Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 23 Februari 2013

Media Lidah Syaitan!

Oleh: Abdul Mu'izz Muhammad 

Apabila dirujuk sirah Nabi S.A.W, kita dapati terdapat sejarah keterlibatan syaitan dalam bidang kewartawanan secara langsung. Syaitan secara terlibat menyebarkan berita jahat yang tujuannya memporak-perandakan saf pejuang-pejuang Islam. 

Lihat bagaimana sejarah perang Uhud yang menyaksikan kekalahan umat Islam. Antara faktor yang menyebabkan tentera Islam kalah, adalah kerana mereka termakan dengan berita palsu. Propaganda itu diusahakan oleh syaitan yang ‘turun padang’ mencetuskan konflik menjejaskan motivasi pejuang Islam ketika itu. Dalam klimaks mendepani peperangan, syaitan menyebarkan berita palsu bahawasanya Nabi S.A.W telah wafat terbunuh.

Berita palsu yang dianggap sensasi tersebut jelas telah menjejaskan motivasi percaya dan setia antara satu sama lain. Maka lemahlah ketumbukan tentera Islam dek kerana termakan dengan berita palsu syaitan. Ada golongan sudah mula menunjukkan rasa berminat menyertai kem Bapa Munafiq Abdullah Bin Ubai yang tugasnya tidak lain mengganggu konsentrasi tentera Islam dengan fitnah dan ejekan. Semakin disegarkan berita-berita sensasi yang belum pasti. Sudah sememangnya ciri munafiq yang menyertai saf tentera Islam hanya sebagai pembakar obor sengketa dan persepsi negatif sesama sendiri.

Sejarah terus berulang. Jika dahulu syaitan terlibat secara langsung dalam menyebarkan berita palsu. Begitu juga kini zaman langit terbuka segala maklumat berada di hujung jari, kita lebih terdedah dengan berita-berita palsu. Jika yang menyebarkan fitnah terdiri daripada musuh, itu bukanlah perkara yang pelik. Kerana syaitan sememangnya konsisten dengan kerjanya. Cuma yang dibimbangkan ada di kalangan saf pejuang Islam yang turut terlibat dan termakan dengan berita yang memporak-perandakan kesatuan berfikir dan keselarasan bertindak.

Lebih malang dari itu, wujud penyakit spastik yang tidak seimbang memberi kepercayaan. Secara‘default’ kita diajar supaya jangan mempercayai media laporan dari pihak musuh. Tiba-tiba muncul liputan dari mereka tentang perihal sahabat seperjuangan kita, tiba-tiba kita percaya. Maka porak-perandalah saf perjuangan. Hasilnya kita ketagih menanti berita sensasi dari pihak musuh, pada masa yang sama kepercayaan sesama kita kian terhakis. Akhirnya hilanglah nilai kemanisan dalam berjuang, lenyaplah nikmat ukhwah.

Kepada Siapa Harus Kita Berikan Kepercayaan?

Imam Hasan al-Banna telah menggariskan bahawa ‘kepercayaan’ – thiqah – merupakan antara sikap yang menunjangi perjuangan. Kata beliau (maksudnya), “Apa yang saya maksudkan berkenaan ‘percaya’, ialah setiap aktivis gerakan Islam mestilah percaya kepada pengorbanan dan keikhlasan pemimpin mereka. Sikap kepercayaan yang dipupuk kuat bakal mencambahkan rasa sayang, hormat dan taat.”  

Mungkin terlalu ghairah menyambut era kemenangan, ramai di kalangan kita yang sudah mula hilang kewarasan. Lebih percaya blog yang bertugas sebagai batu api berbanding pimpinan sendiri. Seolah-olah rela melahap hidangan berita syaitan berbanding mempercayai kalam pimpinan sendiri. Ini adalah bala seperti yang telah diingatkan oleh Nabi S.A.W (maksudnya),“Tidak sesat sesuatu kaum setelah beroleh hidayah, melainkan mereka diasyikkan dengan kontroversi persengketaan.” -Riwayat Tirmizi.

Budaya terbaru yang kian membarah kini adalah menuduh orang-orang tertentu akan khianat dengan perjuangan ini sebentar lagi. Ironinya batang tubuh yang diacukan fitnah tersebut, telah bersama dengan perjuangan ini sejak ‘zaman bertanding hilang deposit’.

Mereka bukan calang-calang orang. Mereka konsisten dengan perjuangan ini sejak zaman kalah. Tiba-tiba muncul zaman hampir mencapai kemenangan, mereka akan lompat parti. Bukankah itu satu dakwaan yang kelakar?

Namun malangnya cakap-cakap itu dipercayai ramai kerana telah dijadikan sebagai propaganda syaitan. Jika diamati, usaha ini amat jelas digerakkan oleh mereka yang ghairah dengan kemenangan. Sewaktu kalah kita tidak nampak muka-muka ini beria-ia bersama perjuangan ini. Tiba-tiba di waktu menang kita lihat merekalah yang sibuk menuduh orang yang berjuang sejak ‘zaman bertanding hilang deposit’ akan khianat.

Oleh kerana itu Tuan Guru Harun Taib telah mengingatkan kita, "Menyayangi ahli kita adalah satu tanggungjawab syar'ie dan kita hendaklah berusaha agar mereka tidak lari daripada ikatan jamaah Islam, usaha ke arah menyayangi mereka dan mengekalkan mereka dalam jamaah adalah satu yang wajib dilakukan dalam hidup berjamaah, ini adalah prinsip perjuangan PAS yang bersandarkan kepada ajaran Islam. Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mencari ahli untuk menambahkan keahlian PAS, maka sudah tentu kita bertanggungjawab di sisi Allah untuk menjaga ahli dan menyayangi mereka sebagai ahli jamaah sepertimana yang terkandung dalam dalam prinsip perjuangan kita yang berdasarkan kepada tuntutan Islam."

Sila Bersikap Waras, Jangan Jadi Bodoh

Penulis pernah diajukan soalan-soalan kontroversi yang diasaskan dengan persepsi negatif, bahawa si fulan dan si fulan dilihat akan khianat masuk UMNO. Penulis berpesan agar bersabar dan bersangka baik. Selagi mereka bersama dalam saf perjuangan kita, mereka tetap sahabat dan saudara seperjuangan yang perlu diperuntukkan kepercayaan untuk mereka. Si penanya masih tidak berpuas hati dengan terus mendesak agar penulis menghemburkan laknat dan ‘harapan’ agar apa yang diperkatakan biar benar-benar terjadi. Biar ‘cakap-cakap’ itu benar-benar berlaku. Biar orang itu benar-benar masuk UMNO.

Penulis menjawab, “Kita terlibat dengan perjuangan ini semata-mata inginkan ganjaran dari Allah. Saya sedikit pun tidak merasa dapat pahala dengan kita mendoakan pengkhianatan kepada orang yang masih bersama kita. Dengan mengulang-ulang ratib si fulan dan si fulan akan masuk UMNO, saya sedikit pun tidak yakin perbuatan itu beroleh pahala. Boleh jadi dosa fitnah. Boleh jadi dosa sangka buruk. Sebaliknya saya amat yakin jika kita mendoakan diri kita dan semua sahabat seperjuangan agar konsisten dengan jalan ini, kita beroleh pahala.”

Biarlah dalam perjuangan ini, kita waras dalam berfikir. Mengapa kita terlibat? Semua akan menjawab ingin mendapatkan ganjaran redha dari Allah Taala. Namun terkadang, kita lupa asas dosa dan pahala menyebabkan kita buat ‘gaya bebas’ sewenang-wenangnya berperangai buruk serta berakhlak jahiliah. Hasilnya kita hilang fokus dengan melakukan kerja yang tidak beroleh pahala. Menganggap ‘tidak mengapa’ menjadi agen separuh masa menyebarkan fitnah dan prasangka buruk terhadap sahabat seperjuangan. Budaya ini menyebabkan hilang ruh da’wah dalam perjuangan ini. Akhirnya kita jadi penghalau, bukan penyeru.