Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 11 Februari 2012

HaNTaRaN KaHWiN MeMBeBaNKaN ?!

Assalamualaikum w.b.t. Saudara seagamaku sekalian, kali ini kita akan membicarakan mengenai topik paling hangat kepada kaum lelaki seandainya diajukan persoalan mengenai perkahwinan. Maka dengarlah seribu satu keluhan yang sukar untuk digambarkan dari benak mereka bergelar bakal suami ini. Sungguh berat menjadi seorang bakal suami terutama sewaktu permulaan melangkah ke alam pernikahan ini.

"Aku nak kawen lambat la, nak enjoy dlu, lagipun kawen ini menyusahkan la."
"Kawen? Susah nak kawen, banyak guna duit bro, baik aku bayar muka kereta sport aku idam selama ni."
"Malas aku kawen, dari kawen baik couple gitu je, dah bosan tinggal la, couple kuar duit sikit, kawen byk bro."

Jadi apakah betul secara realitinya terjadi begini? Cubalah tanya kebanyakan lelaki yang sedang dalam proses pernikahan. Sudah semestinya inilah yang menghambat fikiran mereka selama ini. Justeru marilah kita sama-sama mengupas topik hangat ini. Sebelum itu, apakah dia yang dinamakan dengan wang hantaran ini?

Wang hantaran sebenarnya ialah satu hadiah ikhlas oleh pihak pengantin lelaki kepada pihak perempuan yang telah menjadi budaya dalam masyakat kita. Dari itu, ia tidaklah diwajibkan seperti mas kahwin yang diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan.

Sayangnya, kini wang hantaran telah menjadi kemuncak sesuatu perkahwinan yang sepatutunya ialah akad nikah. Ini disebabkan, masyarakat telah mengiktirafkannya sebagai darjat ‘kemampuan' pihak pengantin lelaki dan ‘kehebatan' sesuatu majlis perkahwinan itu.

Semakin tinggi jumlah wang hantaran yang diberikan maka semakin gah kedudukan mempelai sekeluarga di mata masyarakat. Ini tidak secara langsung menimbulkan perasaan riak dan menunjuk-nunjuk dalam masyarakat sehingga menghilangkan sifat sederhana yang dituntut agama.

Kalau benar-benar berkemampuan, tidak ada salahnya untuk mengadakan majlis secara besar-besaran dan meletakkan nilai wang hantaran yang tinggi. Akan tetapi jika sebaliknya, ia akan menjadi satu bebanan dan boleh menyebabkan ada yang terpaksa berhutang atau mendapatkan wang melalui cara yang salah, seperti rasuah dan pecah amanah. Maka, adalah lebih afdhal mengadakan kenduri dan meletakkan jumlah hantaran yang sederhana mengikut kemampuan untuk kesejahteraan semua pihak yang terlibat.

Dalam hal ini masyarakat terutama ibubapa perlu lebih bertanggungjawab dan tidak terlalu mengikut trend yang menyimpang daripada matlamat sebenar dalam soal nikah kahwin. Mereka juga perlulah sedar, perkahwinan yang dibina adalah untuk jangka panjang. Bergolok dan bergadai hanya untuk satu majlis perkahwinan akan membawa kemudaratan yang boleh merosak keharmonian rumah tangga.

Masyarakat kita perlu mengubah minda terhadap wang hantaran kerana dalam jangka masa panjang, hantaran yang tinggi akan mengurangkan jumlah individu yang ingin berkahwin dan mendorong kepada gejala sosial seperti bersekedudukan. Pendek kata, ukurlah baju di bahu sendiri dan tepuk dada tanyalah selera.

Menyebut perkataan kahwin memang mudah. Namun, proses persediaan ke arah mendirikan rumah tangga tidak semudah ia disebut. Selepas proses meminang gadis yang diminati, timbul pula soal wang hantaran. Jika bernasib baik, jumlahnya berpatutan. Jika sebaliknya, ia mungkin mencecah lima angka.

Malah, ada ibu bapa yang seperti ‘berlumba-lumba’ meletakkan harga wang hantaran anak perempuan mereka.

Inilah yang menggerunkan sesetengah lelaki untuk mendirikan ‘masjid’ sedangkan keinginan untuk berkahwin amat tinggi. Sedangkan wanita yang solehah itu adalah sebaik-baik harta benda. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w., Dunia itu harta benda dan sebaik-baik harta benda dunia ialah perempuan yang solehah. (Riwayat Muslim).

Berikut dipaparkan suatu sesi temuramah diantara wartawan Mingguan Malaysia dengan Profesor Emiritus Nik Safiah Karim berkenaan isu ini.

MINGGUAN : Wang hantaran yang tinggi seolah-olah menjadi trend sehingga ada lelaki yang sanggup meminjam dan menanggung hutang bagi memenuhi kehendak keluarga wanita. Adakah tindakan ini wajar?

DR. NIK SAFIAH: Wang hantaran merupakan satu aspek budaya masyarakat Melayu yang telah diamalkan dalam majlis perkahwinan. Ia adalah pemberian ikhlas pihak lelaki kepada wanita yang ingin dikahwini. Namun budaya itu telah disalahgunakan sehingga menyusahkan lelaki. Hantaran tinggi telah menjadi trend untuk menunjuk-nunjuk bahawa lelaki mampu dan dari keluarga berada serta berjaya menawan hati perempuan yang mempunyai peminat ramai. Kadangkala pihak perempuan yang meminta manakala lelaki malu menolak untuk menjaga maruah. Apabila yang diminta terlalu tinggi sehingga tidak termampu, maka berlakulah pinjam-meminjam dan bergolok bergadai.

Sebaik-baiknya perkahwinan itu dimulakan dengan keadaan yang baik tanpa masalah kewangan yang boleh membawa kepada kemudaratan sehingga merosakkan keharmonian rumah tangga. Pada saya, wang hantaran tinggi bukan perkara yang membanggakan tetapi menyusahkan. Pada saya, adalah manis jika hikmah yang dipraktikkan oleh masyarakat dahulu diguna pakai iaitu pemberian itu bagi menunjukkan penghargaan pihak lelaki kepada perempuan. Gejala ini harus ditangani kerana ia mempunyai lebih banyak kesan negatif daripada positif.

Adakah isu ini merupakan punca utama peningkatan golongan membujang?

DR. NIK SAFIAH: Itu sudah pasti, tetapi kesan jangka panjang yang mungkin berlaku ialah kaum lelaki akan ragu-ragu mengambil langkah meminang dan mendirikan rumah tangga. Maka ramailah pasangan lelaki dan perempuan yang hanya berkawan tanpa ikatan perkahwinan. Perkara ini tidak akan membawa kesan yang baik pada masyarakat kita.

Apakah kesan akibat penentuan jumlah wang hantaran yang tinggi ini?

DR. NIK SAFIAH: Antaranya kesan ekonomi. Bagi yang mampu, ini tidak membebankan tetapi apabila diikuti oleh pihak yang tidak mempunyai kewangan yang kukuh, maka ini memberi kesan bukan sahaja kewangan pihak lelaki malah ekonomi negara kerana bakal melahirkan ramai pemiutang.

Kedua, dari segi agama iaitu perasaan riak dan hendak menunjuk-nunjuk. Kita perlu menjadi masyarakat yang sederhana. Bagi yang ada duit dan membuat kenduri besar, lebih baik membuat ibadah iaitu bersedekah duit itu kepada rumah kebajikan.

Ketiga, dalam jangka masa panjang, bilangan yang hendak berkahwin akan berkurangan, sekali gus meningkatkan bilangan gadis dan teruna yang membujang. Dalam keadaan ini mereka terus bersahabat tanpa perkahwinan dan akan membawa kepada gejala sosial seperti bersekedudukan dan berzina.

Keempat, bebanan hantaran melewatkan tarikh perkahwinan kerana terpaksa menyimpan wang yang banyak. Apabila kahwin lewat, anak pun sedikit.

Kelima, kahwin lari akan bertambah.

Jelaslah, hantaran tinggi tidak patut digalakkan kerana bakal meruntuhkan institusi perkahwinan.

Siapakah yang selalunya menentukan jumlah wang hantaran?

DR. NIK SAFIAH: Kadangkala bukan pasangan yang menentukan tetapi ibu bapa dan saudara-mara. Saya harap saudara-mara tidak campur tangan. Bagi saya wang hantaran itu hanyalah sebagai ukuran. Katalah wanita itu siswazah dan bakal suaminya siswazah, maka kerana taraf kelulusan dan pekerjaan yang baik, hantaran tinggi. Ini bukan cara terbaik. Permintaan perempuan biarlah berpatutan.

Saya ingin menekankan kepentingan perbincangan antara pasangan, perlu ada persefahaman antara keluarga. Kadang-kadang satu pihak sengaja hendak meninggikan harga itu iaitu pihak lelaki. Kita berharap kesederhanaan pada kedua-dua pihak.

Apakah faktor dalam menetapkan hantaran?

DR. NIK SAFIAH: Bergantung kepada kedudukan kedua-dua pihak. Bagi pihak perempuan mungkin kelulusan manakala pihak lelaki pula kemampuannya. Yang lain ialah kerelaan hati, berapa banyak pihak lelaki sanggup memberi tetapi janganlah terlalu murah hati. Selain itu, kedudukan keluarga itu dalam masyarakat. Misalnya hendak pergi meminang itu anak pak imam, anak guru besar, jumlahnya mungkin lain bagi menghormati kedudukan bapa perempuan dalam masyarakat.

Dalam pada itu, perbandingan dengan pihak-pihak lain jangan dijadikan faktor.

Jika dilihat keadaan ekonomi dan kos perbelanjaan perkahwinan yang semakin tinggi, apakah kadar minimum wang hantaran?

DR. NIK SAFIAH: Saya berpendapat antara RM5,000 hingga RM10,000, bergantung kepada latar belakang pihak berkenaan. Jika lebih daripada RM10,000 itu agak banyak dan tinggi kerana wang hantaran itu hanya sebahagian daripada persiapan perkahwinan itu. Ini belum termasuk barang hantaran seperti barang kemas, hadiah-hadiah seperti sepersalinan pakaian, alat solek, set dandanan diri, jam dan telefon bimbit yang harus diberi oleh pihak lelaki. Ini bermakna lelaki bukan sekadar terpaksa menyediakan wang hantaran, tetapi barangan lain yang jumlahnya mencecah ribuan ringgit.

Daripada mengadakan majlis kenduri yang besar-besar, apa salahnya wang itu diberikan kepada pihak pengantin untuk memulakan rumah tangga seperti membeli perabot dan menyewa rumah.

Adakah budaya pemberian wang hantaran ini boleh dihapuskan?

DR. NIK SAFIAH: Sebenarnya wang hantaran merupakan unsur budaya yang waktu dahulu ada hikmahnya. Namun untuk menghapuskan bukan mudah terutama di kalangan orang tua dan keluarga perempuan yang berpegang kuat pada budaya itu. Apa yang boleh kita lakukan ialah menunjukkan aspek keburukan ini dan melalui pendidikan. Kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai perspektif lebih sihat. Kita juga tidak mahu menghapuskan unsur budaya yang pada asasnya mempunyai gejala baik iaitu sebagai hadiah dan tanda kasih sayang kepada isteri dan kalau perlu gunakan untuk kebaikan pasangan yang berkahwin.

Adakah mungkin, disebabkan hantaran tinggi lelaki akan memilih wanita negara lain yang tidak memerlukan wang hantaran yang tinggi?

DR. NIK SAFIAH: Ia mungkin berlaku, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di negara Asia Barat di mana hantarannya terlalu tinggi. Mereka lebih senang mencari wanita dari luar. Perkara ini mungkin berlaku di Malaysia sekiranya isu ini tidak dibendung. Saya risau jika perkara ini benar-benar berlaku, maka banyak kesan negatif yang harus ditanggung oleh masyarakat. Apabila seseorang berkahwin dengan bangsa lain, maka budaya turut berubah. Begitu juga yang berkahwin dengan yang tidak seagama, mungkin menimbulkan masalah penerapan nilai-nilai agama dalam diri pasangannya.

Terdapat fenomena segelintir umat Islam mencari angka tertentu dalam menentukan jumlah wang hantaran kononnya mempunyai tuah.

DR. NIK SAFIAH: Perkahwinan ini perkara yang serius dan harus dilalui dengan perasaan khusyuk. Walaupun cantik beberapa angka dan membawa pengertian khusus bagi pasangan seperti tarikh lahir dan sebagainya, saya rasa pemilihan berdasarkan itu tidak sesuai dan kadangkala menyusahkan untuk menyebutnya semasa akad nikah. Sebenarnya kita tidak ada budaya mempercayai angka boleh membawa tuah melainkan budaya Cina yang mempercayai angka boleh membawa kerahmatan kepada mereka.

Adakah wajar beban wang hantaran yang tinggi itu dikongsi bersama dengan ahli keluarga supaya pihak lelaki tidak malu?

DR. NIK SAFIAH: Kalau perempuan sedar bahawa pihak lelaki tidak begitu mampu, janganlah minta terlalu banyak. Tetapi kalau keluarga sanggup membantu, eloklah daripada dia meminjam dari sumber yang tidak begitu sesuai. Tetapi adalah lebih penting tidak membebankan keluarga.

Sudah sampai masanya keadaan yang bersesuaian dicari untuk memudahkan perkahwinan ini. Mungkin Prof. ada cadangan.

DR. NIK SAFIAH: Pertamanya seseorang lelaki yang hendak mendirikan rumah tangga mesti membuat persiapan. Jika tidak bekerja, carilah pekerjaan. Kalau sudah bekerja, mula dari awal menyimpan duit dan jangan membebankan ibu bapa. Lainlah ibu bapa orang senang dan merupakan anak tunggal.

Setelah bersedia ingin berkahwin, adakan perbincangan antara pihak lelaki dan perempuan supaya pihak perempuan mendapat tahu keupayaan pihak lelaki dalam soal hantaran. Saya juga berharap wang hantaran jangan digunakan semata-mata sebagai perbelanjaan untuk kenduri besar. Dalam hal ini soal berjimat cermat perlu dititikberatkan. Kesederhanaan dan keinsafan sebagai orang Islam yang soleh harus diterapkan, jangan sekali-kali meniru apa yang dibuat oleh jiran dan artis.

Bagaimana pendapat Prof. supaya wang hantaran dijadikan mas kahwin bagi mengelakkan wang tersebut dibelanjakan untuk kenduri?

DR. NIK SAFIAH: Susah. Mas kahwin itu wajib dan hak perempuan. Wang hantaran sebagai mas kahwin itu boleh dijadikan cadangan tetapi hakikatnya, pemberian wang itu merupakan unsur budaya dan telah menjadi amalan akan digunakan untuk perbelanjaan kenduri dan membeli perkakas perkahwinan.

Apa yang boleh dilakukan ialah berkempen untuk mengurangkan jumlah wang hantaran atau diberikan kepada pasangan memulakan kehidupan baru.

Bagaimana untuk menerapkan kesedaran keburukan pemberian wang hantaran yang tinggi?

DR. NIK SAFIAH: Saya rasa aspek ini perlu dibincangkan dalam kursus perkahwinan atau diselitkan dalam salah satu mata pelajaran di sekolah-sekolah menengah secara tidak langsung. Begitu juga semasa khutbah dan ceramah-ceramah agama.

Di Kedah, mengikut banciannya mas kahwin bagi wanita yang berkelulusan universiti kini mencecah RM 12,000. Astaghfirullah, hebatnya wanita di Kedah sampai begitu tinggi lagi mas kahwinnya. Betulkah mereka HEBAT?? Pandangan yang disampaikan oleh seorang pensyarah UDM, beliau menyebut hantaran perkahwinan paling mahal di Malaysia ialah dari negeri Kedah. Kepada mereka yang ingin memetik bunga di taman larangan jelapang padi sila fikir dua kali. Ini adalah antara kenyataan yang dibuat.

Selain itu, isu ini sentiasa berlaku walaupun telah beberapa kali ditegur oleh mufti, agamawan dan sebagainya. Tetapi ia tetap berterusan tanpa mengetahui puncanya. Apa yang menyedihkan pihak lelaki akan terus menjadi mangsa keadaan selama2nya sekiranya ibu bapa khususnya masih lagi gagal memahami isu sebenar wang hantaran ini. Komentar dari Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, yang menyatakan pandangannya tentang isu wang hantaran yang tinggi. Beliau berkata dari sudut agama memang tidak menjadi kesalahan bagi mereka berkemampuan, namun perkara itu akan dinilai sebagai perbuatan menunjuk-nunjuk oleh masyarakat. Beliau berkata, bakal pengantin tidak sewajarnya menjadikan matlamat perkahwinan berasaskan hantaran tinggi sebaliknya perlu mengutamakan kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga pada masa depan. Katanya, beliau juga khuatir jika perkara itu terus menjadi ikutan, matlamat perkahwinan mungkin disalah erti terutama bagi generasi muda.

Manakala Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, berkata trend hantaran yang tinggi boleh dilakukan jika mampu, tetapi tidak perlu dihebahkan kerana dibimbangi boleh menimbulkan pelbagai impak negatif dalam masyarakat. Katanya dengan perkembangan trend itu sekarang, kita khuatir wanita muda hanya akan mengejar lelaki berusia yang berstatus tinggi dan banyak wang sekali gus meningkatkan kuantiti lelaki yang tidak berkahwin. Ia juga boleh menimbulkan prasangka, hasad dengki dan iri hati di kalangan masyarakat. Memandangkan kita hidup bermasyarakat, kita perlu mengambil kira sensitiviti golongan kurang berkemampuan dan miskin.

Antara hujah yang diketangahkan mengapa mahar tinggi :
1. Dah itu harga pasaran sekarang (jual anak ke?)
2. Kalau dia tak mampu bagi tinggi, macam mana dia nak tanggung hidup anak kita?
3. Hanya orang yang sanggup bayar sahaja akan di terima lamarannya.
4. Malu pada keluarga dan jiran kalau 'letak harga' terlalu rendah.
5. Anak kita anak dara, barang baru, bukan barang second hand tau.

Kesan apabila harga Mahar tinggi :
1. Kita pakat himpun bersama-sama sampai cukup (joint account).
2. Kita pinjamlah merata pastu sesama ler bayar bila dah nikah nanti.
3. Kita kawin lari jer lah.
4. Tak payah kawin, kita tinggal sama sampai TER ....

Apakah akibat meletakkan 'harga tinggi' ini?
1. Lambatkan perkahwinan sedang umur gadis semakin lanjut.
2. Menutup peluang gadis untuk di lamar oleh orang yang dia cintai.
3. Menyebabkan kemungkinan berlakunya perzinaan.
4. Menyebabkan anak menanggung hutang yang tinggi.
5. Mendahulukan 'malu' pada masyarakat dari hukum 'wajib' menikahkan.

Oleh yang demikian, kita sepatutnya kembali kepada sunnah rasulullah. Nabi pernah bersabda, "Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." (Riwayat Bukhari)

Sumber Rujukan :
http://ni5a.multiply.com/journal/item/143
http://www.kawin-kawin.com/sayang2/8-wang-hantaran-perkahwinan.html
http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=127&thread_id=24261

Tiada ulasan: