"Sekali lagi sejarah digelapkan. Gelap dan semakin malap dek kerana ramai antara kita yang malas mengkaji dan menggali asal-usul sejarah tamadun kita. Kita hanya menerima bulat-bulat apa yang diajar dalam buku teks sejarah di sekolah, universiti dan lain-lain pusat pengajian tinggi. Saya percaya banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang kekuatan sebenar bangsa kita dahulukala dan memang ada pihak berkepentingan yang tidak mahu kita tahu.
Saya percaya banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang kekuatan sebenar bangsa kita dahulukala dan memang ada pihak berkepentingan yang tidak mahu kita tahu.
Pihak yang mana? Banyak... Paling utama adalah penjajah Barat pro Zionis, disokong para pemikir Orientalis. Bersama, mereka amat berkuasa menentukan arah hala-tuju sosio-politik dunia di samping mengawal kurikulum pelajaran sejagat lalu menulis sejarah termasuk tentang tanah-air kita mengikut kaca-mata dan kepentingan mereka sahaja.
Dan saya juga percaya, rangkaian Zionis serta sekutu mereka yang bergerak di balik tabir sambil memakai pelbagai topeng seperti persatuan membela hak asasi manusia dan gerakan politik pembaharuan amat arif akan ilmu jiwa dan sosiologi yang diperlukan untuk meneruskan agenda penggelapan ini kerana memang mahukan umat Islam sentiasa rasa kerdil dan celaru jatidiri akibat kurang faham hakikat asal-usul kita yang sebenar.
Kita sering disogokkan dengan sejarah "rasmi" bahawa keSultanan Melaka yang merupakan simbol kegemilangan bangsa Melayu dahulukala jatuh ke tangan Portugis kerana ia bersifat kuno berbanding kuasa Barat. Kita diajar, budaya ilmu kita tidak sehebat Barat maka itu kita tidak mampu menepis kedatangan mereka. Kita diberitahu berulang-kali, kita kalah kerana pejuang kita cuma mengharapkan keris, tombak dan pedang sedangkan Portugis dan bangsa-bangsa Barat lain memiliki pistol, senapang dan meriam yang mampu membunuh daripada jauh. Maka itu, kita pun digambarkan seperti orang hutan yang duduk atas pokok lalu "sudah patutlah" kita dikalahkan dengan senang. Betulkah semua ini? Pernahkah kita fikirkan apakah kebenarannya secara mendalam?
Pernahkah anda bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah? Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu? Lalu bagaimana ia boleh jatuh ke tangan Portugis yang menurut ceritanya cuma membawa beberapa buah kapal sahaja? Apakah kelengkapan Melaka begitu lemah?
Sejarah rasmi sering menyebut Melaka jatuh kerana kelengkapan moden angkatan Portugis mengatasi kelengkapan kuno orang Melayu. Mereka memiliki meriam-meriam berkuasa tinggi, istinggar (pistol lama), baju dan perisai besi sedangkan orang Melayu kononnya cuma mengharapkan tombak, lembing, pedang dan keris. Pakai pula baju Melayu yang senang dirobek senjata. Orang Portugis pakai baju besi yang tidak lut dek keris. Mana tak kalah Melayu ni? Kuno dan mundur ketinggalan zaman.
Tetapi tanyalah diri anda secara jujur. Apakah orang Melaka yang ketika itu telah lama menerima para pengunjung dan pedagang dari peradaban-peradaban besar seperti empayar Islam di Timur Tengah, China dan India begitu daif dan mundur? Kita telah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang jauh lebih maju daripada Barat zaman itu. Apakah orang Melayu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia? Apakah bangsa kita begitu kolot dan bodoh?
Jawapannya tidak sama sekali. Malah, ada kajian yang dijalankan menunjukkan kerajaan-kerajaan melayu di nusantara adalah pembuat dan pengeluar senjata-senjata api terbaik di dunia menewaskan Belanda, Portugis serta Sepanyol. Catatan-catatan pengembara dan pedagang awal Eropah, India dan Cina juga menunjukkan kerajaan-kerajaan nusantara yang mengelilingi kerajaan melayu Melaka ketika itu adalah pengeluar utama meriam-meriam hebat dan berkuasa di dunia seperti Kesultanan Brunei, Kesultanan Pattani, Kesultanan Sulu dan beberapa kerajaan melayu lain di Asia Tenggara.
Malahan, Kerajaan Islam Turki Uthmaniah juga pernah membeli meriam-meriam yang berkualiti daripada kerajaan-kerajaan kesultanan melayu di nusantara. Apakah Sultan-sultan Melaka yang memiliki pelabuhan paling kaya di timur menjadi buta dan tuli tidak mendapatkan senjata-senjata ini daripada kerajaan-kerajaan yang berjiran sedangkan kerajaan-kerajaan Eropah, Timur Tengah, India dan Cina mahupun Jepun berebut -rebut ingin mendapatkan senjata-senjata ini daripada nusantara ini ???
Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan katanya itu baru separuh daripada meriam milik Melaka. Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu! Ada cerita menyebut, orang Portugis terjumpa sebuah benda ajaib di istana Melaka. Bila dipandang objek tersebut, muncullah muka manusia di dalamnya. Apabila diteliti balik, muka manusia itu adalah muka orang yang memandang. Rupa-rupanya objek itu adalah cermin tetapi orang Portugis baru kali pertama melihatnya! Jadi siapakah yang kuno dan siapakah yang lebih bertamadun? Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh ke tangan Barat?
Kerajaan yang begini hebat di nusantara hanya boleh ditewaskan oleh gabungan tentera-tentera Portugis,Kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa,askar-askar upahan dari Goa,Jawa dan Siam ditambah dengan pembelot dan pengkhianat dalam daripada para pedagang asing dan orang-orang melayu sendiri.
Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno. Dari dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam-meriam besar, pemuras, istinggar dan lain-lain senjata api. Melayu juga sudah mengenal apa itu baju besi dan sudah mahir menempa baju besi untuk kegunaan ketenteraan. Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang. Bukan tidak pernah melihat senjata moden atau berfikiran kuno. Percaya atau tidak, mereka memiliki kebolehan tertentu untuk mengatasi alatan canggih.
Angkatan laut Melaka yang sering meronda sepanjang Selat Melaka, laluan dagang tersibuk di dunia sampai sekarang pula diakui kecekapannya. Di bawah kepimpinan tokoh-tokoh berwibawa seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, ia telah berjaya memukul mundur armada laut Siam, juga ancaman mana-mana pihak. Bukankah ia cukup besar dan kuat untuk menjamin keselamatan penduduk, pendatang dan pedagang sepanjang Selat Melaka?
Mampu meronda dari utara Semenanjung sehingga selatan ke Pulau Jawa, memantau dan menghidu pergerakan musuh sebelum mereka dapat menghampiri pusat pemerintahan di Kota Melaka. Lalu bagaimana Kota Melaka boleh jatuh? Lebih pelik lagi, di manakah angkatan laut Melaka ketika ia diserang?
Bacalah mana-mana buku cerita atau sejarah mengenai kejatuhan Melaka termasuk tulisan Barat yang berat sebelah. Tiada satu pun yang menyebut tentang angkatan tentera laut Melaka yang ikut mempertahankan kota Melaka. Angkatan laut ini langsung tidak terlibat sehingga Melaka dengan senangnya boleh dibedil Portugis dari laut. Tidak ada satu pun kapal Melaka menghalang, tidak ada apa-apa sekatan. Tidakkah ini aneh?
Memang perlu diakui bahawa Sultan yang memerintah Melaka ketika itu telah melakukan kesilapan besar antaranya melantik pembesar-pembesar yang gilakan kuasa serta korup. Sultan Melaka ketika itu juga dikatakan sering berfoya-foya dengan penzinaan dan arak. Wallahualam.
Mereka yang benar-benar berkebolehan dipinggirkan sedangkan pembesar berwibawa yang masih ada menjadi tawar hati. Bagaimana jentera pertahanan hendak digerakkan dengan cekap? Mungkin penduduk Melaka sendiri serta para pedangang luar sudah siap sedia membelot, membuka laluan untuk Portugis menawan Melaka? Atau memang sudah lama wujud gunting dalam lipatan yang inginkan Melaka jatuh sehingga angkatan laut Melaka tidak berfungsi sama sekali?
Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga! Sebuah laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka. Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat? Yang pasti, ada pihak yang membelot. Si Kitol dan Raja Mendeliar sudah pasti. Namun, masih ada pembelot yang lain yang terlepas daripada catatan sejarah.
Apapun, nasi sudah menjadi bubur. Melaka jatuh dan terus dijajah selama lebih 400 tahun. Sultan Mahmud pula menjadi orang pelarian dan menurut ceritanya, terpaksa meninggalkan Kota Melaka lari selatan ke Muar. Itupun terus dikejar Portugis, tidak boleh duduk aman lama di satu lokasi, terpaksalah hidup merempat dari satu tempat ke satu tempat. Apakah baginda menyesal atas segala perbuatannya dahulu? “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!”
Semua rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ini. Pemimpin yang korup serta tidak amanah, menjual kedaulatan negara haruslah diganti dengan pemimpin yang amanah dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara serta yang paling penting mengamalkan perintah Allah dan rasulnya. Pemimpin yang adil diturut, pemimpin yang zalim disanggah!!!"