Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 19 Jun 2011

Hari Bapa Sejauh Mana Kewujudannya?


Pada umumnya pengorbanan bapa tidak dilihat oleh anak-anak sehebat pengorbanan ibu. Kemungkinan kerana bapa tidak mengandungkan anak. Kemungkinan juga kerana bapa tidak melahirkan anak. Dan bapa juga tidak membesarkan anak dari segi susuan, penjagaan dan pemeliharaan secara langsung. Tugas bapa banyak di luar rumah, di tempat kerja. Kerana itu, masa anak-anak sejak dilahirkan lebih banyak bersama ibu. Hal itu barangkali memungkinkan ikatan, ingatan, hubungan dan perhargaan antara anak dengan bapa dan antara anak dengan ibu agak berlainan. Itulah kelebihan ibu, tetapi bagiku tidak pula mengurangkan kelebihan bapa. Sebenarnya masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri sebab mereka saling melengkapi antara satu sama lain sebagai pasangan suami dan isteri, ibu dan bapa.

Dalam budaya Melayu, pengorbanan bapa terhadap anak kurang diberi perhatian, malah jarang mendapat penghormatan. Dalam himpunan karya sastera Melayu, peranan bapa jarang ditonjolkan. Sebaliknya ibu diketengahkan sebagai tokoh yang berwibawa dan mempunyai kekuatan tersediri. Siapakah yang diungkapkan sebagai watak ideal dalam Batu Belah Batu Bertanggup, Si Tanggang, Malim Kundang dan Bawang Putih Bawang Merah kalau tidak ibu yang mempunyai kekuatan dan ketahanan diri yang begitu kukuh? Sumpahan ibu begitu hebat sehingga antaranya menyebabkan anak menjadi batu seperti dalam Si Tanggang. Barangkali kerana itu juga, Pak Pandir digambarkan sebagai seorang bapa yang jahil apabila diberi tugas menjaga anak telah memandikan anaknya dengan air panas sehingga menyebabkan anak itu meninggal dunia.

Pembacaanku menemukan sejarah kewujudan Hari Bapa. Mengikut sejarah, Hari Bapa dikesan sejak tahun 1839 bagi mengenang kematian 123 lelaki dalam peperangan Iransop. Hari Bapa pada zaman moden mula diadakan pada 5 Julai 1908 di Fairmont, West Virginia, USA sebagai satu acara keagamaan dalam agama Kristian, hasil asperasi sambutan Hari Ibu.

Hari Bapa digerakkan sebagai sambutan sedunia apabila Sonora Smart Dodd mengadakan sambutan ulang tahun pada tahun 1910 bagi mengenang bapanya, William Jackson Smart, seorang veteran Perang Saudara Amerika Syarikat yang secara bersendirian membesarkan enam orang anaknya. Tarikh yang dipilih sebagai Hari Bapa yang pertama diadakan secara rasmi ialah pada 19 Jun 1910.

Bunga ros diiktiraf sebagai bunga rasmi Hari Bapa. Warna merah dipilih untuk bapa yang masih hidup, sementara warna putih untuk bapa yang sudah meninggal dunia.

Apa pun, Hari Bapa bukan tradisi masyarakat Melayu. Hari Bapa juga bukan tuntutan dalam agama Islam. Namun begitu, umat Islam sentiasa diajar untuk terus menerus mentaati, menghormati dan menghargai kedua-dua ibu dan bapa sepanjang masa tanpa mengira hari dan waktu.

Itulah tuntutan agama yang diamanahkan kepada anak. Apakah pula tuntutan terhadap bapa? Tenas Effendy dalam bukunyaUngkapan Tradisional Melayu Riau (DBP, 1989) mengungkapkan ciri-ciri bapa yang sempurna sebagai berikut:

Pertama bapa budak
yang tahu anak bininya
tahu salah dengan silih
tahu adat dengan pusaka
tahu tunjuk dengan ajar
tahu unjuk dengan beri
tahu rumah tangganya
tahu suku sakatnya
tahu tempat tegaknya
tahu diri tahu bebannya.

Dalam budaya Melayu, ada satu peribahasa yang amat berkaitan, iaitu "Sayangkan isteri, tinggal tinggalkan, sayangkan anak, tangan tangankan". Peribahasa ini seolah-olah memberi saranan bahawa seorang bapa yang baik ialah seorang lelaki yang mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi terhadap isteri dan anak-anak, yang bersedia keluar rumah untuk mencari rezeki dan mengajar anak-anak melalui pengajaran yang agak keras disiplinnya. Ungkapan "tinggal tinggalkan" dan "tangan tangankan" itu bagi tidak menunjukkan makna "keterlaluan", tetapi lebih merujuk kepada aspek pengajaran yang terancang dan sistematik.

Nampakanya saranan ini semacam ada persamaan dengan maksud Hadis Nabi dalam konteks mendidik anak-anak untuk bersolat. Ada unsur pendidikan yang terancang dan sistematik. Begitukah?

Yang pasti, kepimpinan melalui teladan adalah resipi yang paling mujarab dalam membina hubungan dalam keluarga. Soalnya: sejauh mana aku?

1 ulasan:

M Fizan berkata...

hari untuk mengingati bapa nie sepatutnya hari2? hehe