Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 27 Jun 2011

Matador?

Penulis kurang bersetuju dengan pemakaian baju-T BERSIH yang berwarna kuning. Mungkin ini bukan satu pandangan yang popular. Mungkin juga dianggap kurang akses kepada maklumat dan strategi. Tidak mengapalah asalkan penulis dapat melontar sedikit pandangan dan pengalaman daripada Himpunan Bersih yang pertama dulu. Kalau pandangan ini baik, masih sempat untuk golongan anti penipuan pilihanraya mengambil faedahnya.

Sebenarnya penulis sudah congak dan timbang antara kebaikan dan keburukan pemakaian baju-T BERSIH itu. Penulis dapati banyak maksud dan matlamat positifnya. Negatifnya tak banyak namun ada satu yang cukup besar iaitu sasaran untuk mengumpulkan 300 000 demonstran mungkin gagal. 



Apakah justifikasi dari segi undang-undang untuk polis merampas, menghalau dan menangkap orang yang berbaju kuning BERSIH? Sukar untuk dicari contoh sebuah negara yang sanggup melakukan seperti yang dilakukan oleh polis di Malaysia. Polis Malaysia buat perkara yang cukup aneh namun selaras dengan tafsiran Menteri Keselamatan Dalam Negeri tentang undang-undang dan perlembagaan.

Sudah terbukti beberapa kes polis didapati bersalah oleh mahkamah kerana menangkap, menyuraikan dan mengganggu sesuatu ceramah. Pernah polis diherdik hakim kerana dangkal dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Bukan polis tidak serik. Mungkin juga ada orang berkata polis lebih kuat UMNO daripada ahli UMNO. Namun bagi penulis, biasalah orang fasik lebih taat kepada arahan ketua meskipun bercanggah dengan undang-undang dan prinsip agama. Orang macam ini hanya nampak bos yang memberi makan. Mereka tak nampak Tuhan yang mengaturkan segala rezeki itu. Perintah Tuhan tidak ditaati sebagaimana taat mereka akan perintah bos.


Berbalik kepada pemakaian baju-T BERSIH. Pengalaman lalu boleh dikoleksikan. Ada polis rampas baju kuning. Kalau tak nampak baju kuning, polis geledah beg. Ada yang awal-awal campak baju kuning sebelum sampai di sekatan jalanraya. Ada bas dan kereta yang diarahkan berpatah balik hanya kerana ada baju kuning. Sampai di Karak, balik semula ke kampung halaman termangu-mangu. Ongkos dah habis, maksud tak tercapai. Kini, orang yang jual baju BERSIH pun ke soal-siasat di balai. Inilah manifestasi tahap kematangan keadilan di Malaysia.

Di tengah kota, orang yang memakai baju kuning dihambat dan ditangkap. Tak tahulah akta dan fasal ke berapa yang polis pakai. Mereka tak ambil kira kesudahan kes itu apabila dibawa ke mahkamah nanti. Mereka akan halang dan kejar si pemakai baju kuning. Segila-gila orang gila tak pernah fobia melihat baju kuning. Macamana ada manusia yang berpendidikan boleh fobia pada warna kuning. Tak tergamak pula penulis nak umpamakan senario ini dengan lembu jantan yang pantang jumpa orang berbaju merah.

Kesimpulannya, tidakkah nanti hasrat untuk mengumpulkan 300 000 peserta walk for democracy akan terbantut hanya kerana baju kuning? Jadi adakah berbaloi memakai baju tema berbanding dengan kegagalan memaksimumkan peserta perhimpunan aman itu? Namun sekiranya baju-T BERSIH tetap disepakati untuk dipakai, maka biarlah nanti pemakainya menjadi matador yang bijaksana.

Tiada ulasan: