Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 10 Februari 2011

Pengajaran revolusi Tunisia


Kebangkitan rakyat Tunisia menumbangkan diktator Zine al-Abidine Ben Ali masih mendapat perhatian dunia, terutama selepas penubuhan kerajaan baharu masih tidak mampu memuaskan hati rakyat.

Walau bagaimanapun, keresahan terhadap parti dominan RDC (Perhimpunan Perlembagaan Demokratik) yang menguasai Tunisia selama ini dapat diperhatikan dengan jelas melalui respons rakyat terhadap individu-individu yang masih dipilih untuk berada dalam kerajaan perpaduan negara itu.

Sentimen marah terhadap kezaliman dan keangkuhan rejim Ben Ali dan partinya selama ini kini menjadi tumpuan utama dalam protes yang terus dijalankan oleh orang ramai.

Perkembangan itu menunjukkan kejatuhan seorang pemimpin masih belum mencukupi untuk membawa perubahan, walaupun tidak boleh ditolak hakikat bahawa perubahan telah dimulakan dengan kejatuhan pemimpin yang dominan itu.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan dan rasionaliti pemimpin-pemimpin yang terlibat untuk membawa negara Tunisia membuka lembaran baharu, tanpa melupakan atau mengabaikan tuntutan-tuntutan terhadap rejim lama.

Sebagai sebuah parti politik yang dominan, RDC telah memiliki struktur yang besar dan mengakar dalam masyarakat dan birokrasi.

Struktur ini bukan sahaja besar tetapi juga mempunyai pusat graviti yang rendah, menjadikannya sukar untuk diruntuhkan dengan satu kebangkitan atau dalam masa yang agak singkat, malah boleh dikatakan mustahil.

Seperti juga pergerakan berasaskan etnik utama seperti Taliban di Afghanistan dan Baath di Iraq, parti utama yang dominan seperti itu mempunyai sokongan yang meluas daripada sejumlah besar rakyat dan pendirian politik yang diterima ramai.

Di Tunisia, parti Ben Ali ialah parti seumpama itu, menerima sokongan meluas dan tidak mudah untuk dihapuskan begitu sahaja seperti dituntut sesetengah pihak.

Seorang akademik pemerhati Tunisia, Christoper Alexander menulis dalam majalah Foreign Policy menegaskan keperluan melaksanakan perubahan secara realistik untuk menghalang muncul sebuah lagi kuasa dominan seperti rejim Ben Ali.

Menurutnya, tuntutan supaya RDC dihapuskan bukan satu langkah yang realistik malah berbahaya.

“Tuntutan-tuntutan ini tidak realistik dan berpotensi mencetuskan bahaya. Bukan semua dalam RDC penjahat yang korup, dan parti-parti pembangkang terlalu kecil dan tidak berpengalaman untuk menguruskan cabaran-cabaran dihadapi Tunisia – termasuk melibatkan usaha menganjurkan pilihan raya yang diyakini.

“Tambahan pula, membubarkan RDC tidak semestinya akan menghapuskannya. Kader-kader parti itu boleh menubuhkan jelmaan baharu parti yang telah memerintah sejak merdeka itu,” tegasnya.

Ini walau bagaimanapun tidak bermakna ahli-ahli rejim lama dan parti dominan yang tidak memberi khidmat sewajarnya kepada rakyat terlepas begitu sahaja.

Sentimen yang ditunjukkan ini wajar menjadi pengajaran kepada rejim-rejim yang telah lama berkuasa, menunjukkan bagaimana kebencian orang ramai mencetuskan reaksi yang sangat keras terhadap semua elemen rejim lama itu.

Ini untuk menegaskan keperluan pembinaan negara memerlukan mereka yang berkebolehan untuk menangani hal yang sepatutnya, dan fokus perlu diberikan kepada pembinaan dan perubahan kritikal institusi negara.

Usaha memberi tumpuan yang berlebihan terhadap rejim lama dan kejahatan mereka berpotensi untuk mewujudkan sentimen yang akan membenarkan sesiapa sahaja menggantikan mereka tanpa mengira kredibiliti dan kemampuan untuk melaksanakan tugas.

Langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bukan hanya untuk menjatuhkan rejim lama tetapi juga membina formula untuk penyertaan semua dalam proses demokrasi negara itu.

Dalam keadaan yang sukar ini, pemimpin-pemimpin terlibat perlu memastikan penglibatan pihak-pihak yang menerima sokongan ramai rakyat Tunisia dan dilihat mempunyai keupayaan untuk menyertai politik Tunisia sebagai pemain penting, termasuk parti Islam, Hizb al-Nahdah.

Kerajaan baharu kini terdedah kepada sentimen kebimbangan pihak asing terhadap penglibatan parti Islam yang dikaitkan dengan pelbagai agenda antidemokratik.

Selepas melepasi halangan pertama dengan menjatuhkan kepimpinan diktator, Tunisia kini berdepan halangan kedua berupa tekanan asing yang tidak mahu melihat gerakan Islam menjadi faktor penting dalam politik Tunisia pasca-Ben Ali.

Haluan yang bakal diambil Tunisia selepas ini perlu dipilih oleh rakyat Tunisia sendiri, melalui proses demokratik yang perlu dilalui dan bukan hasil dokongan dan dorongan kuasa asing.

Hal ini jelas menunjukkan tugas sukar membina negara yang bebas tidak selesai dengan kejatuhan pemimpin lama.

Proses yang juga mencabar dan berpotensi mengambil masa yang lebih panjang bermula sejurus selepas itu.

Tiada ulasan: