Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 5 Jun 2011

Fail Kedua: The Code of All Codes Bahagian 3

Asas bahagian ketiga



Debu Meteor: Sehari Bagaikan Setahun

“Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap yang nyata. Yang meliputi seluruh manusia. Inilah azab yang pedih.” (Quran; ad-Dukhaan: 10-11)

Kitab suci al-Quran menyatakan asap akan menyelubungi seluruh umat manusia dan ia adalah azab yang pedih.  Namun, apakah punca yang membawa kepada kejadian azab berupa asap itu?

“Hari (ketika) Kami menghentam mereka dengan hentaman yang kuat. Sesungguhnya Kami adalah Pemberi Balasan.” (Quran, ad-Dukhaan: 16)

Perkara yang menyebabkan asap itu kemudian dijelaskan oleh Allah dalam ayat ke-16 melalui susunan perkataan ‘hentaman yang kuat’. Secara sifatnya, hentaman yang kuat akan menyebabkan bunyi yang kuat. Bagi mendalami maksud itu, kita harus meneliti keterangan-keterangan lain serta lain-lain ayat al-Quran yang berkisar mengenai ‘objek yang datang dari langit’ memandangkan ayat 10-11 dalam surah ad-Dukhaan juga menerangkan bahawa asap itu berlegar di langit.

Ibnu Abbas melaporkan, Rasulullah berkata: “Orang menceritakan (mereka melihat) bintang berekor sudah terbit. Aku khuatir asapnya sudah dekat. Kerana itu aku tidak dapat tidur hingga pagi (Subuh). – Hadis direkodkan Abnu Jarir at-Thabrani, dilapor diucapkan Rasulullah pada Ramadan tahun Kenabian.

Keterangan hadis ada menerangkan mengenai bintang berekor. Hadis tersebut juga jelas mengaitkan bencana ‘asap’ seperti yang diterangkan dalam surah ad-Dukhaan. Maka, boleh disimpulkan bahawa hadis tersebut mempunyai kaitan dengan keterangan ad-Dukhaan mengenai punca yang menyebabkan asap tersebut.

Pencarian terhadap maksud itu tidak harus sempit dan perlu mengambil kira keterangan-keterangan ilmiah moden yang selari dengan keterangan al-Quran dan hadis. Kenapa harus dibantu keterangan-keterangan ilmiah moden? Ia kerana kitab-kitab tafsir ulama terdahulu tidak menyentuh perihal maksud sesuatu ayat al-Quran yang berkisar astronomi secara terperinci kerana tidak cukup maklumat mengenai astronomi moden. Dengan sebab itu, kita wajar teliti lebih banyak sumber keterangan.

Dalam meneliti maksud dukhaan, kita tidak harus terhenti atau terfokus hanya kepada surah a-Dukhaan semata-mata. Penelitian terhadap surah-surah lain yang menyebut dukhaan juga wajar dilakukan bagi mengetahui maksud dukhaan yang sebenar berdasarkan keterangan Penciptanya dalam al-Quran.

“Kemudian Dia (Allah) menuju kepada penciptaan langit, sedangkan langit itu masih adalah asap (dukhaan), lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi, ‘Datanglah kamu keduanya menurut perintah-Ku dengan suka hati ataupun terpaksa.” (Quran, Fussilat: 11-12)

Dalam pengkajiannya terhadap ayat di atas pula, Dr. Maurice Bucaille melalui bukunya Quran, Bible & Science melakukan kajian perbandingan antara istilah astronomi moden dengan ayat-ayat al-Quran yang berkait dalam hal kaji bintang secara saintifik.

Berdasarkan penemuan astronomi moden terhadap proses kejadian dan kehancuran bintang-bintang, Bucaille kemudian mendefinisikan Dukhaan sebagaisatu kumpulan gas dengan partikel sangat halus, kelihatan seperti asap dan mengandungi lapisan gas berpartikel kecil yang mungkin terdiri daripada bentuk cecair atau pepejal logam pada suhu sangat tinggi atau sangat rendah.

Malah, Bucaille turut menjelaskan bahawa keterangan al-Quran terhadap proses kejadian bintang-bintang adalah tidak bersalahan dengan penemuan semasa terutama dalam faktor kewujudan kumpulan gas yang kelihatan seperti asap (pada mata kasar)  dan diistilah sebagai dukhaan dalam al-Quran.

