Di awal-awal bab buku ini, kita telah pun membincangkan tentang dunia Islam yang kucar-kacir dan konflik-konflik yang semakin meningkat. Kita telah lihat bagaimana rakyat yang tidak bersenjata berjuang untuk meneruskan kehidupan di celah-celah pertempuran bersenjata, penderitaan yang dialami di kem-kem pelarian, dan kesengsaraan yang dirasai oleh mereka yang dinafikan hak beragama. Para pembaca mungkin terkejut dengan kisah-kisah yang didedahkan ini. Seseorang yanga gagal berfikir sedalam-dalamnya mungkin akan melakukan kesilapan dengan menganggap adalah sesuatu yang sukar untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut, dan juga menganggap apa sahaja yang dilakukan tidak akan membawa sebarang keputusan yang positif. Namun pada hakikatnya, ia berbeza sama sekali. Apa yang sedang berlaku adalah satu berita baik dan setiap inci perkara adalah satu tanda kedatangan zaman penuh rahmat yang pernah diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dengan kata lain ia adalah petanda kepada Akhir Zaman.
Segala Peristiwa di Tanah Umat Islam Adalah Petanda Akhir Zaman
Konsep "Akhir Zaman" mungkin agak asing bagi sesetengah orang. Jadi adalah penting di sini untuk menerangkan secara ringkas tentangnya. Menurut Islam, Akhir Zaman adalah satu zaman yang hampir dengan Hari Kiamat, iaitu satu waktu yang mana ajaran al-Quran diamalkan di seluruh muka bumi ini. Keadaan persekitarannya akan dapat memuaskan hati semua pihak. Manusia hidup dengan aman dan selamat. Kemewahan, kekayaan dan keadilan akan menggantikan segala masalah yang pernah wujud dahulu. Segala masalah moral, penipuan dan kebejatan sosial akan lenyap. Ini adalah satu zaman yang meriangkan, yang telah dinanti buat sekian lama, apabila ajaran moral al-Quran mendominasi dunia.
Hadith (kata-kata) dari Nabi Muhammad s.a.w. telah menerangkan segala perkara tentang peristiwa Akhir Zaman. Ramai ulama-ulama Islam terkenal yang telah memberikan kenyataan berharga tentang perkara ini. Ini semua menandakan bahawa pertama sekali dunia akan melalui zaman yang penuh bencana dan huru-hara, lalu diikuti dengan satu zaman yang mana manusia mengamalkan ajaran Islam sebenar, satu zaman yang dipenuhi kemewahan, satu zaman yang mana kebaikan teknologi dapat dinikmati dengan sebaik-baiknya, suatu zaman kemajuan saintifik dan perubatan, suatu zaman kesenian yang agung.
Pada zaman-zaman awal Akhir Zaman, berlaku kerosakan kerana wujud sistem-sistem falsafah yang cuba menafikan kewujudan Allah. Manusia lari dari tujuan sebenar penciptaan mereka, lalu membawa kepada keruntuhan spirituil dan psikologi. Bencana yang maha dahsyat, seperti peperangan, konflik dan kebuluran, akan berlaku satu demi satu. Manusia meratap berharap agar itu semua dijauhkan dari mereka. Perkara yang sama turut berlaku terhadap konflik-konflik yang terjadi di dunia Islam. Umat Islam yang cuba hidup bebas dengan mengamalkan Islam dan menurut segala rukun-rukunnya berhadapan dengan penindasan yang melampau-lampau. Wanita, kanak-kanak dan warga tua dibunuh dengan sekejam-kejamnya. Kuasa-kuasa anti-Islam yang melakukan keganasan ke atas umat Islam dan cuba menghalang penyatuan dunia Islam semakin meningkatkan lagi aras kezaliman mereka hari demi hari. Walaupun demikian, zaman penuh peperangan dan konflik ini tidak bertahan lama. Allah telah berjanji akan melepaskan manusia dari kekacauan Akhir Zaman dan membawa mereka kepada satu zaman yang lebih menggembirakan.
Zaman ini akan berlaku dengan kepulangan Nabi Isa a.s. Ini bermakna zaman kegelapan Islam akan pergi dan tibalah zaman kebangkitan ummah. Menurut hadith, zaman ini yang sebagai "zaman tanpa senjata," dan keamanan akan memerintah bumi ini. Beberapa hadith dari Nabi s.a.w. berkenaan dengan berita baik di zaman baru itu adalah seperti berikut:
...kedengkian dan saling membenci akan diangkat (hilang)... Bumi akan dipenuhi keamanan seperti mana sebuah bekas yang diisi dengan air. (Sunan Ibnu Majah)
Pertempuran akan meletakkan senjatanya (Sunan Ibnu Majah)
Seperti yang telah diberitahu oleh hadith tersebut, sewaktu Zaman Keemasan, wujud sebuah ikatan yang baik di antara masyarakat yang berbagai-bagai, terutama sekali mereka yang pernah berkonflik, dan persaudaraan serta kasih sayang akan menggantikan konflik yang pernah berlaku.
Umat Islam Pernah Menghadapi Kesukaran yang Sama Dahulu
Sepanjang buku ini kita telah melihat banyak penerangan-penerangan terperinci tentang penderitaan yang berlaku di negara-negara Islam, termasuk pengeboman hospital bersalin di Chechnya, pembunuhan kejam ke atas wanita hamil di Bosnia, dan pembunuhan ke atas kanak-kanak kecil yang dilakukan oleh askar-askar Israel di Palestin. Namun harus diingat bahawa contoh yang serupa malah lebih teruk lagi pernah dirasai oleh masyarakat Islam di zaman dahulu. Para pemerintah ateis atau pun pemimpin terkenal dari pelbagai bangsa telah mendera utusan-utusan yang dihantar kepada mereka dan juga masyarakat yang beriman. Mereka telah mengusir rakyat yang tidak bersenjata dari tanah air mereka dan terus menindas mereka. Salah satu contoh paling jelas ialah Firaun. Sewaktu Firaun menikmati hidup yang penuh mewah, pemerintah Mesir purba ini telah menyebabkan penderitaan ke atas umat Islam di waktu itu, dengan kata lain ke atas kaum Bani Israel. Allah telah menggambarkan penderitaan kaum Bani Israel di dalam al-Quran:
Dan (ingatlah) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan para pengikutnya; mereka mengenakan seksaan berat ke atas kamu, mereka menyembelih anak-anak lelakimu dan membiarkan anak-anak perempuanmu hidup. Dan pada yang demikian itu ada ujian-ujian yang besar dari Tuhanmu. (Al-Baqarah, 2:49)
Satu rahsia penting telah diberitahu menerusi ayat ini: Kekejaman Firaun adalah untuk menguji keimanan seseorang. Dengan cara yang sama, Allah mahu menguji umat Islam pada hari ini dengan kekejaman yang sama. Ujian-ujian ini memerlukan usaha umat Islam untuk mendapatkan keredaan Allah di dunia ini dan juga syurga-Nya yang penuh dengan segala nikmat di Hari Akhirat nanti. Kenikmatan yang tidak terbatas di syurga adalah sebagai balasan ke atas orang-orang beriman yang telah hidup di dalam dunia yang sementara ini. Banyak masyarakat Islam yang telah mengalami kepayahan serupa di zaman dahulu, dan ia diuji lagi ke atas umat Islam hari ini. Allah telah menerangkannya seperti berikut:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah, 2:214)
Seperti yang kita dapat lihat menerusi ayat ini, orang-orang beriman akan sentiasa diuji oleh Allah dengan kesusahan dan masalah, namun Allah sentiasa memberikan bantuan. Di samping itu, seperti yang diterangkan oleh ayat tersebut, pertolongan itu pasti datang segera.
Apabila Moral Islam Menguasai Dunia, Kekejaman Akan Berakhir
Terdapat banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang merujuk kepada dominasi Islam di serata dunia. Terdapat banyak persamaan di antara semua ini dengan apa yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang Zaman Keemasan. Memandangkan zaman ini tidak datang di zaman kita, jelaslah bahawa dominasi Islam yang meluas yang diceritakan di dalam al-Quran sebenarnya merujuk kepada Akhir Zaman yang diberitahu oleh Nabi s.a.w. Di sini adalah beberapa contoh berkenaan dengan kekuatan dan kekuasaan yang diberikan terhadap mereka yang mengikut ajaran-ajaran al-Quran:
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia pasti akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada di dalam ketakutan, menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) ini maka mereka itulah orang-orang yang fasik. (An-Nuur, 24:55)
Allah telah menetapkan: "Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang." Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Al-Mujaadilah, 58:21)
Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir tidak menyukainya. Dialah yang mengutuskan rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya di atas segala-segala agama meskipun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (Ash Shaff, 61:8-9)
Juga telah menjadi ketetapan Allah, yang telah diterangkan di dalam Al-Quran, bahawa mereka yang benar-benar percaya bahawa tiada tuhan selain Allah akan mewarisi bumi ini:
Dan sungguh telah Kami tulis dalam kitab Zabur sesudah (Kami tulis) dalam Lauh Mahfuz, bahawa bumi ini diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh. (Al-Anbiyaa', 21:105)
Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) ke hadirat-Ku dan yang takut kepada ancaman-Ku. Dan mereka memohon kemenangan (ke atas musuh-musuh mereka) dan binasalah orang-orang yang melakukan sesuka hati lagi keras kepala. (Ibrahim, 14:14-15)
Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta-merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu disebabkan kamu mencontohi (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak baginya). (Al-Anbiyaa', 21:18)
Kekayaan Yang Melimpah Ruah di Zaman Keemasan
Di samping kedamaian dan keselamatan, Zaman Keemasan juga adalah suatu zaman yang memiliki kekayaan yang melimpah ruah dari segi hasil keluaran dan barangan. Setiap insan akan menikmati lebih dari apa yang diingini, dan tidak wujud kelaparan dan kemiskinan. Orang-orang mukmin, dan mereka yang berusaha di jalan Allah, akan menerima segala kebaikan terhadap apa yang mereka usahakan, baik di dunia mahupun di akhirat. Kekayaan yang dapat dirasakan pada setiap masa adalah datang dari kemurahan Allah yang diberikan kepada mereka yang mengamalkan ajaran al-Quran. Segala amal kebaikan mereka akan dipulangkan dalam bentuk kekayaan yang melimpah-ruah. Di dalam satu ayat, Allah telah menggambarkan kemewahan yang akan dinikmati oleh orang-orang mukmin yang sedia mengorbankan harta benda mereka di jalan Allah:
Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada setiap bulir ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah, 2:261)
Banyak hadith-hadith yang menerangkan tentang masa tersebut yang mana kemewahan hasil keluarannya adalah tersangat banyak sehingga mereka tidak tahu hendak diberikan kepada siapa:
Sewaktu (zaman) itu, umatku akan hidup dengan selesa dan bebas yang tidak pernah mereka bayangkan. (Tanah) akan mengeluarkan hasil tanaman dan menumbuhkan apa sahaja dan harta benda ketika itu adalah melimpah-ruah. (Sunan Ibnu Majah)
....Penduduk langit dan bumi akan berasa gembira. Bumi akan menumbuhkan apa sahaja, dan langit akan menurunkan hujan dengan selebat-lebatnya. Daripada segala kebaikan yang Allah anugerahkan kepada penduduk bumi, yang hidup akan berharap agar yang mati dapat hidup semula. (Yanabi' al-mawadda, Jilid 2, halaman 177)
Bumi akan bertukar menjadi seperti dulang perak yang menumbuhkan sayur-sayuran...(Sunan Ibnu Majah)
Apabila ajaran al-Quran diamalkan, setiap lapisan masyarakat akan menikmati sebuah persekitaran yang adil, aman dan selamat. Kesannya, manusia akan berpaling dari kesalahan, kejahatan, penipuan dan maksiat. Hadith di bawah menerangkan tentang zaman yang penuh adil itu:
Bumi akan dipenuhi dengan kesaksamaan dan keadilan sepertimana ia pernah dipenuhi dengan penindasan dan kezaliman. (Riwayat Abu Daud)
Hati-hati manusia akan dipenuhi dengan ketaatan, dan keadilan wujud di mana-mana. (Bihar al-anwar, Jilid 51, halaman 74)
Berita Baik Zaman Keemasan
Seperti yang telah diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, zaman tersebut akan menjadi seperti sebuah syurga mini. Ia adalah satu rahmat dari Allah kepada manusia yang beriman. Zaman ini yang dipenuhi dengan kemewahan dan keselesaan, yang dirindui oleh umat Islam, akan menjadi satu balasan yang indah di dunia ini kepada mereka yang mengikuti jalan Allah. Semestinya umat Islam yang menyebarkan berita baik ini akan mendapat kemuliaan.
Namun, tanggungjawab beralih dari satu tangan ke satu tangan bersama-sama dengan kemuliaan tersebut. Memandangkan inilah Akhir Zaman, maka semua umat Islam mesti menjadi lebih matang dan berazam untuk melancarkan peperangan-peperangan idea dengan cara yang lebih berkesan dalam menyampaikan berita ini. Situasi umat Islam yang menderita hari demi hari mengingatkan kepada kita tentang tanggungjawab yang harus kita sempurnakan. Adalah mustahil untuk berdiam diri sewaktu mereka yang tidak bersalah dan tidak bersenjata, yang tidak dapat melakukan banyak perkara, menjadi sasaran peluru-peluru liar pembunuh upahan. Kita juga tidak boleh berdiam diri apabila berjuta-juta manusia hidup dalam keadaan kelaparan dan kemiskinan di kem-kem pelarian dan juga sewaktu sebahagian besar umat Islam sedang didera dan dilayan seperti binatang.
Adalah salah untuk berkata, "Tiada apa yang dapat saya lakukan tentangnya." Harus diingat bahawa asas kepada kejahatan yang sedang menguasai dunia pada hari ini terletak pada ateisme, dan semua orang boleh melancarkan perang ideologi untuk menentangnya. Memberitahu manusia tentang kewujudan Allah, belajar untuk takutkan-Nya, ingatkan manusia apa yang akan berlaku di Hari Pengadilan nanti dan memberitahu manusia tentang tujuan penciptaan mereka di dunia ini, adalah di antara langkah-langkah penting yang boleh diambil bagi menghentikan segala kejahatan. Jika keadilan, tolong-menolong, kasih-sayang, cinta, semangat berkorban dan saling memaafkan dapat menguasai dunia ini, maka pastilah sebuah dunia yang aman, selamat dan adil akan dapat dikecapi. Itu semua tidak dapat dirasai melainkan semua manusia yang berkesedaran melakukan tindakan proaktif bersama-sama.
Setiap usaha yang dilakukan mesti bertujuan untuk menghapuskan kesan-kesan buruk fahaman ateisme dan seterusnya menggantikannya dengan sesuatu yang lebih positif. Pada masa yang sama juga, ia akan dapat membantu umat Islam hari ini. Perjuangan ini, yang bersandarkan kepada kedamaian, kompromi dan kasih-sayang, akan menyebabkan mereka yang memiliki kesedaran melakukan tindakan dan mencegah mereka yang tidak bersalah dari terus menderita. Allah telah menceritakan tentang akibat akhir perjuangan tersebut:
Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta-merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu kerana kamu mensifati (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya). (Al-Anbiyaa', 21:18)
Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah di antara negara-negara yang sudah pun kita bincangkan tentang penderitaan yang mereka hadapi, kebanyakkan daripada mereka sebenarnya pernah menikmati satu zaman yang stabil dan aman suatu ketika dahulu, sewaktu berada di bawah panji pemerintahan Islam. Seperti yang telah lepas, umat Islam memainkan peranan penting dalam menubuhkan kedamaian dan keselamatan yang dirindui oleh manusia sejagat. Zaman yang berikutnya akan menjadi satu kesedaran besar kepada seluruh umat manusia.
Dengan izin Allah, zaman kebangkitan ummah yang ditunggu-tunggu selama ini sedang berada di dalam genggaman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan