Nabi SAW mengingatkan: ‘Hakim itu ada 3 kategori, 2 dalam neraka, 1 dalam syurga. Hakim yang masuk syurga tahu perkara dan hukum yang benar dan menjatuhkan hukum berdasarkan kebenaran tersebut.
Hakim yang tahu hukuman sebenar, tetapi tidak menjatuhkan hukuman berdasarkan kebenaran tersebut, bahkan bertindak zalim ketika menjatuhkan hukuman, maka ia masuk neraka. Satu golongan lagi adalah hakim yang bodoh, tidak tahu perkara yang sebenar dan menjatuhkan hukuman berdasarkan kebodohannya itu. Maka ia juga masuk neraka’.
Saya mengingatkan hakim yang akan menjatuhkan hukuman ke atas DSAI pada 9 Jan 2012 dan lain-lain hakim/pendakwa/peguam dalam lain-lain kes dengan hadis di atas supaya tidak menjual prinsip keadilan dan ketelusan dengan habuan duniawi yang sedikit.
Tidak padan azab neraka yang membakar disebabkan dosa besar dengan habuan dunia yang diperolehi hasil dari hukuman yang dijatuhkan secara zalim (yang telah disiapkan skripnya terlebih dahulu-jika benar demikian dalam kes DSAI).
Nabi SAW bersabda, maksudnya: ‘Sesiapa yang dilantik sebagai hakim dalam masyarakat, ia (ibarat) disembelih tanpa pisau’ (riwayat Tirmizi).
Nabi SAW sangat berhati-hati dalam melantik seseorang (kepimpinan/hakim atau lain-lain jawatan penting). Sabdanya yang bermaksud: ‘Demi Allah, sesungguhnya kami tidak akan memberikan jawatan ini kepada orang yang memintanya, atau kepada orang yang berkepentingan’.
Di zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah, ketika itu rajanya Abu Ja’far Al Mansur. Ia memerlukan seorang hakim, lalu ia memanggil tiga orang ulama besar ketika itu ke istananya. Ketiga-tiga ulama tersebut adalah Imam Malik, Imam Ibnu Abi Zib, dan Imam Abu Hanifah. Kesemuanya ditawarkan menjadi hakim. Mereka menolak dan memberikan alasan masing-masing.
Imam Malik menyebut: ‘Saya tidak sanggup memikul tugas itu kerana saya pernah dihukum dengan didera oleh wakil raja di Madinah’. Imam Ibnu Abi Zib mengatakan: ‘Saya keturunan Quraisy, orang yang sama pangkat dan kedudukannya dengan raja yang sedang berkuasa. Justru, saya tidak patut dilantik menjadi hakim, sebab dibimbangi akan menjadi sekutu kepada raja’.
Demikian juga Imam Abu Hanifah: ‘Saya tidak patut menjadi hakim, kerana saya orang bawah, bukan keturunan bangsawan. Orang yang menjadi hakim itu sebaiknya orang yang kuat, mungkin dari keturunan bangsawan kerana ia dipandang elok oleh kaumnya’.
Hakim-hakim Melayu muslim dan lainnya boleh juga membaca tentang Syuraih yang menjatuhkan hukuman dalam kes Saidina Ali dengan Yahudi.
Belajarlah untuk berlaku adil dan telus. Takutlah kepada ALLAH mengatasi takut kepada makhluk yang membinasakan diri kemudiannya.
"