Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 30 Januari 2012

Mengharapkan Perubahan Melalui Pilihan Raya ?


Setelah dunia menyaksikan kejatuhan pemimpin diktator Mesir, Hosni Mubarak, kini seluruh dunia mengharapkan satu perubahan yang dinanti-nanti selama ini yang akan merubah landskap politik Mesir melalui sebuah pilihan raya umum yang disifatkan sebagai lebih demokratik. 

Perkembangan terbaru menyaksikan parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di bawah Ikhwanul Muslimin memenangi 47 peratus daripada kerusi Parlimen baru Mesir.Akhbar melaporkan bahawa Perikatan Demokratik yang diketuai olehFJP memenangi 235 daripada 498 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya tiga peringkat itu. Ikhwanul Muslimin mencalonkan pegawai kanan dalam partinya, Mohammad Saad al-Katatni untuk menjadi Speaker Parlimen baru. Menduduki tempat kedua ialah parti Al-Nour yang mendapat 25 peratus undi dengan 125 kerusi. Parti-parti yang disifatkan liberal, Al-Wafd dan Blok Mesir ketinggalan dengan masing-masing hanya meraih 14 peratus undi, iaitu kira-kira 69 kerusi.

Sebanyak 21 parti politik gagal memperoleh sekurang-kurangnya 0.5 peratus undi yang diperlukan bagi menghantar wakil ke Parlimen. Para penyokong setia bekas Presiden Hosni Mubarak hanya memenangi tiga peratus daripada kerusi Parlimen. Pilihan raya dewan rendah Parlimen yang telah bermula pada 28 November lalu dan berlangsung selama hampir dua bulan adalah yang pertama di Mesir sejak Mubarak digulingkan dalam pemberontakan rakyat tahun lepas. Pemerintah tentera Mesir, Hussein Tantawi, telah melantik 10 anggota baru ke Parlimen untuk menjadikan jumlah anggotanya 508 orang yang akan memikul tanggungjawab utama memilih sebuah jawatankuasa bagi merangka Perlembagaan baru Mesir. Pilihan raya untuk dewan tertinggi Parlimen atau Majlis Shura dijadual akan diadakan dalam dua peringkat, dengan pengundian berlangsung antara 29 Januari hingga 22 Februari.

Sebenarnya revolusi yang telah berjaya dilakukan oleh umat Islam di negeri para anbiya’ itu menyampaikan satu mesej yang jelas kepada seluruh dunia bahawa perubahan yang dimahukan kaum Muslimin bukanlah sekadar perubahan “kepimpinan” (orang yang memimpin) semata-mata, tetapi perubahan “sistem” daripada sistem kufur yang penuh kekejaman dan penindasan kepada sistem Islam yang penuh keadilan dan keberkatan. Namun sayangnya, setelah Mubarak berjaya ditumbangkan, Barat dalam masa yang sama berjaya ‘merampas’ revolusi dan mengubah haluannya menurut kehendaknya. 

Hal ini dilakukan Barat dengan agak mudah kerana kuku Barat masih menancap tajam pada kepimpinan tentera Mesir, yang rata-ratanya adalah orang kuat Mubarak. Dengan berlangsungnya pilihan raya umum Mesir yang pertama setelah tumbangnya Presiden Mubarak, sebahagian rakyat Mesir nampaknya telah berjaya digula-gulakan oleh Barat dengan sebuah pilihan raya atas nama sistem demokrasi. Walaupun tidak semua rakyat Mesir mahukan sistem demokrasi, namun Barat dengan taktik jahatnya berusaha mengabui mata umat Islam dan cuba meyakinkan dunia bahawa rakyat Mesir mahukan sistem demokrasi. 

Bukan hanya sekadar memerhatikan proses pilihan raya dari dekat, Barat yang licik itu tidak pernah lekang dalam memerhatikan siapakah “calon” yang bakal memimpin Mesir pasca kepimpinan tentera yang ada sekarang. Barat mempropaganda perubahan Mesir dari pemerintahan diktator kepada pemerintahan demokrasi sekaligus berusaha menaikkan calon yangdilihat oleh umat Islam, lebih demokratik bagi membezakannya dengan Mubarak yang disifatkan sebagai diktator. Hasil penelitian Barat, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah gerakan yang berpotensi untuk memerintah Mesir ke arah yang lebih demokratik. Maka Barat berusaha menjalin hubungan dengan pimpinan gerakan Islam tersebut dalam rangka memastikan Ikhwanul Muslimin dapat memerintah Mesir dan pada masa yang sama akan terus menjaga hubungan baik dengan Barat. Hasilnya sungguh lumayan bagi Barat apabila FJP setakat ini telah memenangi pilihan raya umum Mesir. Namun begitu, adalah suatu yang sungguh menyayat hati melihat hubungan baik antara FJP dan Amerika kerana sesungguhnya revolusi Mesir yang telah mengorbankan ramai para syuhada dan melibatkan ribuan kaum Muslimin yang berulangkali berkumpul di Medan Tahrir, mereka telah menyatakan ‘tidak’ pada Amerika!

Pembohongan Amerika dalam sokongan mereka ke atas sistem demokrasi dan pemimpin yang demokratik adalah amat jelas sekali. Orang buta sekalipun tahu betapa baiknya hubungan di antara Amerika dengan Mubarak, walaupun Mubarak terkenal sebagai seorang pemimpin yang diktator dan zalim. Seluruh dunia juga tahu betapa rapatnya hubungan Amerika dengan Arab Saudi, Jordan, Syria, Yemen dan lain-lain negara Arab walaupun kesemua pemimpin negara tersebut adalah para diktator dan tidak demokratik. Sesungguhnya sokongan Amerika terhadap para pemimpin tersebut bukanlah atas nama demokrasi, tetapi kerana para pemimpin tersebut adalah boneka AS dan boleh memberi kepentingan kepada mereka. Begitu jugalah sokongan yang ditunjukkan oleh negara Uncle Sam itu kepada FJP, bukanlah sebenarnya atas dasar demokrasi sebagaimana yang diwar-warkan, tetapi atas dasar kepentingan yang bakal diraih oleh Amerika dari hubungan tersebut, sama sebagaimana kepentingan yang telah diraih Amerika hasil hubungannya dengan Mubarak sewaktu kekuasaan Mubarak dahulu. 

AS cuba mewujudkan ‘suasana demokrasi’ di Mesir bagi menggantikan sistem diktator yang dibenci oleh umat Islam yang dibawa oleh Mubarak selama ini. Walhal bagi AS, tidak ada bezanya di antara pemimpin yang demokratik dan diktator kerana yang penting bagi mereka adalah bahawa pemimpin tersebut (baik demokratik atau diktator) adalah orang yang setia dengan AS. Oleh yang demikian, setelah sekian lama (pasca tumbangnya Mubarak) AS mencipta hubungan baik dengan bakal pemerintah Mesir, maka sudah masanya rakyat Mesir dihidangkan dengan sebuah pesta demokrasi (pilihan raya) yang selama ini tidak dapat ‘dinikmati’ di bawah pemerintahan Mubarak. Pesta ini tidak lain hanyalah sebagai pemula kepada agenda AS dalam membentuk Mesir baru yang ‘demokratik’ di bawah telunjuknya. Setakat ini, pesta demokrasi ini berjalan lancar dengan cara yang cukup disenangi oleh Barat. 

Sebagaimana sifat sebuah ‘pesta’, pilihan raya hanyalah luahan aksi kegembiraan yang bersifat sementara. Kegembiraan itu ditandai antara lain denganbanyaknya parti dan ribuan calon yang bertanding, jutaan pelekat, sepandukdan kain rentang, ramainya wartawan dan pihak media yang membuat liputan, hingar-bingar kempen politik yang berlangsung di sana-sini dengan pelbagai janji dan manifesto masing-masing, beraneka ragam hiburan dan acara bagi menarik orang ramai dan tidak ketinggalan diserikan lagi dengan pelbagai bentuk rasuah, penipuan, hasutan, fitnah-memfitnah, pergaduhan  dan sebagainya yang kesemuanya menghabiskan jutaan wang demi merebut sebuah kerusi.
 
Namun, atas sifat sebuah pesta juga, maka setelah selesai segala aktiviti kegembiraan tersebut, keadaan akan kembali seperti asal, tidak ada apa-apapun yang berubah. Begitulah dengan pesta pilihan raya ini, tidak ada apa-apa pun yang akan berubah setelah pilihan raya,  kecuali calon-calon pemenangnya. Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang terlanjur mempercayai bahawa pilihan raya dalam sistem demokrasi boleh menghasilkan perubahan, maka dia hendaklah kembali berfikir dengan jernih akan kebenaran fakta ini. Ini kerana, pilihan raya di dalam sistem demokrasi hanyalah untuk memilih atau menukar orang sahaja, seraya berharap orang yang terpilih itu lebih baik daripada orang yang sebelumnya. Pilihan raya sama sekali tidak akan membawa kepada perubahan sistem, kerana memang ia tidak diwujudkan untuk tujuan tersebut. Dengan kata lain, pilihan raya menafikan perubahan sistem, malah dengan adanya (dilaksanakan) pilihan raya itu sendiri, ia bermaksud sistem yang sedia ada dikekalkan. Berjalannya pilihan raya membawa maksud penduduk negara itu masih tunduk pada sistem yang ada. Telah terlalu kerap kita melihat bagaimana negara-negara di dunia, setelah selesai pilihan raya, sistem yang sama masih lagi berjalan walaupun orang (pemenang)nya berubah. Sistem yang bobrok terus kekal dengan kebobrokannya, malah tidak sedikit dari calon yang baru menang, yang kononnya mahu melakukan perubahan, justeru terus tenggelam di dalam kerosakan sistem yang sedia ada. 

Walau jelas di depan mata bahawa pilihan raya tidak pernah dapat merubah sesebuah sistem, namun masih tetap ada segelintir umat Islam yang berusaha untuk memenangkan (menegakkan) Islam melalui pilihan raya. Jika mereka merujuk kepada sejarah sekalipun, mereka akan mendapati bahawa setakat ini belum pernah terjadi penegakan Islam melalui pilihan raya sebagaimana yang mereka dambakan. Dari segi sejarah, Indonesia sebagai contoh, sebagai negara yang mempunyai penduduk Muslim yang terbesar, Masyumi dan Nahdhatul Ulama yang masing-masing memenangi 112 dan 91 kerusi pada pilihan raya tahun 1955, masih tetap tidak dapat memerintah dengan Islam. Masyumi kemudiannya dibubarkan oleh Soekarno pada tahun 1960. 

Sejarah yang sama kita saksikan, malah lebih tragis, ke atas FIS di Aljazair. FIS yang menang pada pilihan rayapusingan pertama 1991 dan menguasai 81% kerusi Parlimen, lalu menang besar pada pilihan raya pusingan kedua pada tahun yang sama, akhirnya dibubarkan oleh junta tentera yang disokong oleh Perancis. Hal yang sama juga terjadi pada Hamas di Palestin, yang menjadi pemenang pilihan raya secara demokratis, namun hingga kini Hamas terus terjebak di dalam sistem yang sedia ada dan tidak dapat keluar darinya dan Islam tetap tidak dapat ditegakkan. Begitulah juga keadaannya di Malaysia di mana parti Islam yang bertanding tidak pernah menang di dalam pilihan raya umum kecuali di beberapa negeri, dan apa yang jelas adalah, sistem Islam masih tidak dapat ditegakkan hingga kini. Malah lebih buruk, parti Islam tersebut terus terjebak di dalam pemerintahan sekular, bahkan memerintah bersama dengan orang-orang kafir, suatu hal yang dilarang (haram) secara nyata di dalam Islam. Ringkasnya, di mana sahaja negara umat Islam yang mengamalkan pilihan raya demokrasi, umat Islam tidak pernah dapat menegakkan Islam. Ini kerana di dalam sistem demokrasi, manusialah yang membuat undang-undang dengan mengambil hak Allah sebagai Pembuat undang-undang. 

Justeru itu, mengharapkan terjadinya perubahan, apalagi kemenangan Islam, melalui pilihan rayadi bawah sistem demokrasi adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku, malah hakikatnya, boleh membawa umat semakin jauh dari Islam. Sungguh rugilah umat Islam yang terus-menerus berharap pada sesuatu yang tidak dapat mereka capai walhal ada jalan lain yang benar yang seharusnya mereka tempuhi. Potensi atau usaha mereka seharusnya dikerahkan untuk mengikuti jalan tersebut, yang berdasarkan wahyu dan bukannya jalan demokrasi Barat. Hanya jalan ini sahajalah -yakni jalan wahyu yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW- yang akan pasti memberikan kejayaan dalam melakukan perubahan. Bangsa Arab yang Jahiliyyah ternyata berjaya diubah oleh Rasulullah SAW menjadi bangsa yang memimpin dunia atas nama Islam, dengan jalan berdasarkan wahyu ini. Islam terus memimpin dunia dengan sebuah peradaban yang agung sehinggalah pemerintahan Islam (Khilafah) berjaya dihancurkan oleh Barat melalui pengkhianatan Mustafa Kamal Attartuk laknatullah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924). 

Setelah hancurnya pemerintahan Khilafah dari pentas dunia, umat Islam dibius oleh Barat dengan sistem demokrasi sehingga umat Islam terus lemah, berpecah dan tidak lagi nampak jalan yang lurus (jalan wahyu) untuk mengembalikan kekuatan dan kemuliaan mereka. Umat Islam terus-menerus disodorkan oleh Barat bahawa tidak ada jalan lain untuk melakukan pertukaran pemimpin kecuali melalui jalan pilihan raya demokratik. Sehinggalah saat terjadinya revolusi di Tunisia, Mesir dan Libya di mana umat Islam berjaya menggulingkan pemerintah masing-masing tanpa pilihan raya, Barat tetap terus berusaha bersungguh-sungguh untuk ‘merampas’ revolusi dan setelah berjaya merampasnya, Barat lalu tanpa berlengah terus melaungkan perubahan melalui jalan pilihan raya. 

Inilah yang berlaku di Mesir sekarang di mana umat Islam terus‘diperbodohkan’ oleh Barat dengan pilihan raya, walhal hakikatnya umat Islam sebelum itu telah berjaya melakukan perubahan dengan menumbangkan pemerintahan diktator dengan sebuah revolusi (bukan melalui pilihan raya). Dengan kata lain, Barat sekali lagi berjaya menyodorkan “pilihan raya” sebagai jalan perubahan untuk umat Islam. Walhal hakikatnya pilihan raya tidak pernah dan tidak akan pernah membawa apa-apa perubahan, kecuali ‘perubahan’ yang diingini oleh Barat sahaja. Maka sungguh malang apabila kita melihat segelintir umat Islam terperangkap di dalam agenda Barat ini. Menggantungkan harapan terjadinya perubahan hakiki melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi hanyalah akan mendatangkan kekecewaan demi kekecewaan bagi umat Islam. Fakta yang terjadi di negeri-negeri kaum Muslimin selama ini sudah membuktikan hal itu. Kerana itu, tidak layak bagi satu umat yang mulia untuk menaruh harapan kepada sebuah sistem yang hina seperti demokrasi. 

Satu-satunya jalan untuk mencapai perubahan yang hakiki di dalam usaha untuk menegakkan Islam secara kaffah (menyeluruh) hanya boleh dilakukan melalui thariqah (method) dakwah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT, 

Sesungguhnya (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan lain itu mencerai-beraikan kalian dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepada kalian agar kalian bertakwa” [TMQ al-An’am (6):153]. 

Rasulullah SAW tidak pernah menunjukkan bahawa jalan menuju perubahan adalah melalui pilihan raya atau menyertai sistem Jahiliyyah. Rasulullah SAW malah berusaha untuk menghapuskan sistem Jahiliyyah, bukannya bergabung di dalamnya. Bermula dari perubahan pemikiran (dari pemikiran kufur kepada pemikian Islam), seterusnya membentuk sebuah kutlah (kelompok) dakwah, lalu melakukan kifahu siyasi (perjuangan politik) dan dikuti dengan thalabun nusrah (mencari pertolongan) untuk mendapatkan kekuasaan dari ahlul quwwah (golongan yang memiliki kekuatan) khususnya kekuatan perang, Rasulullah SAW kemudian berhijrah ke Madinah dan berjaya mewujudkan sebuah Negara Islam.Dari sanalah bermulanya penerapan Islam secara kaffah, lalu tersebar pula ke seluruh alam dengan jalan dakwah dan jihad, menjadikan kaum Muslimin umat yang mulia dan terbaik. Inilah jalan perubahan yang dituntut oleh Islam yakni jalan lurus yang berdasarkan wahyu, bukannya jalan yang didasarkan kepada akal, apatah lagi jalan yang diajar oleh penjajah seperti jalan demokrasi.

Khatimah
 
Sesungguhnya perubahan hakiki yang diperlukan oleh umat Islam adalah perubahan sistem, bukannya perubahan orang/pemimpin. Dunia Islam khususnya dan seluruh dunia amnya, amat memerlukan sebuah sistem alternatifyang dapat menyelamatkan umat manusia dari kesengsaraan. Tidak ada sistem yang dapat memenuhi tuntutan tersebut kecuali sistem yang datangnya dari wahyu. Sistem ini tidak lain adalah sistem Khilafah dan bukannya sistem demokrasi, autokrasi, teokrasi, monarki dan sebagainya. Inilah jalan baru yang diperlukan oleh umat Islam, termasuk di Malaysia waktu ini. Jalan inilah yang akan dapat mengubah wajah dunia yang didominasi oleh kezaliman dan kekacauan menjadi wajah dunia yang penuh keadilan dan kesejahteraan. Jalan inilah yang telah dirintis oleh Hizbut Tahrir sejak tahun 1953, yang bermula di Al-Quds, Palestin sehingga telah melebar ke seluruh benua, dari bahagian timur hingga ke barat dunia. Umat Islam kini mulai sedar bahawa mereka memerlukan sistem Khilafah dan bukannya sistem demokrasi. Yang menjadi masalah adalah wujudnya segelintir pemimpin umat hari ini yang masih bersahabat dan sentiasa melutut kepada kuffar Barat dan menjadi pengkhianat Islam, yang oleh kerana itu, Barat masih berjaya mencengkam umat Islam dengan sistem demokrasi kufurnya. Namun, barisan pemimpin pengkhianat ini mula tersungkur satu demi satu dan kemenangan Islam dengan sistem Khilafah itu sebenarnya sudah semakin hampir hari demi hari. Sesungguhnya apabila tibanya hari kemenangan, “Pada saat itulah, hati seluruh kaum Mukmin akan bergembira kerana pertolongan Allah” [TMQ ar-Rum (30):4-5].

Sumber: http://www.mykhilafah.com