Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 19 September 2011

4 Sebab-Sebab Wujudnya Perbezaan Pendapat Antara Para Imam Mazhab

Flowchart: Document: Ada beberapa perkataan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang mempunyai lebih dari satu mak-sud. Daripada perkataan yang satu ini, ada yang memahaminya dengan satu maksud manakala ada yang memahaminya dengan maksud yang lain.Satu soalan yang agak menghairankan: Kenapakah wujud perbezaan pendapat antara sesama para imam mazhab ? Kita semua sudah mengetahui bahawa ke semua para imam mazhab mendasarkan pendapat mereka kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah, justeru mengapa wujud perbezaan ?
Sebenarnya perbezaan pendapat antara para imam mazhab bukanlah sesuatu yang besar sebagaimana yang kita sangkakan. Perbezaan mereka tidak lain hanyalah pada perkara-perkara kecil dan cabang bukannya asas dan usul sepertimana yang diterangkan oleh ‘Abd al-Rahman I. Doi:
Jika seseorang itu betul-betul memerhatikan ajaran fiqh keempat-empat mazhab Islam itu, dia tidak akan menemui sebarang perbezaan pendapat atau perbezaan ajaran dalam konteks prinsip-prinsip asas ajaran Islam sesama mereka.  Perbezaan yang wujud hanyalah berkisar pada perkara-perkara furu’ (cabang) dan bukannya perkara-perkara usul (asas) keislaman.[1]
Perbezaan furu’ dan bukan usul sebagaimana yang dinyatakan di atas diumpamakan oleh Abu Fath al-Bayanuni sebagai:
Satu jenis buah-buahan yang berasal dari sebatang pohon pokok; bukannya berjenis-jenis buah yang berasal dari berlainan pohon pokok.   Batang pohon yang satu adalah kitab Allah dan Sunnah sementara ranting-rantingnya adalah dalil-dalil syara’ dan cara berfikir yang berjenis-jenis; manakala hasil buahnya pula adalah hukum fiqh yang sekian banyak dan bermacam-macam itu.[2]
Bab ini insya-Allah akan cuba mengupas dan menghuraikan sebab-sebab berlakunya perbezaan pendapat antara para imam mazhab. Akan dibuktikan bahawa sebab-sebab tersebut bukanlah disengajakan oleh mereka tetapi ia adalah sesuatu yang sememangnya wujud disebabkan oleh faktor-faktor sejarah dan fitrah manusia. Akan dibuktikan juga bahawa perbezaan itu hanyalah dalam hal-hal furu’ (cabang) dan tidak melibatkan prinsip.   Secara umumnya perbezaan ini timbul kerana dua sebab iaitu:
·        Faktor kemanusiaan. Manusia dicipta dengan kebolehan yang berbeza-beza, sama ada secara fizikal atau mental. Perbezaan mental lebih tepat diertikan sebagai perbezaan seseorang itu menafsir sesuatu dalil al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mengeluarkan sebuah hukum. Ini hanya berlaku terhadap dalil yang bersifat umum sehingga memungkinkan pemahaman yang berbeza.[3]
·        Faktor sejarah. Pada zaman para imam mazhab, tidak terdapat suasana yang memudahkan mereka untuk memperolehi hadis-hadis atau duduk bersama membicarakan sesuatu hal agama. Para imam mazhab terpaksa berhijrah ke sana sini di seluruh dunia Islam untuk mencari hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Suasana ini ada hubung-kaitnya dengan hukum yang dikeluarkan oleh seseorang imam mazhab itu di mana setiap daripada mereka akan mengeluarkan pendapat berdasarkan hadis-hadis yang sempat mereka terima sahaja.[4] 
Kedua-dua faktor di atas akan dihuraikan dengan lebih terperinci berikut ini: 

Pertama: Satu dalil yang mempunyai beberapa maksud.    
Ada beberapa perkataan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang mempunyai lebih dari satu maksud. Dalam kaedah usul fiqh, ianya dikenali sebagai Lafaz Musytarak.[5] Daripada perkataanyang satu ini, ada yang memahaminya dengan satu maksud manakala ada yang memahaminya dengan maksud yang lain.
Contoh yang paling banyak dibicarakan ialah perkataan Quru’ dalam ayat:
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci. [al-Baqarah 2:228].
Quru mempunyai dua erti, iaitu haid atau suci; dan juga tempoh haid atau tempoh bersih dari haid.[6] Dalam mengeluarkan hukum dari ayat di atas, para imam mazhab berbeza dalam memahaminya.  Malik dan al-Syafi‘e berpendapat bahawa perkataan Quru’ mewakili tempoh bersih dari haid, manakala Abu Hanifah berpendapat ianya mewakili tempoh seseorang itu berada dalam haid. Ahmad dalam pendapatnya yang pertama mengatakan ‘Quru’ itu adalah masa suci kemudian dalam pendapatnya yang kedua mengatakan ia adalah masa dalam keadaan haid.[7]
Dalam contoh ini kita dapat perhatikan bahawa walaupun merujuk kepada satu dalil yang sama, para imam mazhab mempunyai tafsiran hukum yang berbeza. Ini adalah kerana sifat ayat Allah‘Azza wa Jalla yang adakalanya mempunyai makna yang lebih dari satu.

Kedua: Satu dalil yang mempunyai makna hakiki atau kiasan.
Kadang kala sesuatu perkataan itu boleh juga mempunyai dua makna, satu makna yang sebenar dan satu makna yang tersembunyi atau kiasan. Dalam kaedah usul fiqh ini digelar sebagai Lafaz Hakiki dan Lafaz Majazi.[8] Contoh yang selalu dibicarakan ialah hukum batal atau tidak wudhu’ apabila bersentuhan antara lelaki dan perempuan. Perbicaraan ini merujuk kepada firmanAllah Subhanahu wa Ta‘ala:
…atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air… [al-Nisaa’ 4:43 dan al-Maidah 5:06)
Flowchart: Document: al-Syafi‘e pernah bertanya kepada Ahmad bin Hanbal: “Engkau lebih mengetahui akan hadis-hadis daripada aku. Oleh itu jika ada hadis yang sahih beritahu-lah aku sama ada hadis itu dari Kufah, Basrah atau Syria.”Perkataan La-ma-sa boleh difahami secara hakiki iaitu bersentuhan dan boleh juga difahami secara majazi iaitu bersetubuh antara lelaki dan perempuan. Hikmah di sebalik penggunaan lafaz kiasan di dalam ayat ini ialah kerana Allah enggan menggunakan secara terus-terang perkataan yang mewakili sesuatu perbuatan yang mengurangkan kesopanan dan kemuliaan bahasa al-Qur’an. Perkataan ‘bersetubuh’ adalah kurang sopan untuk digunakan dalam al-Qur’an maka Allah menggunakan perkataan ‘bersentuhan’ sebagai alternatif lain.[9]
Abu Hanifah dan al-Syafi‘e berpendapat wudhu’ seseorang itu batal apabila bersentuhan antara berlainan jantina berdasarkan ayat di atas. Malik dan Ahmad berpendapat wudhu’ seseorang yang bersentuhan kulit antara berlainan jantina hanya akan menjadi batal apabila timbulnya perasaan syahwat. Jika tidak ada syahwat maka tidaklah membatalkan wudhu’.[10]
Di sini kita dapat juga melihat walaupun berdasarkan kepada dalil yang sama, para imam mazhab menafsirnya dengan cara yang berbeza, sesuai dengan keluasan ilmu masing-masing. Setiap mereka mempunyai hujahnya dan setiap mereka mempunyai kebenarannya.

Ketiga: Satu dalil yang tidak pasti maksudnya.
Ada segelintir kalimah Arab itu yang bersifat tidak pasti maksudnya. Contohnya  ialah ayat berikut berkenaan wudhu’:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang, maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu hingga ke siku…..[al-Maidah 5:06]
Perkataan ilaa bermaksud hingga, oleh itu dalam ayat di atas adakah tangan dibasuh hingga ke siku atau juga termasuk siku ? Dalil yang satu di atas boleh mengeluarkan dua pendapat, membasuh tangan tidak termasuk siku dan juga membasuh tangan hendaklah termasuk siku.[11]

Keempat: Penerimaan hadis yang berbeza.
Masalah ini sering berlaku kerana setiap imam mazhab berfatwa berdasarkan hadis yang sempat mereka dengar atau temui. Hadis-hadis pada zaman para imam mazhab masih belum dihimpunkan secara sistematik. Para imam mazhab terpaksa mencarinya sendiri dengan berhijrah ke sana sini atau bertanya kepada yang lain.  al-Syafi‘e pernah bertanya kepada Ahmad bin Hanbal:
Engkau lebih mengetahui akan hadis-hadis daripada aku. Oleh itu jika ada hadis yang sahih beritahulah aku sama ada hadis itu dari Kufah, Basrah atau Syria. Beritahulah aku supaya aku dapat berpegang kepadanya asalkan ianya adalah sahih.[12]
Contoh tidak sampainya hadis ialah berkenaan hukum Khamr (arak). Abu Hanifah berpendapat bahawa yang diharamkan oleh perkataan Khamr dalam hadis Rasulullah shallahu ‘alaihi wasallam hanyalah minuman yang diperbuat daripada buah anggur (wine).[13]
Akan tetapi setelah kewafatan beliau, anak muridnya: Abu Yusuf telah menemui sebuah hadis sahih yang menyatakan bahawa semua minuman yang memabukkan itu adalah haram. Hadis tersebut berbunyi:
Setiap yang memabukkan itu adalah khamr dan setiap jenis khamr itu adalah haram.[14]
Maka dengan itu beliau mengeluarkan fatwa baru bagi Mazhab Hanafi bahawa semua minuman yang memabukkan itu adalah haram tanpa terhad kepada yang berasal daripada buah anggur (wine).[15]

Kelima: Beza pendapat terhadap kekuatan hadis.
Ada kalanya perbezaan wujud kerana antara para imam mazhab, mereka berbeza dalam menilai sesuatu hadis itu, sama ada ianya sahih atau dhaif. Contohnya ialah hukum batal wudhu’ jika termuntah. Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal berpendapat muntah itu membatalkan wudhu’. Pendapat ini mereka dasarkan kepada hadis
Barangsiapa yang muntah, hidung berdarah, atau makanan dari tenggoroknya keluar lagi atau keluar air madzi; hendaklah dia meninggalkan solat, mengulangi wudhu’ dan kemudian menyambung solatnya di mana dia tertinggal, tanpa bercakap di antaranya.[16] 
Walaubagaimanapun Malik dan al-Syafi‘e berpendapat riwayat di atas tidak sahih. Oleh itu mereka tidak mensyaratkan muntah sebagai sesuatu yang membatalkan wudhu’. Demikian beberapa faktor yang menyebabkan perbezaan pendapat antara para imam mazhab.



[1]                       Shari’ah - The Islamic Law, ms. 85.
[2]               Fath al-Bayanuni – Memahami Hakikat Hukum Islam (edisi terjemahan oleh Zaid Husein; Mutiara Ilmu, Surabaya 1994)ms. 7-8.
Prof. Dr. Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni  adalah Guru Besar bagi Fakulti Syari‘ah Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh, Saudi Arabia. Nukilan dari buku ini sebagaimana di atas adalah dari versi terjemahan Bahasa Indonesia dan penulis telah mengedit sedikit sebanyak susunan katanya supaya mudah difahami pembaca tanpa mengubah erti yang sebenar.
[3]               Muhammad Idris al-Syafi‘e – al-Risala(edisi terjemahan oleh Majid Khadduri; Islamic Text Society, England 1990)lihat bab ke 15 (Ikhtilaf)
[4]               Bilal Philips – The Evolution of Fiqh,  ms. 96.
[5]               Lihat buku Dasar-dasar Pembinaan Hukum Fiqh Islami oleh Mukhtar Yahya dan Fatchurrahman; PT al-Ma'arif, Bandung 1993), ms. 254-258.
[6]               M. ‘Ali al-Shabuni – Tafsir ayat-ayat Hukum dalam al-Qur’an (edisi terjemahan oleh Saleh Mahfoed; Pustaka al-Azhar, Malaysia, 1995)jld. 1, ms. 559.
Prof. Dr. Muhammad Ali al-Shabuni  ialah ahli tafsir dan pengkaji ilmu-ilmu al-Qur’an yang masyhur dari Mekah. Beliau juga adalah Ketua Fakulti Syariah dan Islamologi Universiti Ulum Qura’, Mekah. Kitabnya ini yang sudahpun diterjemahkan terkenal sebagai sumber rujukan dalam penafsiran ayat-ayat hukum. Antara kitabnya yang lain yang sudah diterjemahkan ialah Penghantar Ilmu-ilmu al-Qur’an yang antara lain menghuraikan pelbagai cabang ilmu al-Qur'an, termasuk hubung-kaitnya dengan ilmu sains dunia masa kini.
[7]               Tafsir ayat-ayat Hukum dalam al-Qur’an, jld. 1, ms. 579-582 dan Ensiklopidi Hukum Islam (ed: Abdul Azis Dahlan; PT Ichtiar Baru van Hoeve, Jakarta 1997)  - Quru’.
[8]               Dasar-dasar Pembinaan Hukum Fiqh Islami, ms. 259-266.
[9]               Tafsir ayat-ayat Hukum dalam al-Qur’an, jld. 1, ms. 846.
[10]             Tafsir ayat-ayat Hukum dalam al-Qur’an, jld. 1, ms. 854-856; Abd al-Rahman al-Jaziri – Fiqh Empat Mazhab (CV Asy Shifa’;, Semarang, 1994),  jld. 1, ms. 142-147 dan Ensiklopidi Hukum Islam – Wudhu’.
[11]             Bilal Philips – The Evolution of Fiqh, ms. 94-95.
[12]             Ibn Abi Hatim – Adab al-Syafi‘e, ms. 94-95 dan Ibn al-Jawzi – Manaqib Imam Ahmad, ms. 499 sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Albani di dalam The Prophet’s Prayer Described (edisi terjemahan oleh Usama ibn Suhaib Hasan; Jami'at Ihyaa' Minhaj al-Sunnah, Ipswich, 1993)ms. xii.
Ibn Abi Hatim ialah seorang tokoh hadis yang terkemuka dalam Mazhab al-Syafi‘e, sempat berguru bersama ahli hadis seperti al-Bukhari dan Muslim. Nama sebenarnya ialah al-Imam Muhammad bin Idris bin Mundzir bin Abi Hatim, lahir di Rayy, Parsi pada tahun 195H/810M dan meninggal dunia di Baghdad pada 277H/890M.
al-Imam Ibn al-Jawzi lahir di Baghdad pada 508H/1114M. Nama sebenarnya ialah Abi al-Faraj ‘Abd al-Rahman bin al-Jawzi. Beliau seorang tokoh yang terkemuka dalam bidang hadis. Kitab-kitab tulisannya dalam pelbagai bidang menjangkau jumlah 300 buah. Ibn al-Jawzi meninggal dunia di Baghdad pada 597H /1201M.
Syaikh Muhammad Nashr al-Din al-Albani ialah seorang ulama' hadis masa kini yang ulung. Lahir di Albania pada 1332H/1914M. Banyak meluahkan tenaga mengkaji dan membersihkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam daripada yang palsu dan yang tersangat lemah. Banyak menulis buku-buku yang membezakan antara amalan sunnah dan bid'ah, antaranya banyak yang sudah diterjemahkan. Meninggal dunia pada tahun 1420H/1999M. Lebih lanjut, sila rujuk buku Mubarak Bamuallim berjudul Biografi Syaikh al-Albani: Mujaddid dan Ahli Hadits Abad Ini (Pustaka Imam asy-Syafi‘i, Bogor 2003)
[13]             Hasbi al-Shiddieqie - Hukum-hukum Fiqh Islam (Rizki Putra, Semarang 1987), Hukum no: 1038.
[14]             Hadis daripada Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma, diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah, lihat Shahih Muslim – no: 2003 (Kitab Minuman, Bab setiap yang memabukkan adalah khamr……).
Muslim ialah al-Imam Muslim bin Hajjaj al-Qusyairi al-Nasaburi, lahir di Nisabur pada 204H/820M, seorang ahli hadis yang terkenal dengan kitabnya Shahih Muslim. Ia memuatkan sebanyak 7000 buah hadis yang sahih dansudahpun diterjemahkan. Beliau meluahkan belasan tahun kehidupannya merantau ke pelbagai pelusuk dunia Islam untuk mencari dan menulis hadis, kemudiannya disaring dengan syarat-syarat yang ketat sebelum dimuatkan dalam kitab sahihnya. Meninggal dunia pada tahun 261H/875M.
[15]             The Evolution of Fiqh, ms. 55-56.
[16]             _ _ _: Hadis riwayat ‘A’isyah radhiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh Ibn Majah dan al-Daruquthni dengan sanad yang dha‘if. Akan tetapi memiliki penguatnya dari jalan yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dan al-Baihaqi, demikian terang Mahmud Muhammad Mahmud dalam semakannya (tahqiq) ke atas kitab Sunan Ibn Majah – no: 1221 (Kitab Mendirikan Solat, Bab berkenaan membangunkan solat). Lebih lanjut lihat Subul al-Salam oleh Muhammad bin Ismail al-Shan‘ani (edisi terjemahan oleh Abu Bakar Muhammad; Al Ikhlas, Surabaya1988), jld. 1, ms. 179-180.
Ibn Majah ialah al-Imam ‘Abd Allah Muhammad bin Yazid bin Majah, lahir di Qazvin, Parsi pada 209H/824M. Beliau terkenal dengan kitab hadisnya Sunan Ibn Majah, memuatkan kira-kira 5000 buah hadis dan sudahpun diterjemahkan. Selain itu Ibn Majah juga terkenal sebagai seorang ahli tafsir. Beliau meninggal dunia pada 273H/887M.

Tiada ulasan: