Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 1 Disember 2011

Mengapa AS enggan iktiraf Negara Berdaulat Palestin?


Rakyat Palestin menuntut dunia dan PBB mengiktiraf negara berdaulat Palestin mengikut persempadanan yang ditetapkan pada 4 Jun, 1967.
Hakikatnya, proses perdamaian yang telah berlangsung selama 18 tahun antara Palestin dan Israel adalah untuk mengakhiri konflik berpanjangan antara kedua belah pihak dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaulat. Negara ini tentunya dibentuk berdasarkan persempadanan tahun 1967.
Konflik ini akan berakhir lebih mudah kerana matlamat yang satu: mencapai keamanan. Keamanan mampu direalisasi apabila dunia membuka mata dan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat yang bersempadan dengan Israel.
Melihat kepada fakta-fakta ini, saya terfikir: Mengapa pentadbiran US tidak melihat matlamat ini, dan menganggap kedua-dua pihak sedang bergerak ke arah yang sama? Atau, adakah dengan memperoleh pengiktirafan daripada PBB bermakna perbincangan antara kedua-dua negara sudah tidak diperlukan lagi?
Untuk menjawab persoalan ini, kita harus mengenepikan seketika peranan PBB, dan melihat tindakan Amerika dan Israel sepanjang proses perdamaian berlangsung. Adalah tidak bijak untuk Amerika menggunakan kuasa Veto untuk menggagalkan usaha Palestin sambil melaungkan pula komitmennya untuk menghidupkan proses perdamaian.
Fakta ini amat penting kerana usaha-usaha yang diambil Palestin ke  arah mencapai matlamat perdamaian dan pengiktirafan dunia sangat jelas dapat dilihat. Tanpa lelah, ia telah mengumpul respons massa dan membendung sebarang keganasan politik. Semua pihak yang berusaha ke arah pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat tidak pernah mempamerkan niat untuk mengetepikan kewujudan Israel. Bahkan, ia berhajat untuk berada di dalam kelab yang sama dengan Israel dan negara berdaulat lain yang telah menjadi ahli.
Agenda ini akan terus dihidupkan dalam forum dan organisasi serantau dan antarabangsa. Palestin akan terus mendedahkan perkara pokok permasalahan ini iaitu pendudukan haram secara paksa dan kekerasan.  Ini jugalah yang dibawa ke resolusi 242 dan 338 di PBB dan membawa kepada penerimaan Palestin sebagai ‘entiti bukan ahli’ di PBB.
Gerakan untuk memperoleh penerimaan PBB dan pengiktirafan dunia tidak bercanggah dengan pokok proses perdamaian yang sedang diusahakan. Namun, bagaimana pula kini apabila proses itu terbantut selama 3 tahun akibat pendudukan dan keganasan ekstrim rejim Israel?
Segala kepentingan Israel harus dibawa ke meja rundingan secara rasional bersama Palestin. Kepentingan tersebut juga tidak patut mengakibatkan sekatan dan embargo ke atas Palestin yang menambah parah ke atas masalah yang sedia ada.
Israel sepatutnya bertindak rasional dengan mengambil setiap undi yang menyokong penubuhan negara berdaulat Palestin mengikut persempadanan 1967 sebagai menyokong pengiktirafan ke atas mereka. Ini berikutan masih wujud beberapa negara yang tidak mengiktiraf kewujudannya sebagai sebuah negara. Amerika Syarikat, sebagai penaja utama rundingan wajib menangani situasi ini dengan tanggungjawab, hikmah dan keprihatinan yang tinggi.
Malangnya, pentadbiran Amerika dilihat dengan terang-terangan mengamalkan dasar berat sebelah kepada Israel dan mengenepikan hak Palestin secara melampau dan tidak rasional. Dasar ini hakikatnya merugikan Amerika dan menghilangkan keyakinan dunia terhadap peranan dan pengaruhnya di rantau itu, terutamanya dengan perubahan pucuk pimpinan di negara-negara Arab.
Peluang Palestin di sidang PBB September ini mesti digunakan sebaiknya untuk menterjemahkan sokongan antarabangsa ke arah Palestin yang merdeka, berdaulat dan diperakui mengikut persempadanan 1967 agar kedua-dua negara dapat wujud dengan aman.
Pengiktirafan PBB jika diperolehi, tetap tidak akan mencapai matlamat yang dituju tanpa rundingan perdamaian yang tulen berjaya dilakukan.
Jika rundingan itu berjaya, sebuah era baru di Timur Tengah akan bermula, lebih-lebih lagi dengan jatuhnya rejim sedia ada yang digantikan oleh pentadbiran baru yang lebih menyokong prinsip demokrasi dan penglibatan politik yang lebih meluas. Pentadbiran baru ini juga dibina atas dasar kerjasama ekonomi serantau dan keselamatan.
Rundingan-rundingan ini mampu mencapai matlamat yang dituju dengan pelbagai inisiatif dan idea yang dikemukakan sejak bertahun-tahun untuk menyelesaikan konflik ini.
Nidal Foqaha ialah Pengarah Am Palestinian Peace Coalition – Geneva Initiative, Ramallah. Beliau juga terlibat dalam jawatankuasa pemandu Forum NGO Keamanan Palestin-Israel