Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 13 Mac 2011

21 NGO tolak sekatan internet oleh kerajaan Umno-BN

KAMI merupakan kumpulan masyarakat madani yang amat bimbang mengenai niat kerajaan persekutuan untuk menyekat Internet, mengikut laporan akhbar baru-baru ini yang mengungkap pegawai kanan kementerian berkenaan "peraturan hasutan siber" dan perluasan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) untuk meliputi media dalam talian.


Kami membantah sekeras-kerasnya sebarang percubaan untuk memperluaskan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan sekali lagi menggesa kerajaan supaya memansuhkan akta ini berserta Akta Hasutan dan undang-undang lain yang terlalu menyekat dan yang tiada tempatnya dalam masyarakat moden dan demokratik yang menjadi cita-cita negara kita.

Keberkesanan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dalam membelenggui akhbar selama berdekad-dekad begitu nyata, amat mengerikan jika peruntukan drastiknya dikenakan terhadap penerbitan dalam talian, justeru menyebarkan kesan "seram" yang sama kepada ruang Internet.  
Tidak mustahil bahawa permit disyaratkan untuk laman sesawang berita, seperti yang berlaku di negara China.  Dan melihat kepada jumlah buku yang diharamkan setiap tahun di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, besar kemungkinan penulisan dan bahan multimedia yang tertentu dalam Internet dicop "penerbitan yang tidak diingini", manakala pengguna Facebook dan Twitter pula dituduh menyebarkan "berita palsu".

Ciri Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang paling membimbangkan ialah kekurangan sekatan dan imbangan - terutamanya peruntukan yang menyatakan keputusan Menteri adalah muktamad, berbanding dengan Akta Komunikasi dan Multimedia yang sekurang-kurangnya mengandungi rujukan penghakiman.

Jika Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dikenakan kepada internet, ruang siber kita akan menjadi lembab dan ia mungkin meradikalkan pendapat yang berbeza.

Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein berkata pindaan tersebut masih di tahap perbincangan dan masih "terlalu awal" untuk dipersoal oleh pihak media dan orang awam.  

Namun bagi kami, kekurangan ketelusan dan rundingan awam juga merupakan sebahagian daripada masalahnya.  Kami membantah sekeras-kerasnya pendekatan kerajaan yang tidak telus dalam memperkenalkan undang-undang dan pindaan dengan mendedahkan sedikit sahaja maklumat mengenai intipatinya, justeru menimbulkan kerunsingan orang awam.  

Ketiadaan rundingan awam dalam perkara-perkara yang memberi kesan yang besar terhadap masyarakat menunjukkan bahawa hal-hal ini besar kemungkinannya bermasalah, namun kerajaan masih berkeras mahu meneruskannya tanpa mengendahkan pendapat orang awam.

Justeru, kami percaya bahawa ancaman kawalan Internet memang wujud, seperti yang nyata dengan tertubuhnya kumpulan merentasi kementerian - yang terdiri daripada Menteri Dalam Negeri; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim; Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz; and Peguam Negara Abdul Gani Patail - yang menumpu kepada sekatan kebebasan ekspresi dalam talian.

Tujuannya ketara - untuk mengawal media bebas yang terakhir.

Kebangkitan isu ini ketika seluruh negara menanti-nanti pilihanraya umum yang dijangka pada tahun ini menunjukkan motivasi politik wujud di sebaliknya kerana Internet dikatakan faktor penyumbang kepada keputusan pilihanraya kerajaan persekutuan yang paling teruk dalam empat dekad pada tahun 2008.  

Malah, kerajaan persekutuan nampaknya mencontohi negera jiran seberang selat, di mana kerajaan yang dipimpini Parti Tindakan Rakyat meningkatkan gangguan dan kawalan terhadap media dalam talian menjelang pilihan raya.

Kami ingin memperingatkan kerajaan bahawa sebarang pelanggaran jaminan "tiada sekatan Internet", yang diwar-warkan kepada pelabur asing supaya mereka menyertai projek Koridor Raya Multimedia sejak ia dilancarkan pada tahun 1996, akan memburukkan nama Malaysia dan memudaratkan pelaburan.

Sebarang percubaan untuk menyekat kebebasan Internet akan mendesak kumpulan masyarakat madani dan orang awam untuk membawa isu ini ke pilihanraya.  

Kami menyeru masyarakat, yang sudah lama dikekang dari segi kebebasan akhbar, berpersatuan dan berhimpun, untuk bangkit dan mempertahankan sempadan terakhir untuk kebebasan ekspresi - pastikan suara anda didengari dalam ruang bebas yang masih ada atau tunjukkan bantahan anda di peti undi.

Kenyataan bersama ini diusahakan oleh:
Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia (Centre for Independent Journalism); Charter 2000-Aliran; Writers Alliance for Media Independence dan 1 Muted Malaysia.

Dan disokong oleh:
All Women's Action Society (AWAM); Civil Rights Committe of KL-Selangor Chinese Assembly Hall (CRC-KLSCAH); Civil Society Committee of Lim Lian Giok Cultural Development Centre; Coalition of Anti-Genetically Modified Mosquitoes; Community Action Network
Community Development Centre (CDC); Gabungan NGO Kelantan(Coalition Of NGOs Of Kelantan); Health Equity Initiatives; Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT); Lawyers for Liberty
Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA); Pekan Frinjan; Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER); Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan (PERMAS); Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS); Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); Women's Aid Organisation (WAO)

Tiada ulasan: