Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 11 Jun 2011

Komunikasi Kulit Komunikasi Isi

Get the point, not the points!Ya Allah, rezekikanlah kami kefahaman! mulut melafaz doa.
Rupa-rupanya FAHAM itu adalah rezeki.
Andai faham itu rezeki, maka jalan kepadanya sama seperti rezeki-rezeki yang lain.
Rezeki wang, datangkah ia berkepuk jatuh dari langit?
Tentu sahaja tidak. rezeki wang datang dengan kerja dan usaha. Perlu berusaha.

REZEKI PENJUAL MODEM BROADBAND
Seorang anak muda berusaha untuk mencari wang. Dia membuka meja untuk menjual modem Broadband, di bawah redup pohon bidara, di tepi sebuah lorong yang orang tidak berapa lalu. Berpeluh dari pagi hingga ke petang. Menjelang sore, terjualkah modem beliau?
Sifar!
Langsung tidak terjual.
Jika syarat rezeki itu ialah berusaha, bukankah beliau sudah berusaha? Tentu sahaja beliau sudah berusaha. Berpeluh, masa dan sabar, dari pagi hingga ke petang. Tetapi usahanya tidak membuahkan hasil. Puncanya, beliau SALAH CARA dalam BERUSAHA.
Jual modem Broadband di bawah pohon bidara? Pohon bidara itu pun orang sudah takut melihatnya. Mungkin ada yang sampai terdetik, “yang di bawah pokok itu manusia atau jembalang?” Lorong itu pula tidak ditempuh orang. Maka usahanya memang usaha. Tetapi hasilnya tiada. Semua kerana salah cara dalam berusaha.
Samalah juga dengan rezeki faham.
Bukan semua orang yang berusaha datang ke majlis ilmu akan faham. Yang tidak ke majlis ilmu sudah tentu bermasalahnya dia. Tetapi yang datang pun, sama ada majlis ilmu secara mengadap, mahu pun dengan melayari halaman-halaman web sebagai sumber ilmu, bukan semua yang berakhir dengan FAHAM. Ramai yang tidak faham.
Puncanya?
Bukan tidak berusaha. Tetapi salah cara dalam berusaha.
CIRI ULUL ALBAAB
Ulul Albaab tidak ada kena mengena dengan Ahmad Albab.
Albaab itu adalah kata jamak daripada Lubb. Ia memberikan maksud ‘ISI’ atau ‘INTI’. Justeru Ulul Albaab memberi makna orang yang dapat isi, bukan kulit. Jika dikaitkan ia dengan faham, maknanya orang yang ULUL ALBAAB itu adalah orang yang faham isi, bukan faham kulit. Dalam bahasa mudahnya, orang yang get the point.
Siapakah mereka?
Ada 16 ayat di dalam al-Quran Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut tentang karakter Ulul Albaab.
Namun karakter yang satu ini, berkait secara langsung dengan soal rezeki faham:
Syarat pertama untuk jadi orang yang fahamnya adalah faham isi, dia perlu ada kemahiran mendengar.
Dengar dahulu pendapat-pendapat yang datang kepadanya.
Dengar.
Kemudian membuat pertimbangan.
Memilih dan komited pada mengikut yang terbaik.
Itulah pra syarat orang yang mendapat hidayah.
Petunjuk… kunci kepada penyelesaian.
BAGAIMANA MENDENGAR DENGAN KEMAHIRAN TINGGI?
Mendengar, dengan telinga yang dua berbanding mulut yang satu itu, biar sekali ganda lebih bersungguh berbanding dengan bercakap.
Rehatkan persepsi, rehatkan pengalaman silam, rehatkan apa yang kita telah tahu, bukakan diri untuk mendengar dengan empati, supaya apa yang didengar bukan mengikut kehendak kita yang mendengar, tetapi mendengar seperti yang sepatutnya didengar.
Apabila ada sesuatu yang kita rasa tidak setuju, jangan cepat melatah melulu. Kawal diri, dengar atau baca sekali lagi, nilaikan apa yang kita faham.
Apakah kefahaman kita memang apa yang dimaksudkan oleh pihak yang bercakap?
Atau ia hanya persepsi kita?
Misalnya, tatkala seseorang berbicara tentang nuklear, jangan cepat melatah pada menganggap semua yang bercakap kritis tentang nuklear itu mengkritik teknologi nuklear. Mungkin yang dikritiknya adalah integriti pihak pemaju projek nuklear. Bukan teknologi nuklear. Tatkala kita melulu dalam berkata, yang terserlah adalah kegopohan kita. Latah yang melunturkan kesarjanaan pengetahuan kita sendiri. Maka jangan terlalu cepat memberikan maklum balas. Fikir seketika, dan nilaikan semula.
Jangan dengar dan baca apa yang kita mahu dengar dan baca sahaja.
Dengar apa yang orang mahu kita dengar.
Dengar apa yang sepatutnya kita dengar.
Jangan dengar hanya pada perkataan sahaja.
APA SYARAT MENDAPAT KEMAHIRAN INI?
Manusia kulit berkomunikasi antara mulut dan telinga.
Manusia isi berkomunikasi dengan hati.
Komunikasi kulit, menganggap iPhone 4 adalah alat komunikasi paling canggih. Walhal jika hati tidak mahu berbicara, butang merah juga yang ditekannya. Secanggih mana pun telefon, akhirnya tidak dapat berbicara dan mendengar juga.
Komunikasi hati, lain kisahnya. Biar pun terpaksa naik bas loncat bersalin bas tiga kali, semuanya sanggup ditempuh kerana hati benar-benar mahu berjumpa dan berbicara.
Justeru komunikasi Ulul Albaab banyak memerlukan pembaikan hati.
Perbaiki hati, agar ada ukhuwwah, ada empati.
Dengan hati yang mahu berkomunikasi, kita lebih sabar dalam mendengar.
Lebih berisi.
Get the point, not the points!

1 ulasan:

suara malaya berkata...

hmm.. nak jadi pembaca blog awk yang baik hee