Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 31 Disember 2011

Inilah Sebab Kenapa Golongan Wanita Ramai Menghuni Neraka.....


Mungkin ramai golongan wanita tidak senang bila membaca tajuk di atas. Tetapi itulah realiti. Memang itulah kenyataannya kerana Rasulullah saw tidak pernah berdusta. Hadis nabi saw bertaraf sahih menjelaskan perkara ini. Iaitu Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah golongan wanita.



Sekiranya anda seorang perempuan, anda tidak perlu risau. Ramai tidak bermaksud tidak berpeluang langsung untuk masuk syurga. Hadis ini hanya menerangkan majoriti penghuni neraka, bukan tiada langsung golongan lelaki. Oleh itu berusahalah agar anda menjadi golongan yang berhak menghuni syurga.

 Apakah sebab?

Persoalannya apakah sebab ramai wanita jadi penghuni neraka? Rasulullah saw ada bersabda dalam beberapa hadis yang menyatakan punca-punca permasalahan ini. Antara penyebab-penyebabnya ialah :

1. Tidak bersyukur dan tidak menghargai  kebaikan suami

 Dalam sebuah kisah ketika Rasulullah saw dan para sahabatnya melakukan solat gerhana, Rasulullah S saw melihat Surga dan neraka.

Ketika beliau melihat neraka beliau bersabda kepada para sahabatnya , “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita. Shahabat pun bertanya, “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Beliau saw menjawab, “Kerana kekufuran mereka.”

Kemudian ditanya lagi, “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Beliau menjawab, “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata, ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” ( Imam al-Bukhari)


2. Mendedahkan aurat

Dalam hadis lainnya, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam menjelaskan tentang wanita penduduk neraka, beliau bersabda, “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bonggol unta. Mereka tidak masuk Surga dan tidak mendapatkan wangian syurga padahal wangiannya dapat dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Imam Muslim)

Jalan Penyelesaian

1. Untuk selamatkan diri dari tergolong dalam penghuni neraka maka anda (para isteri) hendaklah berusaha untuk mengenang jasa dan berterima kasih terhadap kebaikan suami. Taatilah mereka dan bersyukurlah dengan apa yang ada. Jangan menafikan beribu kebaikan suami hanya kerana satu kekurangan yang ada pada dirinya.

2. Tutuplah aurat dengan sempurna. Jangan jadi seperti dalam hadis, ‘berpakaian tetapi bertelanjang’. Pada hari ini ramai yang menutup kepala tetapi memakai pakaian yang nipis, ketat sehingga menampakan susuk tubuh dan macam-macam lagi fesyen yang tidak memenuhi konsep menutup aurat yang sebenar.

3. Jaga solat, puasa dan kehormatan diri.

Terdapat satu hadis yang menerangkan berita baik bagi wanita iaitu hadis yang bermaksud :

“Perempuan apabila solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka masuklah dia akan syurga mana-mana pintu yang dikehendakinya.”( Ibn Hibban,disahihkan oleh al-Albaniy)

4. Perbanyakkan bersedekah
Ini berdasarkan hadis yang bermaksud :

Ketika beliau selesai khutbah hari raya yang menyuruh untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan anjuran untuk mentaati-Nya. Beliau pun bangkit mendatangi kaum wanita, beliau menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian beliau bersabda, “Hendaklah kamu bersedekah! Kerana kebanyakan kamu adalah kayu bakar neraka Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia bertanya, “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Kerana kamu banyak mengeluh dan kalian kufur terhadap suami!” (Imam al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain baginda saw bersabda :

Selamatkanlah diri kamu dari neraka walaupun hanya ( bersedekah) dengan secebis kurma. (Imam al-Bukhari)

Semoga kita semua dirahmati oleh Allah dan ditempatkan di syurgaNya di akhirat kelak.