Maka, dapat disimpulkan bahawa dukhaan adalah bahan-bahan asas (kepelbagaian partikel gas-gas, debu-debu yang  membentuk sesuatu objek cakerawala). Apabila diselarikan dengan bawaan maksud kumpulan gas berpartikel halus yang disebut dalam ilmu astronomi moden, dukhaan  bolehlah dikatakan (tidak semestinya tepat) terbentuk daripada debu berpartikel logam serta bukan logam dan juga jenis-jenis gas yang kelihatan seperti asap.

Dalam pengkelasan unsur  yang membentuk dukhaan pula, debu terdiri daripada unsur logam dan bukan logam manakala gas terdiri daripada wap air, metana, gas-gas karbon dan sebagainya yang mengalami proses pembentukan sesuatu bintang. Maka, sudah tentulah dukhaan itu juga objek yang datang dari langit atau kemunculannya di bumi juga disebabkan oleh kehadiran objek dari langit (angkasa raya) yang menghentam bumi.

Untuk memahami dukhaan, istilah-istilah astronomi seperti asteroid dan meteor perlu kita ketahui sama ada dari segi persamaan mahupun perbezaan antara kedua-duanya.

Dalam bidang astronomi, asteroid didefinisikan sebagai planet minor atau juga disebut planetoid yang bersaiz lebih kecil daripada planet namun lebih besar daripada meteoroid. Ia bergerak dalam jumlah yang banyak antara Marikh dan Zuhal.

Disebabkan jarak pergerakannya tidak jauh dari Bumi, maka perlanggarannya dengan Bumi boleh berlaku walaupun dalam kiraan jarak kira-kira sejuta kilometer. Asteroid boleh hancur apabila berlanggar sesama sendiri di ruang angkasa dan serpihannya tidak mustahil akan sampai ke Bumi.

“Tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan di belakang mereka dari langit dan bumi? Jika Kami kehendaki, nescaya Kami timbuskan mereka di bumi atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit, sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepada-Nya.” (Quran, Saba: 9)

Meteor pula adalah objek angkasa lepas yang berasal daripada serpihan komet atau objek-objek lain di galaksi raya. Ia memasuki Bumi disebabkan faktor tarikan graviti Bumi dan terbakar sebaik memasuki ruang atmosfera Bumi.  Keadaan terbakar dan menyala ini pula diterangkan Allah melalui susunan perkataan ‘suluh api yang menembus’ dalam ayat:

“Syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar (percakapan) para malaikat dan mereka dilontar dari segala penjuru. Untuk mengusir mereka dan bagi mereka seksaan yang kekal, akan tetapi, sesiapa di antara mereka iaitu syaitan-syaitan yang mencuri dengar (perbicaraan para malaikat), maka ia dikejar oleh suluh api yang menembus.” (Quran, as-Saaffaat: 8-10)

Ayat al-Quran banyak menjelaskan ‘syaitan yang direjam’. Dalam hukuman zina, pesalah yang terbukti bersalah dikenakan hukuman rejam iaitu dilontar dengan batu. Maka, keterangan ‘syaitan yang direjam’ itu juga selari dengan maksud ayat di atas iaitu di mana syaitan dilontar dengan batu terbakar seperti menyuluh (suluh api) yang menembus dari langit (menerobos masuk ke bumi) sebagai hukuman mencuri dengar perbicaraan para malaikat.

Jadi, kita memasuki fasa yang boleh diterima sebagai jawapan meskipun jawapan sebenar hanya diketahui oleh Allah. Keterangan mengenai asap dukhaan mempunyai kaitan sangkut paut dengan ilmu astronomi yang menyentuh mengenai punca asap itu.

Ia berdasarkan susunan perkataan seperti:

‘hentaman yang kuat’

‘sedangkan langit itu masih berasap (dukhaan)’

‘ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit’

Manakala dalam keterangan astronomi moden pula, kewujudan kumpulan gas-gas dan debu-debu di angkasa yang membentuk proses pembentukan bintang seperti ditemui pengkaji moden adalah selari dengan keterangan al-Quran.

Dalam pada itu, hadis Rasulullah juga jelas memberitahu bahawa kekhuatiran Rasulullah mengenai asap dukhaan selepas munculnya bintang berekor (objek langit yang menghentam bumi).

Kita juga sudah menganalisa bahawa ia mempunyai kaitan rapat dengan objek langit yang boleh menghentam bumi seperti asteroid dan meteoroid. Maka, bagaimana dua objek langit itu boleh menyebabkan asap menyelubungi seluruh permukaan bumi secara global?

“Patutkah kamu merasa aman kepada Tuhan yang berkuasa di langit bahawa Dia akan menimbus bumi dengan kamu, lalu bergegarlah bumi itu. Atau adakah kamu berasa aman pada Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan mengirim badai berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku.” (Quran, al-Mulk: 16-17)

Secara sifatnya, meteor akan terbakar sebaik memasuki ruang atmosfera bumi. Dalam proses itu, ia juga akan hancur menjadi debu. Namun, hanya meteor kecil yang akan hancur sebaik terbakar di atmosfera. Disebabkan ia hancur sebelum sampai ke permukaan bumi, maka tiada hentaman kuat berlaku. Oleh sebab itu, meteor kecil seperti ini bukanlah yang dimaksudkan oleh al-Quran kerana tiada hentaman kuat yang berlaku.

Bagi mendapat gambaran terhadap meteor yang mampu memberi hentaman kuat ini, kita wajar mengkaji kes hentaman meteor di Arizona sehingga membentuk kawah berdiameter 1.4 kilometer dengan kedalaman 190 meter. Ia adalah satu contoh yang membantu kita dalam memahami keadaan ini.

Kajian yang dilakukan di Amerika pada sekitar 1990 hingga 1998 mendapati, kesan hentaman meteor di Arizona menyebabkan debu-debu meteor tersebut berterbangan di udara selama beberapa dekad sehingga menyebabkan kepupusan beberapa spesies. Meteor tersebut bukan sahaja menyebabkan bumi bergegar akibat hentaman kuat, malah letupannya juga menyebabkan meteor tersebut hancur sebaik menghentam bumi sehingga meteor itu menjadi debu.

Dilaporkan juga, debu yang berterbangan menjadi lebih buruk apabila memasuki lapisan atmosfera dan stratosfera. Keadaan tiupan angin yang kuat dalam lapisan stratosfera menyebabkan debu-debu tersebut tersebar ke seluruh dunia dalam tempoh dianggarkan kurang daripada 72 jam (merujuk kes Arizona).

Hentaman kuat meteor atau juga asteroid pada kira-kira 65 juta tahun lalu telah menerbangkan banyak debu. Bukan sahaja debu yang terdapat di bumi selepas dihentam, tetapi juga melibatkan debu objek angkasa itu sendiri yang mengandungi logam seperti raksa (mercury), besi dan sebagainya. Kandungan logam yang terdapat dalam meteor juga boleh menyebabkan keracunan kepada hidupan bumi terutama jika mengandungi merkuri dalam jumlah yang sangat banyak.

“Dan, Kami turunkan besi yang di dalamnya terdapat kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia, dan supaya Allah Mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasulNya padahal Allah tidak dilihatnya, sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Quran, al-Hadeed: 25)

Keadaan di mana debu berterbangan di ruang atmosfera dan stratosfera juga menyebabkan bumi bergelap dalam tempoh yang lama kerana cahaya matahari dihalang oleh debu-debu tersebut. Mungkin inilah yang dimaksudkan baginda Rasullullah bahawa ‘sehari bagaikan setahun’.

Pusingan siang dan malam ditentukan (secara sifat oleh manusia) dengan sebahagian hari terang dan sebahagian lagi gelap. Hari baru pula akan muncul selepas bumi terang semula. Maka, apabila bumi bergelap kerana debu-debu berterbangan dalam tempoh lama, maka ia seperti berkeadaan malam yang menunggu hari siang pada esoknya.

Tempoh yang lama itu dirasakan seperti setahun atau lebih lama. Manusia akan lupa mengira hari kerana tiada siang atau malam dalam tempoh lama itu dan ‘hari yang panjang’ itu dirasakan seperti setahun. Apabila debu-debu itu termendap, cahaya matahari akan muncul semula seolah-olah baru siang.

Maka, perkaitan antara kesan hentaman sehingga menerbangkan debu (sehingga menyebabkan bumi bergelap dalam tempoh lama) juga selari dengan maksud ‘sehari bagaikan setahun’ dalam hadis yang menceritakan mengenai kedatangan Dajjal.




Bersambung…



Sila ambil nota:

10. langit membawa asap yang nyata
11. hentaman yang kuat
12. hentaman meteor
13. debu berterbangan dalam tempoh lama, menghalang cahaya matahari
14. sehari bagaikan setahun 

Tiada ulasan: