Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 25 November 2011

Jadikan Al-Quran Perlembagaan Hidup

alquran perlembagaan hidupRamadhan bukan sahaja bulan difardhukan puasa, tetapi juga bulan diturun kan al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia secara serentak. Al-Quran kemudian diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun dalam 2 fasa-Makkiyyah dan Madaniyyah.

Al-Quran menjadi mukjizat kekal bagi Nabi SAW dan buat manusia seluruhnya. Mukjizat-mukjizat lain seperti air keluar dari celah jari, pokok kurma datang kepada Nabi, bulan terbelah hanya dilihat di zaman ia berlaku.

Mungkin ada kesannya yang boleh dilihat hingga sekarang tetapi satu-satunya mukjizat yang kekal, bukan sahaja sebagai mukjizat dengan nama mukjizat, bahkan sebagai petunjuk kepada manusia, mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, menjadi pemisah di antara yang haq dan batil serta menjadi perlembagaan paling tinggi buat hidup dan kehidupan manusia di dunia ini ialah al-Quran.


Hebatnya al-Quran sebagai perlembagaan hidup manusia sehinggakan Nabi Isa as yang turun di akhir zaman nanti pun akan berhukum dengan al-Quran dan syariat Muhammad SAW walaupun Nabi Isa dibangkitkan lebih awal dari Nabi Muhammad SAW dan kitab Injil lebih awal turunnya dari al-Quran. Kalau Nabi Isa pun berhukumkan al-Quran sedangkan Baginda juga punya kitab, maka bagaimana dengan kita dan manusia lain yang tiada kitab yang mesti diikuti melainkan al-Quran itu sendiri?
Al-Quran sebagai perlembagaan hidup diucapkan sedari kecil oleh kanak-kanak PASTI: ‘Al-Quran dusturuna’ (Al-Quran perlembagaan kami). Ia juga menjadi slogan dalam Parti Islam se-Malaysia PAS. Lebih dari itu, ia bukan sekadar ucapan kanak-kanak dan slogan tetapi itulah juga yang menjadi inti perjuangan PAS yang menjadi kesinambungan perjuangan Nabi Muhammad SAW yang kemudian disusuli oleh para sahabat dan pengikut-pengikutnya sehingga hari Kiamat.
Besarnya al-Quran sebagai perlembagaan hidup ini difahami oleh para orientalis Barat. Mereka telah mengkaji kekuatan umat Islam. Mereka sedar kekuatan umat Islam ialah apabila mereka berpegang dengan ajaran al-Quran (bersama petunjuk Sunnah Nabi Muhammad SAW). Kekuatan inilah yang cuba dibuang dan dijauhkan oleh musuh Islam dari umat Islam. Umat Islam disogok dengan fahaman asing, ideologi asing, sistem asing, cara penyelesaian asing, budaya asing dan segala-galanya yang asing dari fitrah semulajadi mereka dan perkara yang menjadi ruh kepada kekuatan mereka.
Al-Quran menjadi kitab yang tidak difahami oleh umatnya sendiri. Mereka buta al-Quran. Al-Quran tidak dapat dibaca dengan baik. Maknanya tidak difahami. Kalau difahami pun, tidak dilaksanakan tuntutannya. Perjuangan menegakkannya dianggap ketinggalan zaman dan tidak relevan. Pelbagai alasan dibuat untuk tidak melaksanakan tuntutan al-Quran, bukannya mencari jalan bagaimana boleh dijayakan tuntutan al-Quran itu. Ia berkait dalam aspek kepercayaan, ibadah, muamalah (urusan sesama manusia), jenayah, politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan segala urusan kehidupan.
Musuh Islam dari Barat dan Timur telah menguasai pemikiran umat Islam supaya merasai asing dengan al-Quran. Yang dahsyatnya apabila mereka mengaku sebagai Islam tetapi menentang perjuangan golongan yang mahu memartabatkan al-Quran sebagai sistem hidup, sedangkan sistem hidup yang berdasarkan al-Quran (beserta as-Sunnah dan otoriti-otoriti lain) inilah yang telah menyelamatkan manusia sebelum ini dan inilah juga yang akan menyelamatkan mereka di Akhirat nanti.  ‘Umat akhir zaman tidak akan berjaya melainkan mereka menuruti perjalanan kejayaan orang terdahulu’

Tiada ulasan: