Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Selasa, 13 Disember 2011

Lembu, Korupsi dan…


Presiden Amerika Syarikat ke-34, Dwight David Eisenhower (1890-1969) pernah menerima ‘hadiah’ berupa seekor lembu berharga US$1000. Pada ketika inilah, moral pimpinan dapat diukur—sama ada rakyat akan mendengar silat lidah untuk mengabsahkan pengambilan lembu itu, atau tegas menolaknya dengan kekuatan moral.

Mungkin seperti apa yang pernah dilakukan oleh Ali ibn Abu Thalib yang di satu ketika dikatakan cuba disogok dengan pemberian kuda-kuda terbaik Persia untuk dijadikan kuda-kuda perang. Sogokan itu cuba dilakukan oleh orang-orang kaya di Ambar.
Ali tidak menerimanya, menolaknya kerana diketahui orang-orang kaya itu telah membayar cukai. Lalu kata Ali: Kamu telah membayar zakat kamu, sehingga menerima sesuatu daripada kamu – walaupun kamu menawarkannya secara sukarela dan tulus hati – adalah kejahatan kepada negara.

Meskipun demikian, orang-orang kaya Ambar itu tetap berkeras untuk menyerahkan kuda-kuda itu. Akhirnya Ali menerima, tetapi dengan menolak sejumlah nilai zakat mereka dan biaya suguhan yang diperhitung daripada anggaran biaya perang. Maknanya, pemberian kuda-kuda Persia itu secara automatik telah jadi milik negara. Bukan lagi milik peribadi Khalifah.

Tidak ada keburukan dan kejahatan yang tak wujud kepanjangan gejala korupsi dan nepotisme. Di dalam antara sejarahnya yang paling kotor, tentu kita boleh lihat kepada batang tubuh orang yang bernama Gaius Verres (115-43 Sebelum Masihi). Verres, pada tahun 73-71 SM adalah gabenor di wilayah Sisilia—sebuah wilayah yang berada di dalam empayar Romawi.

Belum pun seperti ahli majlis, para penguasa dan menteri-menteri seperti sekarang, ketika itu jadi gabenor adalah cara paling lumayan untuk jadi kaya-raya. Di dalam sejarah Romawi, pelbagai bentuk korupsi, rasuah dan nepotisme berlaku yang kemudiannya dilihat ahli sejarah sebagai antara punca runtuhnya empayar tersebut. Memang, kerumitan kes-kes rasuah di Romawi lebih dahsyat ketimbang hari ini, khususnya di Malaysia.

Verres, di suatu waktu juga menjual-beli hukuman yang dikenakan kepada seseorang prajurit yang dijatuhi hukuman mati. Dia tetapkan besar mana wang suapan untuk menentukan cara kematian pada hukuman mati, serta kaedah pengebumian si terhukum. Kebetulan sahaja pada ketika itu, sejumlah kapten armada laut Romawi dijatuhi pelbagai hukuman selepas tewas berhadapan dengan lanun dekat Syracuse.

Dia terlebih awal telah merangkus wang suapan berjumlah enam pound bagi tiap-tiap orang awak-awak yang mahu ponteng kerja sepanjang musim panas—musim panas di Eropah adalah antara waktu terbaik untuk bercuti dan libur. Dalam waktu sama, Verres mengambil seluruh gaji awak-awak yang diberikan oleh negara.

Dari sana, pelbagai pelanggaran undang-undang dan hukum merebak; pemerasan agar orang membayar suapan menggila berleluasa. Termasuk yang terpaksa membayar wang suap ialah orang tua-tua dan sanak saudara kepada mereka yang terhukum.

Tujuan wang suapan kepada Verres ialah bagi ditentukan kaedah hukuman mati seseorang terhukum. Sama ada dengan memenggal sekali kapak di leher, cepat atau lambat pemenggalannya, sama ada sakit atau tidak, jumlah tetakan, sama ada mati secara perlahan-lahan atau mati dengan cepat. Semua itu adalah ditimbang mengikut berapa jumlah wang suap yang perlu dibayar kepada Verres.

Kisah yang ditulis kembali di dalam buku Dr Syed Hussein Alatas, “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi” (DBP, cetakan pertama 1995), menunjukkan melalui pelbagai catatan sejarah Romawi bagaimana bobroknya korupsi dan rasuah yang dilakukan Verres. Dipetik daripada seorang pengarang satira Romawi, Juveral, bahawa ada tiga orang pelaku rasuah yang cukup jelek hidup sezaman, iaitu selain Verres, dua yang lain ialah Dolabella dan Antonius.

Sungguh tidak ada kejahatan yang tidak dilakukan Verres lanjutan amalan rasuah yang dia buat; daripada pemerasan, rompak, penyuapan kembali, memperkosa, meniduri isteri orang lain, khianat, membunuh, menjarah karya seni, menjual-beli jawatan, makan riba sehinggalah memalsukan wasiat orang mati.

Di dalam sejarah tamadun-tamadun manusia, rasuah, korupsi dan nepotisme berlaku di mana-mana sahaja, di dalam pelbagai bentuk… sampai, kadang-kala sukar sekali untuk menentukan bentuk-bentuknya. Sukar juga untuk mengesan di permulaan amalan itu, yang dilakukan seseorang; sama ada petinggi dan penguasa politik, hakim, sehinggalah para pegawai rendah yang diberi kuasa untuk memungut wang cukai atau zakat.

Sesiapa pun tahu, rasuah di Malaysia tidak hanya wujud di peringkat tertinggi, namun tetap wujud di kalangan pegawai bawahan: tidak cuma berlaku di kantor-kantor di Putrajaya atau lobi Parlimen, misalnya, tetapi juga berlaku di tepi-tepi jalan dan di warong-warong kopi.

Syed Hussein dalam renungan dan kajian terhadap gejala ini, juga merumuskan bahawa penguasa dan petinggi politik di banyak negara membangun seperti di India, Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Sri Langka misalnya tak punya keazaman dan kebulatan tekad untuk menghapuskan rasuah.

Slogan anti rasuah adalah tebu di bibir. Malahan, golongan penguasa itu sendiri menjadi punca dan bergelumang dengan rasuah sampai menjolok mata sekali. Antara lain, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan sebuah badan bukan kerajaan, Transparency International Malaysia (TI-M), kedudukan Malaysia merudum lagi daripada tangga 56 tahun lalu ke tangga 60 pada tahun 2011. Kejatuhan indeks ini berlaku tiga tahun berturut-turut sejak 2009.

Laporan Juru Audit Negara yang diterbitkan saban tahun, dengan jumlah ketirisan dan kebocoran wang rakyat, pembelian sesuatu barang yang terlalu mahal berlipat kali ganda, tidak lain hanya bayangan akan gejala rasuah di pelbagai peringkat. Sayang seribu kali sayang kala mana laporan itu hanya sekadar laporan tahunan dan seumpama bebelan yang tidak berkesudahan sejak puluhan tahun lamanya.

Cetakan kedua buku “Rasuah—Syed Hussein” itu dibuat pada 2002, iaitu di kala Malaysia sedang hangat diperkatakan orang akan gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, korupsi dan nepotisme. Tahun itu adalah tahun-tahun di mana rakyat Malaysia terhidang dengan kes seperti pelaksanaan pengunaan wang keuntungan Petronas untuk menyelamatkan syarikat anak Perdana Menteri, skandal Perwaja sampailah kepada latar skandal Bank Bumiputra-BMF yang akhirnya lenyap begitu sahaja.

Masing-masing tahu. Masing-masing di antara rakyat negara ini juga pernah melalui secara langsung dan tidak langsung pengalaman berhadapan dengan ugutan wang suapan. Paling tidak di tepi jalan, yang dilakukan oleh anggota polis. Semua ini membayangkan jumlah wang lebih besar atas gejala rasuah yang berlaku di peringkat atasan, tetapi, masing-masing mendiamkan diri.

Mendiamkan diri kepada amalan rasuah, kini dilihat hanya kesempatan untuk menggantikan si pelaku rasuah yang tua, kepada pelaku yang baharu. Penggantian penguasa dan parti politik, daripada Umno-BN kepada Pakatan Rakyat sama sekali tidak wajar dilihat hanya sebahagian daripada proses ganti Si Pemeras. Ada terdengar sipi-sipi di mana amalan pemerasan berupa rasuah juga tetap berlaku walaupun selepas gantian rejim di mana di era Umno-BN bayaran suapan kelulusan untuk papan iklan jalan cukup tinggi sehingga ratusan ribu ringgit, tetapi di era Pakatan Rakyat menjadi sedikit murah dan hanya puluhan ribu ringgit sahaja.

Apakah ini bisa dibenarkan? Syed Hussein memperingkatkan, sekali imbas dalam kata-kata yang tegas dalam buku sama: Parti yang rasuah akan memperbesarkan kegiatan rasuahnya dan membiakkan rasuah lebih lanjut, mempersubur kegiatan yang bertentangan dengan kepentingan umum. (Halaman 240-241).

Rasuah tetap rasuah, tak kira berapa pun nilainya dan ia adalah pencurian ke atas wang publik oleh individu yang bukan haknya. Sementara bentuk-bentuk rasuah juga meliputi “nepotisme” di mana pemberian kepada anak-isteri dan ahli keluarga yang tidak berada di dalam koridor kekuasaan juga dilihat sebagai kayu api kepada menyalanya amalan rasuah. Begitulah sekira-kiranya tafsiran rasuah. Ia tidak mengambil kira jumlahnya sama ada RM250 juta, mahupun seringgit.

Atas asas moral inilah, perbuatan [mantan] Presiden Amerika, Eisenhower tetap dipersalahkan kerana menerima seekor lembu yang berharga US$1000. Bukan dia sahaja yang menerima lembu itu, tetapi pada mulanya pembantu peribadi dan orang yang dekat dengan Presiden, Sherman Adam yang mula-mula menerima hadiah mahal daripada seorang jutawan, Bernard Goldfine. Hadiah itu berupa baju bulu vicuna berharga US$700 selain sehampar permaidani Asia berharga US$2400. Ketika menerima hadiah itu iaitu pada tahun 1958, Adam berada di dalam kesulitan kewangan.

Masyarakat, termasuk majalah dan surat-surat khabar mengecam Adam, sehingga akhirnya dia melepaskan jawatan. Presiden Eisenhower memang cuba mempertahankan pegawai kanannya itu, nescaya gagal sebelum terbukti akhirnya dia sendiri juga menerima hadiah bernilai ratusan ribu dollar; sebuah traktor yang siap dengan alat menyalakan rokok; juga baju bulu yang sama yang pernah dihadiah kepada Adam, iaitu baju bulu vicuna, serta seekor lembu.