Setiap para imam mazhab: Abu Hanifah, Malik bin Anas, al-Syafi‘e dan Ahmad bin Hanbal rahimahullah tidak berpegang kepada sesuatu sumber yang lain dalam mazhab mereka melainkan al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka juga tidak mengeluarkan apa-apa pendapat melainkan merujuk kepada kepada dua sumber mulia tersebut. Hanya apabila timbul sesuatu persoalan yang tidak dibahas secara terperinci oleh kedua-dua sumber tersebut, mereka mengeluarkan pendapat berdasarkan kaedah qiyas, ijma’ dan sebagainya. Semua kaedah ini dirumuskan berdasarkan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah juga.
Keteguhan para imam mazhab berpegang kepada al-Qur’an dan al-Sunnah dapat kita lihat melalui perkataan dan hujah mereka sendiri. Umpamanya telah berkata Abu Hanifah rahimahullah:
Saya mengambil (hukum agama) dari kitab Allah (al-Qur'an); Apa yang saya tidak temui dalamnya, maka saya ambil dari sunnah Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam. Jika saya tidak temui dalam kitab Allah atau sunnah Rasulullah, nescaya saya ambil pula pendapat sahabat-sahabatnya.[1]
Selain itu beliau juga pernah menegaskan:
Saya tidak menggunakan qiyas kecuali jika sangat mendesak; iaitu pertama-tama saya mencari dalil untuk sesuatu masalah dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, atau keputusan para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kalau saya tidak temukan jawapannya maka saya qiyaskan kepada masalah yang tidak disebut di dalam nas itu dengan masalah yang disebutkan di dalam nas dengan benar-benar memperhatikan kesamaan illat (sebab) antara kedua-dua masalah itu.[2] (Inilah yang dimaksudkan dengan kaedah “qiyas”.)
Malik bin Anas rahimahullah juga telah berkata:
Jauhilah pendapat orang-orang yang (mengeluarkan pendapat) berdasarkan akal fikiran kecuali jika sudah disepakati oleh para ulama’ (ijma’). Ikutilah al-Qur’an yang telah diturunkan kepadamu oleh Tuhan kamu dan ikutilah Hadis yang telah diturunkan kepadamu oleh Nabi kamu.[3]
al-Syafi‘e rahimahullah menegaskan:
Menjadikan usul sebagai dasar pegangan adalah perbuatan orang-orang yang berakal dan usul itu tidak boleh dipertanyakan mengapa dan bagaimana. Kemudian bertanya seseorang: Apakah yang dimaksudkan dengan usul ? al-Syafi‘e menjawab: al-Qur’an, Hadis dan qiyas atas keduanya. Ditanya lagi kepada al-Syafi‘e berkenaan qiyas, lalu beliau menjawab: Qiyas hanya boleh dipergunakan ketika sangat mendesak dan tidak boleh mempergunakan qiyas kecuali untuk tujuan taat kepada Allah dan Rasul-Nya dengan penyerahan diri yang sepenuhnya.[4]
Ahmad bin Hanbal rahimahullah juga tidak terlepas daripada berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Beliau mengecam keras ke atas orang-orang yang menggunakan akal fikiran dalam beragama dengan membelakangkan sumber wahyu al-Qur’an dan al-Sunnah. Beliau pernah berkata:
Saya tidak mengetahui orang-orang yang mengkaji kitab-kitab agama berdasarkan akal fikiran kecuali pada umumnya di hati mereka itu ada penyakit![5]
Demikian beberapa penegasan daripada para imam mazhab terdahulu berkenaan pegangan mereka kepada al-Qur’an dan al-Sunnah dan pesanan mereka supaya menjauhi akal fikiran dalam beragama. Justeru itu kita dapati al-Sya’rani rahimahullah, setelah menghuraikan bab ini setebal 56 mukasurat dalam kitabnya al-Mizan-ul-Kubra merumuskan:
Saudara, apa yang telah saya sebutkan itu sudah cukup untuk menjelaskan bahawa empat imam mazhab itu dan imam-imam mujtahid yang lain semuanya terikat dengan dalil-dalil yang mereka ambil dari al-Qur’an dan al-Sunnah; dan mereka semuanya menghindari dasar akal fikiran dalam berpendapat tentang masalah agama. Ketahuilah bahawa semua mazhab imam-imam mujtahid yang empat itu bersumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah ! [6]
Lebih dari itu ialah teguran Ibn Hazm rahimahullah, seorang ulama’ besar pada kurun ke 11M, dengan kata beliau:
Semua hukum yang telah digali oleh para imam mazhab adalah bersumber daripada syari‘at walaupun dalilnya tidak difahami oleh kalangan awam. Barangsiapa yang mengingkari hakikat ini bererti mereka mengganggap para imam mazhab tersebut telah terjerumus ke dalam kesalahan dan telah mensyari‘atkan hukum yang tidak diizinkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Anggapan yang sedemikian ini adalah sesuatu yang keliru lagi sesat. Yang benar adalah jika para imam mazhab itu tidak mengetahui dalilnya pasti mereka tidak akan mencetuskan sesuatu hukum (berkenaan masalah agama).[7]
Walaupun merujuk sepenuhnya kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, adakalanya para imam mazhab berbeza pendapat dalam mengeluarkan hukum. Perbezaan ini wujud bukan atas faktor kesengajaan tetapi kerana beberapa faktor fitrah kemanusian dan sejarah yang sememangnya sukar untuk dielakkan pada zaman mereka. Faktor-faktor ini akan dihuraikan dalam bab seterusnya.
Bab ini diakhiri dengan sebuah keterangan yang bermanfaat daripada Ibn Taimiyah rahimahullah berkenaan para imam mazhab dan keutamaan mereka:
Sesungguhnya mereka, para imam mazhab adalah para Khalifah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam umatnya dan penghidup sunnahnya yang telah mati.
Dengan mereka al-Qur’an tegak dan dengan al-Qur’an mereka bangkit. Dengan mereka al-Qur’an berbicara dan dengan al-Qur’an mereka berbicara. Hendaklah diketahui bahawa tidak ada seorangpun dari para imam ini yang telah diterima umat secara meluas, (bertindak) sengaja menentang sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam baik dalam masalah kecil ataupun besar.
Mereka semuanya sepakat tentang wajibnya mengikuti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan perkataannya kecuali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.[8]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan