Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 24 Februari 2013

Mengapa ulama berbeza pendapat? bah(1)


Ada yang keliru melihat pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam satu-satu isu, sama ada isu yang melibatkan cabang akidah, lebih-lebih lagi dalam isu hukum ibadah, muamalat dan sebagainya. Lebih mendukacitakan terdapat yang begitu 'tidak faham' atau sengaja 'buat-buat tidak faham' sehingga ke peringkat menuduh para ulama mencipta hukum halal dan haram menurut kehendak mereka sendiri, malah menjustifikasikan tuduhan mereka dengan mengatakan para ulama mencabuli hak Allah yang hanya Dia boleh menetapkan hukum.

Kecetekan ilmu khususnya berkenaan Fiqh dan Usul Fiqh serta peranan dan tugas para ilmuan Islam adalah antara punca tuduhan liar sedemikian berlaku.

Kejahilan ini menyebabkan ada sebahagian mereka mencerca ilmuan Islam sebagai "ingin jadi tuhan" kerana mengharamkan sesuatu, khususnva apabila bertentangan dengan kesukaan mereka. Memang benar, dalam Islam seorang manusia tidak berhak untuk mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah dan Rasul-Nya yang menentukan. Hakikatnya para ilmuwan Islam sama sekali tidak mengharam dan menghalalkan sesuatu berdasarkan selera mereka, tetapi mereka menuruti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, melalui kefahaman terhadap ayat-ayat al-Quran, Hadis Nabi dan segala jenis tafsirnya berdasarkan konteks bahasa, sebab turun, konteks masa dan setempat dan lain-Iain.

Sebahagian kumpulan manusia yang keliru, suka mencela para ilmuwan Islam disebabkan perbezaan pandangan mereka dalam sesuatu isu. Mereka dituduh tidak konsisten, mengelirukan dan pelbagai lagi. Lebih buruk, apabila orang awam ini merasakan pandangan mereka yang tidak didasari ilmu itu disangka lebih benar lalu mula mencerca ilmuwan Islam yang tidak disukai mereka atau kesemuanya sekaligus.

Sebenarnya perbezaan ijtihad dalam hal ehwal hukum ini telah wujud sebelum imam-imam mazhab empat lagi, ia telah pun bermula sejak zaman Sahabat bersama dengan Baginda SAW. Begitupun perbezaaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya, ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai rnengendalikannya. Di ruangan terhad ini beberapa contoh ingin diketengahkan sebab-sebab perbezaan itu berlaku, antaranya:

Sebab Pertama : Arahan Nabi Yang Berbeza Untuk Individu Tertentu

Sebagai contoh, dalam isu fiqh ibadah. Imam Muslim meriwayatkan terdapat sahabat yang cacat pengelihatan mengatakan, “Aku tidak mempunyai pemandu untuk ke masjid untuk solat berjemaah, maka berilah aku keizinan untuk menunaikannya di rumah sahaja.” Lalu Baginda SAW memberikan keizinan kepadanya. Namun, apabila Baginda mengetahui orang tersebut menetap berhampiran masjid sehingga boleh mendengar laungan azan, Baginda SAW menarik semula keizinannya. (rujuk Sohih Muslim, No:1486) Walaupun begitu, Nabi pernah memberi keizinan kepada saorang sahabat yang lain bernama 'Itban bin Malik, tanpa ditarik semula keizinan. (rujuk Sohih Muslim, No:14-96).

Kedua-dua arahan mempunyai latar belakang kisah yang tersendiri, Maka para ulama mempunyai pendirian berbeza dalam menanggapi kedua peristiwa ini sehingga memberi kesan kepada ijtihad dan cara mereka meletakkan hukum. Lalu perbezaan pendapat tersebar. Begitu juga halnya Nabi pernah memberikan izin kepada Abu Bakar as-Siddiq untuk mendermakan keseluruhan hartanya, sedang Nabi tidak mengizinkan sahabat yang lain untuk melakukan hal yang sama, (rujuk Sunan Abi Daud, No:1678 dan No:3319). Kedua-dua kes contoh ini bukan merupakan kes terpencil malah ia berlaku dalam kekerapan yang banyak.

Ia jelas menunjukkan Nabi memberikan arahan dan keputusan berbeza kepada orang yang berbeza. Kebiasaannya mempunyai hubung kait dengan latar belakang individu yang bertanya. Atas sebab ini, muncul ulama yang memberikan fatwa berbeza, disebabkan perbezaaan dalam mengambil dalil dan memahami konteksnya. Jika ingin difahami, sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi membenarkan Abu Bakar as-Siddiq RA menyedekahkan keseluruhan hartanya kerana Baginda mempunyai keyakinan terhadap keimanan Abu Bakar RA, di samping yakin Abu Bakar mampu untuk terus istiqamah dengan Islam, tanpa merneinta-minta bantuan daripada Baginda Rasul, walau dalam keadaan seluruh hartanya telah disedekah. Namun keyakinan yang sama tidak bagi individu yang lain menyebabkan Nabi melarangnya.

Sama keadaannya dalam kes sahabat bernama Hamza Ibn 'Amr al-Aslami, beliau sudah terkenal dengan amalan berpuasa banyak. Tatkala beliau ingin bermusafir, beliau bertanya kepada Nabi, Baginda menjawab, “Kamu bebas sama ada untuk berpuasa atau berbuka” (rujuk Sohih Bukhari, No:1943) Sedangkan dalam hadis lain, Nabi menyebut, “Tiada sebarang kebaikan untuk mengekalkan puasa tatkala dalam perjalanan jauh” (rujuk Sohih Muslim, No:2612). Kita dapat melihat perbezaan fatwa dan ijtihad pasti wujud disebabkan dua arahan Nabi yang berbeza dalam dua situasi yang juga berbeza.

Tentunya, kumpulan sahabat yang mengetahui dan mendengar jawapan Nabi kepada Hamza berbeza dengan kumpulan yang mendengar Baginda ketika melarang. Hasilnya, masing-masing akan membawa dan menyebarkan apa yang didengarinya kepada orang lain dan berterusan. Akhirnya, akan dapat dilihat dua hukum dalam satu isu. Atas dasar itu, terzahir peranan, keperluan kepada kebijaksanaan dan kajian mendalam oleh para ulama dan ahli fiqh, iaitu bagi menentukan hukum yang lebih tepat bagi situasi yang berada di hadapannya, di waktunya dan negaranya. Mereka akan menentukan sumber rujukan hadis dan latar di sebalik hadis terbabit, bagi mengeluarkan jawapan hukum yang paling sesuai bagi keadaannya. 
Bersambung....