Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 10 Mac 2011

Pembentukan Masyarakat Islam Menurut Al-Quran

Sambil kita menyaksikan pergolakan politik di dunia Arab, khususnya di Mesir, ada beberapa persoalan yang mungkin timbul dalam pemikiran pejuang dan penyokong gerakan Islam. Di antaranya ialah berhubung kenyataan pemimpin-pemimpin Ikhwan, seperti Kamal Al-Helbawy dan Tariq Ramadhan, bahawa pihak Ikhwan tidak ingin mengambil alih tampuk kekuasaan pada masa ini. Bukan sekadar itu, mereka sebaliknya mengaku bahawa peranan Ikhwan tidak begitu menonjol dalam menghasilkan kebangkitan rakyat di Mesir. Ini disebut berkali-kali walaupun ianya merupakan hakikat politik bahawa Ikhwan merupakan parti politik pembangkang yang paling kuat dan tersusun di bumi Mesir ketika ini.

Bagi yang kurang memahami dan ingin mempermudahkan persoalan ini, mereka dengan segera menjawab bahawa itu hanya satu strategi dan tipu helah yang dilakukan Ikhwan supaya dunia Barat tidak menyokong Mubarak dan terus memaksakan kepimpinannya ke atas masyarakat Mesir. Bagi yang memahami proses perubahan masyarakat dari sebuah masyarakat yang tidak berpaksikan Islam kepada yang berpaksikan Islam, mereka memahami bahawa masih ada banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum sebuah gerakan Islam boleh mengambil alih kepimpinan masyarakat.

Alasan yang diberikan para pimpinan Ikhwan berhubung pendirian mereka ialah bahawa masyarakat masih tidak memahami Islam dan konsep pemerintahan Islam. Dalam keadaan ketidak-fahaman ini, maka persoalan kepimpinan Ikhwan ke atas masyarakat Mesir dianggap menyulitkan. Apa yang diingini Ikhwan buat masa ini adalah suatu keadaan yang akan menjamin hak mereka untuk menjalankan program-program penerangan mereka, melalui percakapan, tulisan dan juga amalan, sehingga masyarakat memahami apa yang mereka perjuangkan dan menyokong mereka atas sebab mempunyai cita-cita dan wawasan politik yang sama. Dalam erti kata yang lain, perlunya satu tempoh transisi dalam masa mana masyarakat Mesir akan lebih bebas dan terbuka, mengizinkan proses penerangan dan didikan dilakukan tanpa apa-apa halangan dari pihak berkuasa yang mengongkong selama ini. Suasana sebegini, yang boleh dikatakan sebagai lebih demokratik, akan membenarkan setiap kumpulan bergerak untuk mendapatkan sokongan dari rakyat supaya akhirnya mereka akan diterima sebagai pemimpin dan pemerintah secara rela. Ikhwan berkeyakinan bahawa proses sebegini adalah yang terbaik dan oleh itu tidak gopoh untuk mendapatkan kekuasaan dalam suasana masyarakat masih belum memahami risalah yang dibawa mereka.

Sikap Ikhwan yang sebegini sebenarnya tidak menghairankan. Tulisan-tulisan pemimpin-pemimpin mereka, walaupun dari kalangan yang dianggap paling ‘ekstrim’ oleh dunia Barat, seperti As-Syahid Syed Qutb, menceritakan tentang suatu proses perubahan yang memakan masa, berperingkat-peringkat dan berdasarkan kerelaan masyarakat untuk menghayati perjuangan Islam. Sebagai contoh, tulisan Syed Qutb, di dalam bukunya ‘Petunjuk sepanjang Jalan’ atau ‘Ma’aalim fit Tariiq’ dirujuk di sini sebagai bukti.

Di Dalam Bab kedua yang bertajuk ‘Tabii’atul Manhaj Al-Quran’ atau ‘Tabiat Program Al-Quran’ Syed Qutb menjelaskan bagaimana Al-Quran membentuk masyarakat Islam melalui satu proses yang ditetapkan Allah sendiri. Beliau menceritakan bagaimana melalui proses yang beransur-ansur, bermula dari kefahaman terhadap Aqeedah Islam yang sebenar, kumpulan manusia beriman telah dibentuk. Bagaimana di bawah kepimpinan Ar-Rasul, orang-orang yang beriman dicorakkan berdasarkan hidayah yang diambil dari Al-Quran, yang diwahyukan Allah secara berperingkat-peringkat, sehingga menjadi satu masyarakat yang luar biasa ketaqwaan dan ketaatan mereka. Syed Qutb menegaskan bahawa proses yang lama dan panjang ini disengajakan dan itulah proses yang perlu diguna-pakai oleh mana-mana golongan yang ingin mencorakkan kembali masyarakat ummat Islam sehingga menjadi masyarakat Islam sebenar.

Perkara ini berulangkali ditegaskan, sehingga apabila dikemukakan cadangan untuk gerakan Islam mengemukakan terlebih dahulu “teori-teori mengenai sistem perundangan yang lengkap, supaya Islam membentuk dasar-dasar penyelesaian masalah-masalah yang mungkin timbul”, Syed Qutb menempelak cadangan sedemikian dengan menjawab, “sedangkan di bumi ini tiada lagi sebuah masyarakat yang telah memutuskan untuk patuh kepada perintah Allah dan menolak sebarang peraturan dan undang-undang selain dari syariat Allah, sedang mereka mempunyai kuasa untuk melaksanakannya”. Ini jelas membuktikan bahawa pada pandangan beliau, pembentukan manusia yang mempunyai penganggan Aqeedah Islam yang tepat, kukuh dan mantap perlu didahulukan sebelum terlaksananya perundangan dan dasar-dasar Islam diperingkat masyarakat dan Negara.

Ini adalah kerana Islam bukan peraturan dan sistem semata-mata tetapi ianya adalah terlebih dahulu kepercayaan dan keyakinan terhadap wahyu Allah berhubung peraturan dan sistem tersebut.

Prinsip yang sama boleh kita jumpai di dalam beberapa ayat Al-Quran, termasuk ayat 35 Surah Al-Furqan yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu”.
Dari ayat di atas jelas bahawa keinginan untuk melihat gerakan Islam bergerak secara gelojoh dan gopoh sememangnya diinginkan oleh musuh-musuh Islam termasuk semasa zaman Rasulullah (SAW) sendiri. Namun Allah inginkan supaya mereka yang beriman disabitkan dan diikat hati mereka dengan Al-Quran itu sedikit demi sedikit, sehingga pendirian dan pemikiran mereka dikukuhkan Al-Quran dan dengan itu pembentukkan masyarakat Islam dilakukan dengan cara yang mantap.

Secara ringkas proses yang dibawa Al-Quran merupakan proses yang bermula dengan menanam Aqeedah, diikuti pula dengan pembentukan Akhlak. Akhirnya apabila Aqeedah dan akhlak itu menjadi cara hidup yang dianuti dengan penuh keyakinan, maka dikuatkuasakan syariat sebagai pagar menjaga supaya Aqeedah dan Akhlak tersebut tidak dinodai.

Kalau dilihat dari perspektif ini, amat menghairankan mengapa golongan Ikhwan pernah dan mungkin masih dilihat sebagai golongan ekstrimis serta pengganas. Kemungkinan besar ianya adalah sikap yang terbawa-bawa dari zaman kumpulan Ikhwan menentang British dengan kekerasan pada masa Mesir masih dijajah. Seterusnya selepas merdeka, persepsi ini dikekalkan dan dikukuhkan golongan Sekular Mesir demi menjamin sokongan Barat terhadap regim mereka yang korup dan zalim.

Begitulah juga yang telah diusahakan, walaupun kurang berjaya, di Malaysia oleh UMNO/BN berhubung persepsi masyarakat dan dunia Barat terhadap PAS. Namun, apabila difahami bahawa apa yang diinginkan oleh semua gerakan Islam ialah peluang untuk bergerak melalui proses demokrasi untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap wawasan politik Islam yang diperjuangkan mereka, adalah diharapkan sikap permusuhan terhadapnya akan semakin luntur. Lebih-lebih lagi apabila difahami pula bahawa wawasan politik Islam yang diperjuangkan membawa mesej keadilan untuk semua dan bukan mesej penindasan satu kelompok manusia ke atas kelompok yang lain.

WaLlahu 'Alam

Tiada ulasan: