Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 24 November 2011

Dengar ni, wahai ulama'-ulama UMNO !!!



Kenapa umat Islam, hatta di kalangan ulama-ulama terbuang di Malaysia, tidak bersependapat dan sepakat dalam hal pelaksanaan hukum hudud? Malah mereka dilihat bertentangan antara satu sama lain. Seolah-olah hukum hudud itu ada pilihan untuk melaksanakannya atau tidak melaksanakannya. Berikutan kecelaruan itu, apakah pandangan Dato' dalam perkara ini?

Dato' Dr. Haron Din : Berlainan dan percanggahan pendapat dalam Islam adalah perkara lumrah dari dahulu hingga sekarang. Bagaimanapun perlulah diketahui bahawa berlainan pendapat itu, ada yang diharuskan syarak dan ada yang dilarang. Malah ada yang amat-amat dilarang.

Yang diharuskan adalah pada perkara-perkara/ furu'iyyah (masalah-masalah cabang) yang tidak ada nas syarak yang memastikannya. Adapun yang diharuskan berkhilaf, adalah pada ruang berijtihad pada perkara yang ada tiada nas syarak, tidak ada ayat yang menetapkan hukumnya. Lebih-lebih lagi pada perkara yang baru timbul, di mana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Contoh jelas yang diharuskan berkhilaf. Seperti bila mana sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W tidak bersependapat, sama ada hendak menghimpun dan menulis semula Al Quran. Abu Bakar As Siddiq R.A berpendapat tidak boleh dibuat kerana Rasulullah S.A.W tidak melakukannya dan tidak pernah ada suruhan melakukannya. Oleh kerana itu beliau berpendapat, ia tidak boleh dilakukan. Manakala Umar Al Khattab R.A berpendapat, perlu dilaksanakan usaha pengumpulan dan penulisan Al Quran kerana dibimbangi akan hilang daripada hafalan ummah. Sebabnya pernah berlaku, ramai penghafal Al Quran yang terkorban syahid. Generasi kemudian akan kehilangan Al Quran. Setelah mereka bertelagah, akhirnya mereka bersetuju perlu dihirnpun dan ditulis semula Al Quran.

Demikian juga mereka bertelagah dalam memilih seorang ketua negara untuk menggantikan Rasulullah S.A.W, bagi meneruskan pemerintahan Islam. Mereka bertelagah pada memilih orang, yang akhirnya mereka bersetuju memilih Abu Bakar As Siddiq.

Dalam permasalahan hudud, perlu atau tidak melaksanakannya, telah dijawab oleh amalan Rasulullah S.A.W, para sahabat dan juga as-salafussoleh. Perlu melaksanakannya. Mereka tidak pernah bertelingkah kerana wujud nas-nas syarak yang amat jelas, menyuruh kita, khasnya pihak berkuasa agama, pada setiap generasi, pada setiap negara, wajib melaksanakannya.

Sepatutnya tidak berlaku pertentangan pendapat di kalangan ulama-ulama muktabar, khasnya ulama 'amilin (yang beramal dengan ilmunya), jika kesemua mereka benar-benar takutkan Allah dan melaksanakan perintah Allah. Bagaimanapun jika ada di kalangan mereka, yang takut akan kehilangan maslahat keduniaan, daripada kemurkaan Allah Taala dan azabnya, maka akan berlakulah apa yang anda ajukan pada persoalan di atas, bahawa ada ulama bertelingkah.

Setiap satu dalam kesalahan hudud (mencuri, merompak, berzina, menuduh zina, meminum arak, murtad) semuanya telah ditetapkan Allah hukumannya di dalam Al Quran (dan terang hukumnya) dan juga hadis-hadis sahih, maka pelaksanaannya adalah wajib.