Niat asal untuk menyokong dan membela ketua, tetapi tindakan seorang pemimpin pemuda Umno yang menggelarkan kumpulannya sebagai ‘panglima Melayu’ dan mengancam mahu menampar serta meludah mahasiswa yang menurunkan gambar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, kini menjadi bahan kutukan dan ejekan orang ramai, terutama golongan muda di Internet.
Kemarahan pemimpin pemuda Umno terbabit dan sekumpulan penyokongnya dipercayai berikutan tindakan mahasiswa berdemontrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) menurunkan bendera mengandungi gambar Najib di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bendera itu bagaimanapun dinaikkan semula.
Kenyataan pemimpin pemuda Umno terbabit dapat dilihat di dalam rakaman video yang dimuat di youtube.com. Video itu kini turut diedarkan di banyak blog, forum dan Facebook.
Sebelum ini, malaysiakini.com melaporkan, Ketua Penerangan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Armand Azha membuat ancaman itu untuk “meludah” dan “menampar” penyelaras Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli.
“Jangan sampai satu hari kami jumpa kami ludah, kami tampar muka kau… Berani kau kurang ajar dengan kami?
“Ini semua panglima perang tahu,” kata Armand sambil menunjukkan ke arah sebilangan pengikutnya dalam video berkenaan.
Setakat jam 8.30 malam ini, video terbabit yang dimuat ke youtube.com sejak dua hari lalu, ditonton hampir 70,000 kali.
Imej dari loyarburuk.com.
Tinjauan inimajalah.com.my di Internet dalam tempoh 24 jam lalu mendapati banyak blog, forum dan Facebook membuat ulasan atau komen secara sinis dan mengutuk serta mengejek ancaman itu yang sarat dengan emosi dan kemarahan.
Mereka menganggap perbuatan itu bukan sahaja memalukan orang Melayu, malah tidak menggambarkan kematangan dan tahap keilmuan yang tinggi.
Antaranya ialah blog politik popular,anaksungaiderhaka.blogspot.com yang mengulas isu itu dengan tajuk ‘Turun bendera Najib, pencacai Umno nak ludah muka mahasiswa’.
Blog itu melontarkan pertanyaan:
“(Apa) bila Islam dan Rasulullah saw dihina, mereka tidak begini marah… kenapa ya?”
Di Facebook, gelagat ‘panglima’ di dalam video terbabit menjadi bahan ejekan dan kutukan ramai pengguna laman sosial itu, terutama golongan muda.
Seorang daripada pengguna Facebook dikenali sebagai Aimey Ismail mencatat komen berikut:
“Ini (kenyataan mahu menampar dan meludah mahasiswa) benar-benar membuat saya rasa nak tergelak”.
Seorang penonton di youtube.com dikenali dynaso pula menulis komen dalam bahasa Inggeris seperti berikut:
“You are committing suicide for Umno. Cheers to that. Stupid”.
Banyak lagi komen mengutuk dan mengejek perbuatan pemimpin pemuda Umno itu boleh ditemui di Internet.
Dari satu segi, memang menjadi tanggungjawab ahli dan pemimpin bawahan menyokong dan mempertahankan pemimpin atasannya. Namun, kaedah sesuatu sokongan itu diperlihatkan juga adalah penting agar ia tidak menjadi seperti pepatah Melayu, iaitu ‘sokong membawa rebah’.
Barangkali Najib sendiri, sebagai pemimpin berpengalaman, tidak menggemari cara pemimpin pemuda partinya memberi reaksi yang ‘sarat dengan emosi’ seperti itu kerana ia bukan sahaja tidak menguntunglan Umno, malah memungkinkan parti itu dilihat sebagai sebuah organisasi yang dianggotai manusia tidak berilmu dan tidak berwibawa tinggi.
Tidak kira apa fahaman dan kecenderungan sokongan politik, anda dapat menilai sendiri kenyataan pemimpin pemuda Umno itu dari sudut kematangan dan tahap keilmuan menerusi klip video terbabit di sini. - inimajalah.com.my