Filasuf tersohor Jerman, Friedrich Nietzsche pernah mengungkapkan, cara terbaik untuk menghancurkan pemikiran generasi muda adalah dengan mengajar mereka untuk memandang tinggi golongan yang mempunyai corak pemikiran yang sama berbanding dengan golongan yang mempunyai corak pemikiran yang berbeza.
Ungkapan Neitzsche ini, memperlihatkan bagaimana golongan belia berpotensi dikorupkan dengan membantutkan idealisme mereka. Bagi mereka yang 'taat', akan sentiasa mempunyai tempat meskipun kelayakan dan kredibiliti mereka itu boleh dipertikaikan.
Saban waktu kita mendengar pelbagai slogan mengenai belia, belia harapan negara, belia penggerak transformasi, belia itu dan belia ini. Tetapi realitinya adalah sangat mendukacitakan.
Belia Malaysia hari ini seakan dipasung pemikiran mereka sehinggakan potensi mereka terbatas. Kesannya boleh dilihat dengan mudah kini, bagaimana kepimpinan pertubuhan belia yang masih banyak dipimpin oleh kalangan lanjut usia.
Realiti negara kita hari ini menyaksikan belia merupakan kelompok terbesar yang terkesan dengan pelbagai masalah dan himpitan: baik dari aspek politik mahupun ekonomi. Belia yang sepatutnya bebas daripada kemelut sebegini terus-menerus ditekan dalam diam, dengan hambatan politik yang mengekang idealisme mereka dipugar segar, dan himpitan kos sara hidup yang makin membebankan dari hari ke hari.
Situasi ini berlaku kerana belia tidak dilihat sebagai aset negara , sebaliknya dilihat sebagai satu bentuk ancaman kepada hegemoni politik yang mahu kekal lebih lama di tampuk pemerintahan. Ini dibuktikan hampir 12 tahun yang lampau, apabila hampir 600 000 suara anak muda dinafikan hak sebagai pengundi. Dan ianya disahihkan lagi dengan keputusan Pilihanraya Umum 2008 apabila undi-undi anak muda memberikan impak kepada pemerintah.
Slogan yang indah tidak menjamin sebuah masa depan yang selamat, sebaliknya hanya nawaitu dan keseriusan bertindak akan kembali meletakkan golongan belia dan generasi muda Malaysia sebagai lapisan kepimpinan masa depan negara untuk Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berwibawa.
Selamat Menyambut Hari Belia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan