapa bulan lagi. Namun, ia sebenarnya pendapat yang meleset jika dinilai melalui psikologi peperangan.
Pyongyang, Seoul, Beijing dan Tokyo akan terus melakukan pengawasan sempadan perairan masing-masing dengan tingkat yang lebih tertekan meskipun selepas Amerika menamatkan latihan perang bersama Seoul. Kedatangan Amerika ke Seoul tidak lebih daripada hanya meninggalkan ‘masalah’ di sana. Masalah yang semakin merencatkan hubungan Seoul-Pyongyang dan Beijing-Tokyo serta Pyongyang-Tokyo. Ia adalah matlamat yang amat diharapkan Amerika.
Namun, bagaimana pula dengan kedatangan angkatan Amerika ke Malaysia yang juga untuk melakukan latihan bersama? Simpan dulu soalan ini. Kita fokus kepada kes Seoul dan Pyongyang yang boleh mengheret Beijing ke dalam kancah yang lebih besar.
Kesan yang akan timbul di Pyongyang, Seoul, Beijing dan Tokyo adalah berlakunya trend tiupan propaganda secara rasmi atau tidak rasmi. Ia berlaku apabila wujud satu kesan advantage daripada situasi sebelumnya. Advantage itu ialah PANIK. Ketegangan dan panik yang timbul di kalangan rakyat negara berkenaan serta kelompok-kelompok tertentu dalam angkatan ketenteraan masing-masing akan mendorong kepada perkembangan propaganda yang lebih menimbulkan konflik. Propaganda untuk sekurang-kurangnya berjaga-jaga dengan tindakan pihak yang dianggap musuh bagi menghadapi peperangan, tercetus hasil daripada panik. Panik yang menghampiri paranoia. Paranoia yang menuntut tindakan agresif. Agresif yang disambut balasan lawan. Balasan yang menyambut peperangan. Peperangan yang menggamit campur tangan. Campur tangan pula meletakkan Amerika sebagai juara pendamai.
Siapa yang menggerakkan propaganda rasmi dan tidak rasmi ini? Ia adalah pemimpin, ketenteraan dan rakyat negara-negara terlibat. Kita tidak menyentuh walau sedikitpun mengenai konspirasi yang digerakkan Pyongyang, Seoul, Beijing dan Tokyo dalam topik ini kerana masing-masing bergerak atas kapasiti dan risiko sendiri dalam isu ini, tiada konspirasi. Pihak yang berkonspirasi adalah bukan negara-negara terbabit, tetapi ia disuntik secara konspirasi oleh Amerika dan sekutunya di sebelah barat.
Apabila sudah timbul ketegangan dan tekanan serta keadaan paranoia bagi sesetengah pihak yang lain, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Dalam kes ini pula, Pyongyang dilihat seperti menderita paranoia yang serius. Ia melibatkan paranoia yang sedang dihidapi Pyongyang terhadap Seoul dan Tokyo terutamanya yang disuntik sejarah silam (rujuk Sejarah Perpecahan Korea dan Perang Korea 1950 melalui sumber-sumber sejarah untuk memahami peranan Jepun dan China). Sejarah boleh diulangi.
Dalam perkara ini, Amerika dilihat seperti cuba membuat parut yang dialami Korea Utara dan Korea Selatan berdarah semula. Lebih-lebih lagi membuat Pyongyang lebih tertekan dan kecewa dengan setiap kekecewaan yang dilaluinya. Pyongyang harus diberi tekanan untuk melihat ia bertindak. Pahat mesti dihentak supaya kayu akan berbekas.
Jadi, apa kepentingan Amerika untuk melihat ketegangan di sebelah timur? Ia mungkin disebabkan untuk melihat hampir setiap penjuru dunia berada dalam kekecohan. Setiap penjuru dunia ‘mesti’ ada kekecohan yang digerakkan, ia amat disukai Amerika dan sekutu-sekutu rapatnya.
Di Ivory Coast, kekecohan sedang berlaku. Begitu juga dengan negara-negara di benua Afrika yang sedang berhadapan kekecohan pada masa sekarang. Asia Barat pula tidak pernah sunyi daripada kekecohan. Israel dan Palestin tidak pernah senyap daripada tekanan. Iran berterusan ditekan-tekan oleh Amerika dan Eropah. Iraq juga entah bila akan kembali damai. Huru-hara di hampir setiap penjuru.
Melalui keadaan itu, ia sebenarnya memberi peluang untuk menjadikan seluruh dunia berada dalam situasi lebih kecoh yang boleh berlanjutan kepada peperangan yang sungguh besar. Kekecohan itu umpama bom jangka. Hanya memerlukan ‘picu’ atau trigger untuk dimulakan. Bagaimana untuk memulakannya? Apabila satu tong minyak meletup, maka tong-tong yang berada di sebelahnya juga akan meletup.
Persekutuan perang
Seluruh negara di dunia boleh diheret untuk terlibat dalam peperangan, ia sama ada secara rela atau tidak, semua negara boleh diheret ke kancah ini tidak kira ia adalah negara berkecuali atau tidak. Persekutuan perang dan persahabatan ketenteraan antara negara-negara adalah trigger atau picu yang amat berkesan.
Pelbagai persekutuan perang yang dianggotai pelbagai negara anggota boleh diheret ke dalam kancah ini. Tidak perlu menyebut nama-nama persekutuan-persekutuan terlibat kerana artikel ini mahu diringkaskan sependek mungkin, cukup sekadar memahami tujuan persekutuan-persekutuan ini ditubuhkan.
Dalam kebanyakan persekutuan perang, apabila salah sebuah negara anggota diserang atau terlibat peperangan, maka negara-negara anggota yang lain ‘harus’ menghulurkan bantuan ketenteraan serta kelengkapan perang. Ringkasnya apabila dua negara berperang, ia tidak semestinya dua negara itu sahaja yang berperang, negara-negara anggota juga akan turut berperang sama bagi mempertahankan rakan sekutunya.
Jika Pyongyang dan Seoul berperang, rakan-rakan mereka akan berperang sama sebagai langkah membantu. Jika Iran dan Amerika berperang, sekutu-sekutu juga akan terlibat membantu dalam peperangan. Sama juga keadaannya dengan negara-negara lain, semua akan dilibatkan dalam kancah ini secara langsung.
Maka, apa yang dapat difahami dalam psikologi persekutuan ini? Rakan akan membantu rakan mereka dalam peperangan, ia akan menjadikan skala peperangan itu menjadi lebih besar.
Sesebuah negara juga terlibat dengan lebih daripada satu persekutuan perang, maka skala akan menjadi lebih besar. Pihak yang akan terlibat dalam peperangan juga akan menjadi lebih ramai. Dengan itu, negara kuasa besar akan cuba campur tangan melalui alasan-alasan yang difikirkan sebagai realistik bagi menipu dunia.
Persekutuan-persekutuan perang adalah bentuk organisasi pakatan ketenteraan antarabangsa yang ditubuhkan untuk menjamin keselamatan negara-negara anggota semasa peperangan. Setiap negara anggota akan menjaga kepentingan dan keselamatan ahli-ahli sekutu semasa perang. Jika rakannya diserang, ramai rakan lain akan membantu mengalahkan musuh kepada rakannya itu. Apabila satu tong minyak meletup, maka tong-tong lain juga akan meletup sama.
Melihat kepada skala perkembangan semasa, politik dunia dari aspek ketenteraan kini berada dalam status membimbangkan. Setiap pihak diberi tekanan untuk bertindak secara agresif bagi menjaga kepentingan masing-masing.
Di China, para perisik mereka giat menapis setiap panggilan telefon untuk mengesan perkembangan perancangan individu-individu di Korea Utara dan Korea Selatan yang menjadi suspek terhadap petualangan perang. Ia dilakukan China bagi menjaga kepentingannya sendiri. Jika berlaku peperangan antara Korea Utara dengan Korea Selatan, China akan turut terkena tempiasnya. Maka China perlu berjaga-jaga demi kepentingannya.
Di Israel, keadaan yang sama juga berlaku. Setiap kod komunikasi ditapis dan dinyahkod (decode) supaya mereka dapat memahami setiap maksud komunikasi rahsia antara negara-negara Arab di sekitarnya terutama Syria, Lebanon dan sebagainya. Israel sentiasa berjaga-jaga, Amerika pula sentiasa dibelakangnya.
Di Britain dan Amerika, setiap kod ketenteraan negara-negara Islam cuba dinyahkod. Ada yang berjaya difahami dan ada yang kekal tidak dimengerti. Kod-kod komunikasi ketenteraan dan logistik perang di Iran pula semakin mudah dirungkai satu persatu. Bagitu juga dengan kod-kod ketenteraan negara-negara Arab di Timur Tengah, Asia Barat. Sama juga dengan kod ketenteraan di Pakistan, Afghanistan dan disekitarnya.
Semua kod itu telah dipecahkan, ada yang masih belum berjaya dinyahkod, ada juga yang berjaya dinyah tetapi mengalami distortion. Seluruh kuasa ketenteraan di negara-negara kuasa besar sedang berjaga-jaga. Mengapa kod-kod itu diintip dan dipecahkan? Ia untuk mengesan tindakan seterusnya negara-negara yang bertelagah sama ada mereka itu bersedia untuk berperang atau masih dingin. Jika berlaku peperangan, Amerika dan sekutu akan berupaya memikirkan jalan untuk campur tangan.
Sudah hampirkah situasi itu? Tidak dalam tempoh terdekat, tetapi tempoh 20 tahun juga sebenarnya adalah satu jangkamasa yang sangat dekat. Mengapa dikatakan dalam tempoh 20 tahun lagi? Sukar untuk diperincikan mengikut rentak teknikal, taktikal dan psikologi peperangan. Namun melalui sumber-sumber di negara-negara terlibat, tempoh 20 tahun itu mungkin akan menjadi lebih singkat kepada hanya 2 tahun sahaja. Malah dalam tempoh 20 minit sahaja, pelbagai perkara boleh berlaku di seluruh dunia. Tidak perlu menunggu 20 tahun atau 2 tahun. Paling utama ialah persediaan.
Tiada siapa di kalangan manusia yang tahu tarikh sebenar berlakunya kekecohan, manusia yang merancang kekecohan itu juga tidak tahu bilakah tarikh sebenarnya kekecohan itu akan benar-benar berlaku. Semuanya atas izin Allah.
Dunia kini melalui detik yang lebih serius, malah sangat kritikal jika dibandingkan dengan abad-abad yang lalu. Lihat sahaja di benua Afrika, Asia Barat, Asia Selatan dan Asia Timur, kekecohan sedang pesat, barah semakin parah.
Kita tidak tahu apa akan berlaku pada esok meskipun kita sudah ada jadual perkembangan dunia untuk esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan atau dekad hadapan. Jadual itu hanya jadual. Kuasa yang menentukan sama ada terlaksananya jadual itu atau tidak pada esok hanya terletak pada Allah.
Kepada mereka yang gemar akan isu ramalan 2012, usah bimbang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan