Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 26 Februari 2011

Media Massa: Berubah Atau Rebah

 Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Hai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan carilah wasilah - yang dapat mendekatkan diri kamu - kepada-Nya serta berjuanglah di jalan-Nya. (Al-Ma'idah 5:35)

SEJARAH membuktikan kebangkitan rakyat tidak dapat disekat-sekat sekalipun dilakukan penindasan peringkat tertinggi termasuk dalam penyebaran maklumat. Perkembangan terkini di Tunisia dan Mesir membuktikan kuasa rakyat tidak dapat disekat oleh pemerintah zalim yang berselindung di sebalik ‘demokrasi bikinan sendiri’. Yalah, setiap kali pilihan raya diktator-diktator ini mencatat hampir 100 peratus sokongan rakyat.

Pada zaman China purba (Tahun Baru Cina akan disambut dalam beberapa hari lagi) kekangan menyebabkan rakyat kreatif menyalurkan maklumat termasuk memasukkan nota dalam kuih bakul dan ini perlu dijadikan iktibar oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mencadangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda agar meliputi terbitan internet, Facebook dan perisian.

Tindakan ini dipercayai cubaan mengehadkan penyebaran maklumat kepada masyarakat pada ketika media massa arus perdana tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio semakin tidak mendapat tempat di hati rakyat. Jumlah edaran akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian merosot teruk hanya lebih sedikit daripada 100,000 naskhah sehari sedangkan sedekad lalu lebih 200,000 malah pada edisi Ahad seperti Mingguan Malaysia pernah mencatat 600,000 naskhah.

Akhbar-akhbar yang meningkat pengedarannya adalah yang bersifat tabloid sensasi seperti Harian Metro yang kini mencatat edaran lebih 350,000 senaskhah. Akhbar yang kerap memaparkan sisi buruk masyarakat ini akan menyambut ulang tahunnya ke-20 pada Mac ini. Akhbar sensasi Kosmo milik Utusan Melayu juga mencatatkan peningkatan dengan lebih 100,000 naskhah, jadi jelaslah masyarakat tertarik kepada pembaharuan, malangnya paparan sesetengah bahan dalam akhbar-akhbar ini menjurus kepada perkara negatif.

Jika akhbar Harian Metro dan Kosmo menjurus memenuhi kehendak generasi baru, akhbar tradisional seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia yang gagal berubah (asyik-asyik mahu mengampu Umno-Barisan Nasional) akan menemui zaman rebahnya. Perkembangan di belahan lain dunia seperti di Eropah menyaksikan betapa sesetengah akhbar arus perdana gagal bertahan sehingga akhirnya terpaksa diedarkan secara percuma saja. Itu pun orang ramai tidak mengendahkan kehadirannya.

Di negara kita, zaman berubah tetapi ada parti dan akhbar tidak berubah. Mereka menunggu masa untuk rebah. Sewajarnya kejatuhan rejim diktator dunia termasuklah di negara tetangga Indonesia menjadi iktibar. Pada zaman revoulsi, media massa Indonesia berubah 360 darjah daripada prorejim Suharto kepada prorakyat.

Media terutama akhbar menyuntik dan menaikkan semangat rakyat untuk menuntut keadilan bagi semua. Suharto akhirnya tumbang bagi membolehkan pilihan raya yang dianggap telus diadakan membawa kepada kepada pemilihan tokoh seperti BJ Habibie, Gus Dur, Megawati dan kini Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) sebagai Presiden.

Demikian juga jika dikaji perkembangan media massa tanah air sebelum negara mencapai kemerdekaan. Akhbar-akhbar awal Tanah Melayu seperti Jawi Peranakan, Majlis dan Utusan Melayu sendiri menyemarakkan semangat anak watan ke arah pembebasan daripada belenggu penjajahan.

Kini pada ketika negara-negara dunia mengorak langkah ke arah kebebasan maklumat, pemerintah Malaysia mahu membedong (macam bayi) rakyatnya melalui tindakan KDN yang mencadangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda agar meliputi terbitan internet, Facebook dan perisian. Tentunya langkah yang tersangat ke belakang (apakah rakyat mahu dijadikan katak di bawah tempurung?) ini mempunyai motif tertentu yang boleh diandaikan banyak pihak sebagai tidak mahu mendedahkan rakyat kepada maklumat yang akan membawa kejatuhan pemerintah hari ini.

Namun seperti diperkatakan pada awal artikel ini bahawa ‘kuih bakul’ pun boleh dijadikan alat sebaran maklumat, sekatan tidak akan melemahkan kebangkitan rakyat dan hal ini terbukti melalui peristiwa kebangkitan rakyat Tunisia yang menyaksikan pemerintah kuku besi Zein el-Abidin Ben Ali dan isterinya yang cantik tetapi ibarat pisau cukur rakyat, Leila Ben Ali diguling sehingga terpaksa melarikan diri ke Arab Saudi.

Ketika kapal terbang membawa Zein el-Abidin singgah di Mesir, rakyat Mesir pula berkata: “Kapal terbang ini juga akan membawa seorang lagi diktator iaitu Hosni Mubarak.” Hal ini hampir menjadi kenyataan apabila rakyat Mesir pula berdemonstrasi besar-besaran bagi menggulingkan Mubarak.

Antara tindakan Mubarak dan kuncu-kuncunya bagi menyekat kemaraan rakyat adalah menghalang penerbitan dan penyebaran bahan maklumat mengenai kebangkitan rakyat Mesir. Namun, kuasa rakyat tidak dapat dihalang, Mubarak juga akan tersungkur jua akhirnya!

Media massa negara ini tidak mahukah mengambil iktibar daripada peristiwa di luar negara ini? Nampaknya media massa ini begitu hebat dan terperinci dalam laporan dan paparan mereka mengenai kebangkitan rakyat di luar negara yang terletak ribuan kilometer jauhnya tetapi tidak nampakkah BANGKAI GAJAH (aneka penyelewengan, korupsi, salah tadbir, kenaikan harga barang) di depan mata? Hanya satu pesanan untuk orang media - anda berubah atau anda rebah!

Tiada ulasan: