Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 1 September 2011

Tragedi di Libya


Oleh Hassan Karim



Pada hari raya Aidilfitri 2011 ini aku teringatkan bumi Libya. Aku pernah sampai ke Misrata dan Tripoli. Pernah bersolat Jumaat di sebuah mesjid di  Misrata. Pernah menemui Kolonel Muaamar Ghadafi disebuah bangunan di tengah-tengah padang pasir, entah di mana lokasinya.Segalanya rahsia.

Beberapa hari lalu, Misrata dan Tripoli telah menjadi medan perang tempat bertempur para pemberontak yang disokong NATO dengan para tentera yang setia pada Ghadafi. Aku berasa sedih. Ini satu trajedi malang yang berlaku ke atas Libya dan rakyatnya.

Itu berlaku pada tahun 1980-an. Presiden Amerika Syarikat Ronald Reagen telah mengebom kediaman Ghadafi dengan tujuan untuk membunuhnya. Beberapa orang terkorban termasuk puteri angkatnya yang masih kecil.

Aku adalah salah seorang dari sekian orang yang dianggap sahabat kepada rakyat Libya yang dijemput oleh Ghadaffi ke satu persidangan dunia yang dipanggil world marthaba di Kota pelabuhan Misrata. Waktu itu aku memegang jawatan Setiausaha Agung Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), sebuah parti kiri di Malaysia yang kuat perndiriannya yang anti-imperialis Amerika. Bersama-samaku mewakil PSRM ialah penasihat parti kami waktu itu.

SETIAKAWAN DENGAN RAKYAT LIBYA
Turut sama dalam persidangan antarabangsa itu dari Malaysia ialah seorang Naib Presiden PAS. Tiada wakil dari UMNO ketika itu. Dari rantau Asia Tenggara ini dihimpun para pemimpin Aceh Merdeka dan kumpulan revolusioner dari Selatan Thailand,bekas pemimpin Parti Rakyat Brunei dan beberapa golongan progresif dari Jepun dan Asia Timur lainnya.

Sebahagian besar para delegasi persidangan itu adalah undangan dari Negara-negara Arab dan Afrika. Beberapa hari kami berkonferansi dan merumuskan resolusi menyokong kedaulatan bumi Libya yang merdeka dan mengutuk keras serangan jahat imperialis Amerika.

Kami dibawa melihat kemusnahan kediaman Ghadaffi yang dibom Amerika. Pada satu hari tanpa diduga, tiba-tiba persidangan ditangguhkan dan kami para perwakilan dibawa dengan beberapa buah bas ke sebuah padang pasir untuk bertemu dengan Kolonel Muammar Ghadafii. Di sana kami mendengar ucapannya yang berapi-api. Sepanjang persidangan itu kami dibekalkan dengan dokumen-dokumen persidangan, dan yang terpentingnya BUKU HIJAU yang merupakan dasar ideology yang ingin dibawa oleh Ghadaffi. Kalau Mao Tze Tung ada BUKU MERAH, Ghadafi pula memperagakan buku hijaunya.

Mengapa aku menulis artikel ringkas ini? Pertama, aku berasa sedih tentang apa yang berlaku di Libya. Tentang perang saudara sesama rakyatnya. Keduanya, aku amat marah dengan NATO dan kuasa imperialis Barat yang mengambil kesempatan dalam pergolakan politik di Libya. NATO tidak ada hak untuk mengebom bumi Libya.

Aku bukan peminat Ghadafii, sejak dari awal. Aku sanggup berkunjung ke Libya dalam satu misi merbahaya semata-mata untuk menyataklan rasa setiakawan PSRM dengan rakyat Libya dan Negara Libya, sebuah Negara yang penting dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Kami bertolak dari lapangan Terbang Subang menuju ke Karachi. Sastrawan Negara Usman Awang menghantar kami ke airport. Dari Karachi kami kemudian naik sebuah kapal terbang yang tidak bercat dengan dindingnya berkilat logam, mungkin almunium agaknya. Ini penerbangan menempah maut, aku berkata dalam hati.

GHADAFII DAN BUKU HIJAU
Pada tahun 70-an dan awal tahun 80-an, sebelum peristiwa Lockerbee, Ghadaffi muncul sebagai negarawan dunia ketiga yang sanggup dan berani berdepan dengan imperialis Amerika dan Barat yang suka membuli Negara-negara dunia ketiga.Tetapi Ghadaffi ini memang seorang pemimpin yang keras dan otokratik. Aku membaca buku hijaunya. Tapi tidak ada yang menarik. Sekurang-kurangnya tulisan Mao Tze Tung lebih relevan dan menarik.

Walau bagaimanapun aku tidak boleh menghukum Ghadaffi. Dia telah membawa revolusi di Libya dengan mengggulingkan Raja Idris. Menumbangkan sebuah pemerintahan feudal. Ghadaffi ingin mendirikan sebuah Negara jamahiriyah yang bersifat sosialis Islam. Tetapi apa yang sosialis, apa yang Islam tidak jelas dalam buku hijaunya itu. Penuh retorik semata-mata.

Aku mewakil sebuah parti sosialis. Tetapi tradisi demokratik amat aku jaga dan pertahankan. Dari awal lagi aku telah membaca, jika tidak ada system demokrasi dengan system pilihanraya yang adil,lambat laun rakyat Libya akan bangun melawan pemimpin kuku besi atau otokratik, hatta Ghadaffi sekalipun. Ternyata benar. Rakyat tidak boleh sabar, apabila Ghadaffi telah berkuasa selama 40 tahun, dan kini hendak membina dinasti pula dengan melantik anak-ananknya sendiri untuk menggantikannya.Libya sudah jadi Negara anak beranak dan kembali seperti system feudal yang ditumbankannya dulu ketika Ghadaffi berusia 27 tahun sebagai seorang kapten tentera.

Aku merasakan betapa lemahnya tradisi demokrasi sewaktu Ghadaffi sedang berada di puncak kuasanya, walaupun pada saat dia menghimpunkan para kawan dan sahabatnya untuk menentang imperialis Amerika.

TIADA AMALAN DEMOKRASI
Satu pengalaman kecil yang memberi kesan pada diriku. Pada keesokan harinya, tibalah giliran aku untuk menyampaikan ucapan di persidangan wold marthaba itu bagi mewakil PSRM. Pada malam sebelumnya, pintu bilik hotel tempat aku menginap yang mewah dan disediakan oleh kerajaan Libya, telah diketuk. Aku buka pintu tengah-tengah malam itu, dan seorang petugas penting persidangan itu masuk. Dia minta melihat dan membaca teks ucapanku yang bakal aku sampaikan. Aku menyumpah dalam hati. Tetapi dengan baik aku berkata, dia sebagai tuan rumah perlu percaya tentang kandungan apa yang hendak aku ucapkan. Aku beritahu kepadanya, di negara kami Malaysia, walaupun bukannya sebuah Negara demokrasi yang sempurna dan unggul, tetapi sekurang-kurangnya tidak ada siapa berani untuk memeriksa terlebih dahulu apa yang hendak aku ucapkan. Aku Setiausaha Agung sebuah parti kiri dari Malaysia, yang anti-imperialis Amerika. Dia perlu percaya padaku.

Pegawai khas itu agak terkedu dengan bantahanku itu. Dia minta supaya lebih banyak puji-pujian dihamburkan kepada Ghadaffi. Aku dengan lembut tetapi tegas menyatakan, cukuplah dengan apa yang aku tulis. Yang penting ikhlas. Kami tidak biasa membodek pemimpin sehingga kelihatan melampau dan meluat dan muntah. Aku sudah nampak kalau beginilah budaya yang ada di kalangan orang-orang yang mengelilingi Ghadaffi, tentu sekali colonel itu akan jadi seorang yang mungkin lupa diri, angkuh dan bodoh sombong.

RAKYAT LIBYA INGINKAN KEBEBASAN
Tetapi itu semua telah 30 tahun berlalu. Apa yang aku rasa, kemudiannya menjadi nyata. Rakyat Libya inginkan kebebasan politik, ingin bersuara. Mereka ingin menentukan masa depan Negara mereka sendiri. Ghadaffi sudah terlalu lama berkuasa. Sistem demokrasi, kerajaan rakyat; Oleh rakyat, dari rakyat, untuk rakyat, bukan otokrasi, bukan feudal, bukan kuku besi adalah satu pilihan yang baik. Ghadaffi tidak ada menjanjikan ini semua dalam buku hijaunya yang retorik itu.

Padahnya, rakyat bangkit memberontak. Tentu ada masalah. Tentu ada kesilapan Ghadafi. Tentu ada kekejaman yang Ghadaffi telah lakukan sepanjang empat dekad berkuasa itu. Selalu disebut orang kuasa itu sering berjalan seiring dengan penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa. Sekiranya kuasa itu menjadi semacam mutlak, maka penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa juga menjadi semacam mutlak.Rakyat Arab hendakkan demokrasi. Raklyat Libya menjerit mahukan demokrasi. Ghadaffi tidak memahami tuntutan rakyatnya. Dia begitu taksub, percaya dia begitu popular di kalangan rakyatnya. Satu ketika dulu mungkin benar. Tetapi apabila saingan politik ditekan, ramai yang jadi tahanan politik, ruang bersuara ditekan, dan mula membina dinasti untuk anak-anak sendiri berkuasa, maka Ghadaffi telah mengkhianati revolusi yang dipeloporinya sejak tahun 60-an itu.

GHADAFII PERLU HADAPI RAKYATNYA
Walau bagaimanpun, Ghadaffi perlu menjawab tuntutan dari rakyatnya. NATO dan imperialis Barat yang ditunjang oleh Amerika Syarikat, Britain dan Perancis tidak wajar menjadi biang keladi dengan menggunakan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengebom Libya, memburu Ghadaffi dan menjatuhkan pemerintahannya. PBB telah mencabul kedaulatan sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat. Di mana pendirian Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM)? Di mana pendirian Pertubuah Persidangan Negara-Negara Islam (OIC). Semuanya tutup mulut. Semuanya bersekongkol dengan Imperialis barat dan NATO.

NATO MENCEROBOH KEDAUALATAN LIBYA
Para pemberotak berhak memberontak terhadap pemerintahan Ghadaffi, jika perjuangan mereka menjatuhkan Ghadaffi itu adil dan wajar. Tidak ada siapa yang akan simpati dan memihak kepada Ghadaffi jika benar pemimpin Libya itu menembak dan memerangi rakyatnya sendiri.Tetapi NATO tidak ada hak menceroboh bumi Libya. PBB sudah tidak neutral. PBB jadi badan suruhan Negara-negara Imperialis barat.

Di mana suara Malaysia? Samakah kita tenggelam seperti OIC dan Pertubuhan NAM. Atau sama bersekongkol seperti Liga Negara-negara Arab yang dayus?

Tiada ulasan: