Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 21 Mei 2011

KHAIRU UMMAH’ Meneruskan Warisan Ilmu Nabi Saw.

"Sistem halaqah pengajian Rasulullah saw bersama para sahabat baginda adalah merupakan sistem warisan yang sambung menyambung diteruskan hingga ke hari ini. Para sahabat pula meneruskan sistem tersebut bersama para tabien. Halaqah pengajian para tabien seperti Hasan Basri, Imam Abu Hanifah dan lain-lain, seterusnya halaqah para tabiu-tabien seperti Imam Malik, Imam Syafie, Sufian Sauri, Sufian Uyainah, Imam Ahmad Hambal dan lain-lain.

Setiap zaman mempunyai sistem warisan halaqah yang tersendiri sebagai obor menyemarakan keilmuan Islam dan ilmu keduniaan untuk menyahut tuntutan agama supaya mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Dalam catatan sejarah telah terukir nama kegemilangan ‘Madrasah Sultan Nizamul Muluk Baghdad’ di mana salah seorang tenaga pengajarnya ialah Imam Ghazali. Begitu juga ‘Sistem Halaqah Masjid Qarawiyyin’ di Margribi, ‘Halaqah Jamiah Al-Azhar di Mesir. Manakala di Makkatul Mukarramah sistem halaqah di dalam masjid yang mulia itu, terdiri daripada pengajar-pengajar yang begitu mahir daripada pelosok Negara Islam bertumpu di sana untuk menghamburkan pelbagai bidang ilmu. Di sinilah kebanyakan ulama nusantara kita mencebok ilmu warisan tersebut. 
Warisan sistem ilmu Halaqah yang diperkenalkan di nusantara sekitar 1400M seperti di Samudra Pasai pada zaman Malikusalih, di Jawa oleh Wali Songgo dan di Negara Petani Darussalam (sekarang selatan Thai) di zaman Syeikh Syafiyuddin, pendakwah berketurunan Arab yang datang daripada Pasai (Aceh). Sistem ini merupakan sistem  pembelajaran yang  awal-awal di Tanah Melayu sebelum kedatangan British. Telah terukir dalam catatan dairi sejarah bahawa daripada sistem inilah, lahirnya para ulama nusantara yang bertaraf ulama antarabangsa. Antara mereka ialah Syeikh Wan Ahmad B. Wan Mohd Zain Al-Fatani (1856-1908M) bergelar ‘Asadu Mekah’ (Singa Mekah) kerana kealimannya menguasai 47 bidang ilmu, peniup semangat jihad anak bangsa, sebagai wakil pentashih kitab-kitab agama untuk kerajaan Othmani, juga wakil pemerintah Mekah untuk menyelesaikan masalah berbangkit dalam dunia Islam dan lain-lain lagi tokoh ulama nusantara kita.
Selepas meninggalnya Syeikh Wan Ahmad di Mekkah, sistem ini diwarisi oleh jenerasi murid-murid beliau seperti Tok Kenali (Mohd Yusuf B. Ahmad 1868-1933M), sebagai wakil jurubahas pihak gurunya dalam permasalahan berbangkit di perhimpunan ulama di Mesir, pengarang ‘Majalah Pengasuh’ (untuk meniupkan semangat agama dan kemajuan bangsa Melayu) dan pengasas ‘Majlis Agama Islam Kelantan’ dan kemudian diwarisi oleh jenerasi seterusnya sebagai kader-kader warisan yang bergelar ‘Ulama Pewaris Nabi’. Merekalah pelita menyinari alam semesta dengan cahaya Islam di mana mereka mewarisi tugas Nabi saw membentuk ummah supaya berpegang dengan syariat Allah Taala.
Kelainan sistem ini adalah keakraban pertalian Tuan Guru dan murid-murid, di mana situasi ini diwarisi daripada sistem pengajian Rasulullah saw bersama para sahabatnya. Kelainan dan keunikan sistem ini yang begitu ketara adalah kerana pelbagai lapisan dan status masyarakat Islam dapat mengambil manfaat dengan keilmuan, tarbiah dan program-program keagamaan yang dijalankan oleh pihak Madrasah Warisan tersebut.Kerana inilah sistem halaqah ini sebagai Pusat Keilmuan, Pentarbiahan dan Dakwah yang begitu penting dan perlu dikemas kini dengan pembaharuan yang dapat meningkatkan maksimum prestasinya dan dijagai supaya terus berperanan untuk membentuk masyarakat.
Syeikh Wan Ahmad B. Wan Mohd Zin dalam kitab Hadiqatul Azharnya; m/s 18, menyatakan beliau pernah mengunjungi Negara Islam Turki dan Mesir serta melihat sendiri keperihatinan bangsa kedua Negara tersebut dalam bidang ilmu agama dan keduniaan sehinggakan beliau merasakan bangsa melayu jauh terkebelakang. Ketinggian pencapaian ilmu agama dan dunia dapat dikuasai dengan begitu cemerlang sekali dalam usia yang tidak baligh lagi. Keperihatinan yang begitu maksimum daripada pemerintah dan hartawan setempat dalam memartabatkan sistem warisan madrasah amat mengkagumi beliau. Lantaran beliau menyatakan:
“ Maka kasih (suka/ingin) hamba menceritakan setengah (antara) perkara yang berlaku di negeri Istanbul (ibu negeri Turki), Mesir dan lainnya berkenaan keperihatinan dengan ilmu. Maka adalah raja-raja mereka itu membina beberapa madrasah yang besar-besar dan dihiasi dengan segala hiasan yang sangat indah-indah pada segala mata dan cenderung segala hati kepadanya, lagi jadi bersih (lapang/tenteram) kecerdikan dan gemar segala aqal pada menuntut pelbagai ilmu di dalamnya (madrasah tersebut). Demikian lagi orang-orang yang kaya (hartawan) membina satu madrasah atau lebih di setiap kampung, dihiasi dengan hiasan yang elok dan diwakafkan beberapa tanah, rumah atau lainnya. Diambil sewa dan manfaat (kehasilan perkara tersebut) untuk dibelanjakan kepada kemaslahatan madrasah dan diberi gaji para pengajar dengan kadar yang mencukupi…..” (nukilan secara ubah kepada bahasa Melayu moden).

Selepas beliau menceritakan kehebatan ilmu dan kecerdikan pelajar-pelajar muda madrasah tersebut seolah-olah ada malaikat yang menjawab bagi pihak mereka ketika diajukan soalan serta kehebatan majlis soal-jawab ilmu para pelajar yang dihadiri raja, pembesar, orang kenamaan dan rakyat jelata serta pemberian hadiah yang mahal dan alat-alat canggih oleh raja, beliau meluahkan pula isi hatinya:
“ Dan adalah dalam hati hamba risau dan benci dengan sebab ‘ihmal’ (meluputkan/membiarkan) dan mensia-sia (oleh) bangsa kita ahli (penduduk) Tanah Melayu dan ahli ‘Tanah Bawah Angin’ (Indonesia) dan segala raja dahulu dan sekarang yang muslimin dan segala mereka yang kaya (hartawan) tiada memperduli mereka itu seumpama perkara tersebut hingga jadi terkemudian (terbelakang) sekurang-kurang (selekeh-lekeh) ‘Gah’ bangsa (kita) dengan nisbah (bandingkan) kepada bangsa yang lain….” (nukilan secara ubah kepada bahasa Melayu moden).

Menyedari kepentingan ini dan menyahut saranan Ulama Besar kita itu, maka kami pewaris-pewaris keilmuan warisan ini bermuafakat memerahkan buah fikiran, menggemblengkan daya usaha untuk menjayakan pembinaan ‘Madrasah Khairu Ummah’ dengan dipantau serta dikawal operasinya oleh suatu badan rasmi berdafar iaitu ‘Pertubuhan Khairu Ummah’ (no pendaftaran: 0910-09-KEL). Ianya bertujuan memantau, memelihara dan mengawal institusi ini supaya benar-benar dapat memprodukan ‘Pewaris-Pewaris Baginda saw’ dan juga sebagai Pusat Ilmu, Tarbiah dan Dakwah pelbagai masyarakat. Sokongan padu kaum muslimin amatlah diperlukan, lebih-lebih lagi para hartawan dan mereka yang mempunyai ‘kuasa’ disertai niat yang ikhlas untuk menjayakan ‘Madrasah Khairu Ummah’ ini, sebagaimana yang digesa oleh Syeikh Wan Ahmad B. Wan Mohd Zin tersebut.
  Demi menjayakan matlamat Madrasah iaitu melahirkan para ulama yang benar-
  benar  mewarisi ‘Ilmu, Tarbiah dan Dakwah’ Nabi saw serta sebagai Pusat Ilmu,
  Tarbiah dan Dakwah bagi segala lapisan masyarakat, maka tercetusnya sistem Madrasah yang diperkemaskan dengan beberapa pembaharuan;
Sukatan Pelajaran Merangkumi:
a) Kelas Tahfiz- untuk kanak-kanak, remaja lelaki dan perempuan.
b) Kelas Nizami- iaitu sukatan pelajaran yang utama untuk setiap peringkat bagi para pelajar Madrasah dan ianya termasuk dalam peperiksaan bertulis dan lisan.
c) Kelas Umumi- iaitu sukatan kitab-kitab dalam pelbagai bidang ilmu, bertujuan menambahkan ilmu para pelajar Madrasah dan orang awam (sekitar/luar) yang mahu mengikuti pengajian tersebut.
e) Peringkat Tertinggi (Takhasus)- untuk memantapkan keilmuan para pelajar dalam sesuatu bidang ilmu seperti ilmu Tauhid, Fiqh, Tasawuf, Hadis, Bahasa Arab, Perubatan Islam dan lain-lain (jika perlu). Pengajar terdiri daripada tenaga pengajar dalam dan luar negara yang mahir dan pakar dalam sesuatu bidang.
f) Pelbagai lapisan masyarakat- bagi masyarakat awam menimba ilmu di Madrasah ini dengan menghadiri pengajian kelas umumi. Pihak Madrasah juga menyediakan Pengajian Intensif/Program Khusus bagi pelajar rendah, menengah dan IPT, ahli korporat, golongan mualaf, para imam, bakal-bakal pengantin, pertubuhan NGO, agensi kerajaan/swasta dan lain-lain. Kumpulan jamaah yang mempunyai prinsip/ideologi tersendiri boleh menjalankan aktiviti mereka dengan syarat-syarat yang ditentukan oleh pihak Madrasah dan tidak menganggu aktiviti asas Madrasah. Pihak Madrasah juga menjalankan aktiviti keagamaan seperti menyambut hari-hari kebesaran Islam dan lain-lain.

Tarbiah
Untuk merealisasikan Madrasah ini sebagai Pusat Tarbiah para pelajar, pentarbiahan terbahagi kepada:
 a) Pembentukan Amalan Sunat, (diwajibkan):
a.1) Berpuasa hari isnin, khamis dan segala hari yang disunatkan berpuasa.
a.2) Bangun bertahajud secara berjemaah satu jam sebelum subuh. Berzikir secara berjemaah dengan zikir yang ditentukan oleh pihak Madrasah selepas solat subuh dan asar dan hadir berzikir ‘Halaqah’ sekali seminggu pada hari yang ditentukan.
a.3) Solat Dhuha secara berjemaah dan solat berjemaah fardhu lima waktu.
b) Pembentukan Khidmat Secara Berjemaah (diwajibkan):
b.1) Bergilir-gilir secara berkumpulan dengan pembahagian tugas masing-masing untuk membersihkan kawasan dan bilik air Madrasah dan Masjid serta kelas pengajian.
b.2) Bergilir-gilir secara berkumpulan dengan pembahagian tugas masing-masing untuk mengawal keselamatan kawasan Madrasah setiap malam. Setiap kumpulan membuat kawalan hanya selama satu jam bergilir-gilir hingga sebelum subuh.
Dakwah
Bertujuan melatih para pelajar berdakwah masyarakat melalui program-program hari minggu: secara rumah ke rumah, memberi kuliah/ceramah motivasi/seminar di masjid, sekolah, pejabat, institusi pengajian,kampung dan lain-lain.
Tanah Wakaf Khas yang baru diserahkan kepada pihak kami di Taman Tarbiah Chengal Batu, Pasir Puteh, Kelantan seluas lebih kurang 6 ekar yang hanya terdapat sebuah masjid yang tidak lengkap dan sebuah bilik air ala kadar. Kami memerlukan bantuan orang ramai untuk menjayakan pembinaan madrasah warisan tersebut. Bantuan ini dari segi:
A)    Pembelian tambahan tanah untuk diwakafkan
  
  Terdapat beberapa lot yang dikenal pasti pemiliknya mahu menjualkan lot  tersebut. Untuk keterangan lanjut, para penderma hendaklah menghubungi pihak kami.
      
B) Pembangunan Infrastruktur dan Bangunan
Ini merangkumi kerja-kerja Pelan kejuruteraan, Insfrastruktur, membina bangunan serta fasiliti yang berkaitan sehingga siap dan beroperasi sebagai Madrasah. Bahagian ini adalah perkara utama dalam pembangunan Madrasah. Anggaran Kos pembangunan adalah seperti;
NoPerkaraAnggaran Kos (RM)
1.0Pembangunan Fasa 17,565,480.00
2.0Pembangunan Fasa 24,124,800.00
JUMLAH (RM)11,690,284.00

C) Operasi

C.1)Kos Operasi; Ini merangkumi kos-kos operasi untuk menguruskan serta menjalankan aktiviti pembelajaran serta lain-lain aktiviti yang telah dirancang dan ditentukan oleh Madrasah. Kos-kos operasi adalah peringkat kedua selepas pembangunan Madrasah siap sebelum  beroperasi. Cadangan kos-kos ini adalah melalui sumbangan perseorangan, organisasi, penaungan, aktiviti perladangan terancang Persatuan Khairu Ummah dengan bantuan pihak peniaga atau pihak-pihak yang berkaitan atau lain-lain aktiviti halal diluluskan oleh pihak berkuasa yang boleh mendatangkan sumber kewangan dan lain-lain. Bahagian ini adalah perkara kedua selepas Pembangunan Fasal 1 siap tetapi sebelum operasi Madrasah bermula.
C.2)Dana operasi; Ia merupakan aset/harta tetap untuk pembelanjaan kos operasi. Para penderma boleh membantu dengan cara:
  • Menderma sebagai modal untuk pihak Khairu Ummah menjadikan aset/harta tetap dengan cara membeli tanah bagi membina perumahan atau rumah kedai sewaan, menjalankan penternakan dan perladangan, pencetakan, perkilangan (menghasilkan barangan produk halal), perniagaan dan sebagainya yang difikirkan perlu.
  • Mewakafkan harta tetap kepada Khairu Ummah.
  • Merancang sesuatu projek untuk menjayakan dana operasi tersebut seperti melalui bantuan kepakaran, syarikat-syarikat para penderma dan sebagainya.

Para penderma boleh membuat sumbangan dengan kaedah yang dicadangkan seperti berikut;
Kos Pembangunan
(a)   Secara Terus kepada Pertubuhan. Pembangunan akan diuruskan oleh Khairu Ummah dan pihak pengurus projek pembangunan yang dipilih Pertubuhan atau;
(b)   Membuat terus bangunan sehingga siap untuk bangunan yang dipilih/terpilih ( terpulang kepada penderma memilih satu bangunan atau lebih) dan seperti dalam pelan lengkap pembangunan Madrasah. Pertubuhan Khairu Ummah hanya akan memantau perjalanan projek sehingga siap.  

Kos Pembelian tambahan tanah wakaf & Dana Operasi
(a)   Secara Terus kepada Persatuan untuk diuruskan. Bahagian ini boleh dibincang secara berasingan.
Para penderma yang berminat boleh menghubungi nama berikut untuk berbincang lanjut tentang hal pembangunan Madrasah ini dan Operasi (pihak kami juga menerima apa-apa jua bentuk sumbangan)
1)     Yang Dipertua: Ustaz Nik Mohd Nazimuddin B. Nik Ibrahim, H/P: 013 9723 118 @ 0129463992
2)     Setiausaha: Ustaz Puad B. Abd Wahab, H/P: 019 940 9870
3)     Bendahari: Ustaz Mohamad Izwan B. Abdul Ghafaruddin, H/P: 019 300 9907
 # Segala sumbangan hendaklah disalurkan melalui :
  • Bank Muamalat Malaysia Berhad no akaun : 0302-0000656-71-8  

  • Maybank Islamic Berhad no akaun : 55310 4411 805

di bawah nama:-
         
PERTUBUHAN UMAT CEMERLANG KELANTAN (KHAIRU UMMAH)
Alamat surat menyurat: PERTUBUHAN UMAT CEMERLANG KELANTAN (KHAIRU UMMAH) 4657C Jln Masjid Langgar 15200, Kota Bharu, Kelantan.


Tiada ulasan: