Sunnah menyebarluaskan salam sangat kurang diamalkan oleh muslim pada zaman muta’akhir ini. Sedangkan banyak saranan dari agama melalui kalam Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tentang keutamaan menyebarluaskan salam. Rugi yang besar bagi kita sekiranya tidak mengamalkan sunnah yang besar ini. [Sumber]
Berikut telah saya salin beberapa nas agama yang menyatakan tentang keutamaan menyebarluaskan salam yang saya petik dari kitab Riyadhussolihin, susunan Imam An-Nawawi:
1. Memberi salam samada kenal atau belum kenal adalah tanda Islam seseorang itu baik.
Dari `Abdullah bin `Amr bin Al-`Ash radhiAllahu `anhuma, bahawasanya ada seseorang bertanya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam: ”Bagaimanakah ISLAM yang baik itu?” Baginda menjawab: ”Iaitu kamu memberi makanan dan mengucapkan salam baik kepada orang yang telah kamu kenal mahupun orang yang belum kamu kenal.” (HR Bukhari dan Muslim)
2. Menyebarkan salam adalah suruhan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.
Dari Al-Barra’ bin `Azib radhiAllahu `anhuma berkata: ”Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menyuruh kami untuk melaksanakan tujuh macam perbuatan, iaitu: menjenguk orang sakit, mengiringkan jenazah, mendo`akan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, menyebarkan salam dan menepati sumpah.” (HR Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Yusuf `Abdullah bin Salam radhiAllahu berkata: ”Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: ”Wahai sekalian manusia, sebarluaskanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah tali persahabatan dan solatlah sewaktu orang sedang tidur, nescaya kamu sekalian akan masuk syurga dengan selamat.” (HR At-Turmudzi, katanya sahih)
3. Menyebarluaskan salam akan mewujudkan kasih-sayang. Natijahnya Iman dan Syurga.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: ”Kamu sekalian tidak akan masuk Syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling sayang menyayangi. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling sayang-menyayangi? Iaitu sebarluaskanlah salam di antara kamu sekalian.” (HR Muslim)
4. Para salafussoleh sentiasa mencari peluang dan ruang untuk sebarluaskan salam.
Dari At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat `Abdullah bin `Umar, kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar. Tufail berkata: ”Apabila kami berada di pasar maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang akan menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati siapa pun juga `Abdullah pasti mengucapkan salam kepadanya.” At-Tufail berkata: ”Suatu hari saya datang ke tempat `Abdullah bin `Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar. Maka saya berkata kepadanya: ”Apa yang akan kamu perbuat di pasar nanti, kerana kamu tidak membeli sesuatu pun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar sesuatu, dan tidak juga akan duduk-duduk di pasar? Lebih baik kita berbincang-bincang di sini sahaja.” `Abdullah menjawab: ”Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarluaskan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.” (Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih)
5. Orang yang paling dahulu memberi salam adalah orang yang paling utama di sisi ALLAH.
Dari Abu Umamah Shuday bin `Ijlan Al-Bahily radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: ”Seutama-utama manusia menurut ALLAH adalah orang yang paling dahulu mengucapkan salam.” (HR Abu Daud dengan sanad yang baik)
Dari Abu Umamah radhiAllahu `anhu, beliau berkata: ”Ada seseorang bertanya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam: ”Wahai Rasulullah, kalau ada dua orang yang bertemu serentak, maka siapa yang harus mengucapkan salam terlebih dahulu?” Baginda menjawab: ”Orang yang lebih utama menurut ALLAH Ta`ala.” (HR At-Turmudzi, hadithnya hasan)
Mudah-mudahan dengan mengetahui nas-nas di atas menjadikan kita bermotivasi untuk melaksanakan sunnah menyebarluaskan salam ini. Jangan lemah semangat atau berasa malu jika orang lain tidak buat. Untuk kehidupan yang baik di akhirat dan di dunia, sebarluaskanlah salam.
Sebarkan mesej ini. Semoga catitan ini bermanfaat buat diri saya dan tuan/puan sekalian.
WAllahu Ta`ala A`lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan