Mutakhir ini kita sering kali mendengar seruan: “Kembalilah kepada al-Qur’an dan al-Sunnah” atau “Pegangan kita hanyalah al-Qur’an dan al-Sunnah”. Adakah dengan seruan ini bererti meninggalkan ajaran para imam mazhab ?
Jawapannya tidak. Kesemua ajaran para imam mazhab adalah berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Begitu juga dengan pengeluaran hukum berdasarkan kaedah ijma’ dan qiyas, ia tetap berasal daripada al-Qur’an dan al-Sunnah.
Maksud sebenar seruan “Kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah” ialah meninggalkan ajaran seseorang imam mazhab jika ia secara pasti didapati tidak tepat berbanding dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ajaran yang ditinggalkan itu juga hanya berkaitan dengan perkara yang tidak tepat sahaja dan bukannya keseluruhan ajaran imam mazhab tersebut.
Berikut dikemukakan satu contoh.
al-Syafi‘e berpendapat membasuh muka ketika berwudhu’ adalah wajib manakala berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung adalah sunat. Ini kerana ayat yang memerintah wudhu’ hanya menyebut “membasuh muka” tanpa menyebut berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung.[1] Ayat yang dimaksudkan ialah:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat maka basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangah kamu hingga ke siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu hingga ke buku lali. [al-Maidah 5:06].
Berkata al-Syafi‘e rahimahullah berkenaan ayat di atas:
Aku tidak mengetahui bahawa berkumur-kumur air di mulut dan memasukkan air ke hidung atas orang yang berwudhu itu adalah fardhu (wajib). Dan aku tidak mengetahui ada perselisihan bahawa orang yang berwudhu jika meninggalkan kedua yang tadi dengan sengaja atau lupa dan mengerjakan solat, bahawa tidak dihitung (tidak dikira sah) solatnya.[2]
Akan tetapi para mujtahid selepas al-Syafi‘e berpendapat berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung adalah wajib hukumnya. Ini kerana mulut dan hidung termasuk bahagian muka. Lebih dari itu jika dikaji sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di dalam berwudhu’, beliau sentiasa berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidungnya. Perbuatan baginda ini memperincikan keumuman maksud “muka” di dalam ayat ke 6 surah al-Maidah di atas.
al-Syaukani rahimahullah menerangkan:
Saya berkata, pendapat yang mengatakan ia (berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung) adalah wajib merupakan pendapat yang benar. Ini kerana Allah Subhanahutelah memerintahkan di dalam kitabnya yang agung (al-Qur’an) untuk membasuh muka manakala berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung termasuk bahagian muka. Dan sungguh telah jelas bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam secara berterusan melakukan yang sedemikian di dalam setiap wudhu’nya dan ini diriwayatkan oleh semua perawi yang menjelaskan sifat wudhu’ baginda shallallahu 'alaihi wasallam. Maka ini menerangkan bahawa termasuk bersama perintah al-Qur’an untuk membasuh muka ialah berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung.[3]
Antara hadis-hadis yang dimaksudkan ialah:
Pertama:
Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Apabila salah seorang antara kamu berwudhu’, maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian menghembuskannya keluar. [4]
Kedua:
‘Ali (bin Abi Talib radhiallahu ‘anh), bahawasanya dia meminta air wudhu’, kemudian dia berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung lalu menghembuskan air itu keluar dengan tangan kirinya, dia berbuat demikian tiga kali. Kemudian dia berkata: “Inilah cara berwudhu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.” [5]
Ketiga:
‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu ‘anh, pernah meminta bekas air lalu dia menuangkannya ke atas dua tapak tangannya tiga kali kemudian membasuhnya; kemudian memasukkan tangan kanannya dalam bekas air lalu dia berkumur dan menghisap air ke dalam hidung……… Apabila selesai Uthman berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesiapa berwudhu’ seperti ini – dan wudhu’nya ialah seperti ini…”[6]
Keempat:
Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan kami berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung.[7]
Oleh itu pendapat yang lebih tepat ialah wajib hukumnya berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung ketika berwudhu’.[8]
Demikian satu contoh meninggalkan ajaran seorang imam mazhab jika ia secara pasti didapati tidak tepat berbanding dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sekali lagi diulangi bahawa yang ditinggalkan hanya ajaran berkaitan dengan perkara yang tidak tepat sahaja dan bukan meninggalkan keseluruhan ajaran imam mazhab tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan