Sempena perayaan Tahun Baru Cina (CNY), aku menerima sms sahabat dengan ayat yang pendek tetapi bermakna kepada rakyat Malaysia, Tunisia dan Mesir: Huan arrrrr! Huat arrrrr!
Umum sedia maklum bahawa ucapan popular semasa perayaan CNY ialah Gong Xi Fa Cai yang bermaksud "Tahniah dan semoga mendapat rezeki atau kekayaan yang lebih". Apabila menggunakan bahasa pertuturan Hokkien, kosa kata "Huat (发)" sudah memadai untuk menyampaikan maksud yang sama. Maka "Huat arrrrr!" bermaksud "Kurniakanlah rezeki atau kekayaan yang lebih!"
Dalam pada itu, kosa kata "Huan (换)" merupakan bahasa penulisan Mandarin menggunakan aksara Cina. "Huan (换)" bermaksud pertukaran atau perubahan. Mengikut kelumrahan, orang Cina akan menukar sesuatu yang baru, misalnya pakaian menjelang CNY. Seandainya "Huan arrrrr!" ini dibaca dalam konteks politik Malaysia, Tunisia dan Mesir dewasa ini, maka ia bermaksud "Tukarlah kerajaan!"
Maka apabila digabungkan kedua-dua kosa kata tersebut iaitu "Huan arrrrr! Huat arrrrr!", ayat pendek ini bermaksud "Tukarlah kerajaan maka dikurniakan rezeki yang lebih!". Tanpa perlu memanjangkan ayat sms, "arrrrr!" itu seakan-seakan pekikan kuat dari hati sanubari kita dan semua sedia maklum apa yang diharapkan berlaku tanpa berbicara secara panjang lebar.
Inilah keindahan Bahasa Cina sama ada dalam bentuk penulisan atau pertuturan harian kumpulan dialek berlainan tidak kira penghuni desa yang masih bermastautin dalam kampung Cina atau penghuni kota seperti aku yang berperut buncit yang telah lama meninggalkan kampung nelayan mencari rezeki di ibu kota.
Namun bukan tujuan otak durianku berbicara tentang keindahan bahasa dalam penulisan kali ini. Yang otak durianku ingin bicarakan ialah betapa pentingnya perubahan tidak kira dalam konteks pemikiran metafizik atau realiti kehidupan saban hari.
Takut kepada perubahan?
Segala ciptaan tuhan mengalami perubahan mengikut masa. Maka perubahan itu sesuatu yang hakiki. Tetapi manusia amnya takut kepada perubahan kerana perubahan melambangkan ketidaktentuan dan ketidaktentuan itu meresahkan makluk kecil di atas bumi ini seperti aku yang berperut buncit.
Plato, ahli falsafah Yunani kuno telah melakarkan suatu naratif perubahan dalam karya beliau berjudul "Mitos Gua" (Allegory of the Cave), mengisahkan betapa kesempitan dimensi pandangan manusia telah menyekat pemikiran sehingga takut kepada perubahan.
Dengan naratif cerita berkisar sekitar rekaan perbualan antara guru beliau iaitu Socrates dengan abang beliau Glaucon, Plato mengisahkan bagaimana sekumpulan manusia yang hidup dalam sebuah gua dengan tangan dan kaki diborgol dan tersekat dimensi penglihatan sehingga pandangan mereka hanya terhad kepada dinding gua sahaja. Di belakang mereka terdapat satu unggun api yang besar dan bayangan dari cahaya api itu jatuh pada dinding gua sehingga objek ini menjadi tatapan mereka.
Pengalaman semenjak kecil ini meyakinkan mereka bahawa bayangan objek tersebut merupakan dunia nyata sehingga mereka tidak berupaya membayangkan dunia nyata di luar gua tersebut. Naratif ini menjelmakan sejenis pemikiran metafizik berhubung bentuk dan kewujudan. Berlandaskan perkembangan tamadun manusia sehingga hari ini, naratif ini juga dapat diberikan taksiran yang berkait rapat dengan kebijaksanaan insan dalam kehidupan seharian tanpa terpukau dengan "mentaliti gua". Bak kata pepatah Melayu "katak di bawah tempurung", "mentaliti gua" akan menyekat dimensi pandangan dan seterusnya pemahaman kita terhadap perubahan yang sedang berlaku di dalam dan luar negara.
Secara ringkas, "Mitos Gua" akhirnya menceritakan salah seorang dalam kalangan manusia tersebut mula sedar tentang kewujudan dunia nyata di luar gua, melepaskan diri dari ikatan dan melihat manifestasi dunia yang cukup berbeza dengan dunia dalam gua, lantas mengajak kumpulan manusia tersebut menyaksikan wajah dunia yang berbeza dan memberangsangkan.
Mitos Greek senantiasa dicorakkan oleh tragedi. Dalam "Mitos Gua", satu-satunya manusia yang sedar akan dunia di luar gua telah dibunuh oleh kumpulan manusia yang takutkan perubahan. Balik kepada dunia hari ini, kita telah menyaksikan bagaimana rakyat Tunisia Sidi Bouzidi telah membakar diri dan menyemarakkan kemarahan dan semangat rakyat menuntut perubahan apabila dikhianati rejim Tunisia yang korup.
Begitu juga dengan Malaysia. Gerakan reformasi sejak 12 tahun yang dahulu telah menamatkan rejim pemerintahan Mahathir. Proses perubahan itu tidak tenang. Sebaliknya, ia satu proses yang susah, perit dan pahit, sebab orang yang tidak sedar akan rasional di sebalik gerakan tersebut akan melemparkan tuduhan bukan-bukan terhadap orang yang sedar dan menuntut reformasi. Kalau zaman kuno dilempar batu, kini aktivis masyarakat, mahasiswa-mahasiswi, penulis dan pemimpin gerakan reformasi dilempar fitnah.
Orang yang sedar dilempar fitnah
Apa yang disedari generasi reformasi mempunyai persamaan dengan kesedaran rakyat Tunisia dan Mesir terhadap rejim pemerintah yang korup, boros dan pandai membohong. Apabila takut kehilangan kekayaan yang dikaut sekian lama, rejim pemerintah dan kroni mereka akan membohongi rakyat kononnya mereka membela kepentingan Melayu dan menyerang sebarangan asalkan kepentingan peribadi dapat dipertahankan tanpa memikirkan masa depan negara.
Sebab itu, kita sekali lagi menyaksikan reaksi Presiden PERKASA, Ibrahim Ali (gambar kiri) yang melucukan. Kali ini beliau menyifatkan John Malott iaitu bekas duta besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang secara terus terang mengkritik Perdana Menteri Najib Razak - sebagai "sakit" dan perlu dibawa ke pusat psikiatri.
Bukan senang untuk seorang pemimpin berdepan dengan kritikan secara terus-terang apabila pembohongannya sering dicabar. Ini pula pemimpin yang tidak berani berbahas tetapi hanya mampu meneruskan kawalan ketat dan manipulasi terhadap media bagi mengelakkan keretakan hegemoni.
Hari ini, rakyat Tunisia, Mesir dan beberapa negara lagi bangkit menuntut pertukaran rejim pemerintah dan mahukan perubahan yang lebih baik. Kita di Malaysia juga bersedia untuk melakukan perubahan besar. Kalau perubahan dalam tamadun Yunani kuno dicorakkan oleh "Mitos Gua", biarlah perubahan dalam tamadun tanah air dicorakkan oleh tradisi keberanian anak muda Melayu terjun daripada paras tinggi air terjun dan membasahkan diri dalam arus perubahan yang menjadi harapan masa depan negara.
Khusus kepada ribuan warga Malaysia yang baru pulang daripada Mesir, apakah anda telah bersedia berkongsi pengalaman kebangkitan kuasa rakyat di Mesir malahan membawa wacana dan gerakan perubahan besar ke tanah air sendiri?
Perayaan Tahun Baru Cina masih berlangsung, aku yang berperut buncit mengucapkan "Huan arrrrr! Huat arrrrr!" kepada semua rakyat Malaysia, Tunisia dan Mesir.
SMS daripada Najib
Namun, "Huan" ini tidak datang begitu saja. Setiap kali "Huan" berlaku, ia menyaksikan kesengsaraan dan penderitaan. Meskipun begitu, rakyat Malaysia yang telah sedar akan pembohongan sekian lama mahukan "Huan" untuk masa depan yang lebih cerah.
Orang Cina bukan mahukan sesuatu yg manis sahaja semasa Tahun Baru Cina. Apa yang Orang Cina mahukan adalah masa depan yang cerah untuk generasi akan datang. Begitu juga, kita tidak mahu sms yang ringkas semasa CNY, tetapi sekat ruang internet selepas CNY.
Kepada yang menerima sms Najib seperti berikut: "Salam 1Malaysia. Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada kaum Cina. Ikhlas dari Najib Razak & keluarga. najib@1malaysia.com.my. " Jangan lupa menanyakan Najib jumlah peruntukan yang dibelanjakan oleh beliau untuk menghantar sms kepada "semua rakyat Malaysia terutama kepada kaum Cina" di laman web beliau sebelum pertanyaan sedemikian disekat apabila kawalan internet dilaksanakan oleh pentadbiran Najib nanti.
Rejim Hosni Mubarak baru-baru ini telah menutup rangkaian Internet di Mesir, maka tidak mustahil rejim Najib juga mengambil tindakan drastik yang sama apabila berdepan dengan kebangkitan kuasa rakyat.
Sebelum rangkaian internet di Malaysia ditutup, izinkan aku memekik dengan kuat sekali: Huan arrrrr! Huat arrrrr!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan