“Jangan nak mengada-ngada, kalau hendak kahwin tunggu dia habis belajar, ada rumah, ada kerja, dan ada kereta. Kalau tak, selagi tu jangan harap mahu kahwin” Meleter si ibu kepada anak daranya yang sudah sampai masa mendirikan rumahtangga..
“Hantaran kena sembilan dulang, RM1000 serba satu. Kenduri buat di hotel lima bintang, siap dengan siaran eksklusif dari tv10”Ayat-ayat yang biasa didengar.
Tergaman dibuatnya.
Masyarakat kita sekarang terbelenggu dengan masalah suka mengubah sesuatu ibadah menjadi adat dan budaya yang mendarah-daging. Kadang-kadang sesuatu yang mudah pada asalnya, tiba-tiba menyulitkan keadaan yang mana melahirkan banyak kesan samping yang membimbangkan..
Isunya yang diutarakan, ibu bapa sanggup menjual anak perempuan semata-mata kerana keadaan sekeliling memaksa bukannya menitikberatkan keperluan syari‘at tersebut. Yang hendak kahwin si anak, banyak pula karenah ‘birokrasi’ daripada ibu bapa.
Hikmahnya ditinggalkan.
Apabila acuan material terbentuk di dalam minda masyarakat, mahar hantaran menjadi tinggi sehingga membawa implikasi buruk kepada teruna dan dara. Si ibu memohon mahar yang tinggi seolah-olah menggali lubang durjana untuk anak gadis mereka dan diri sendiri.
Di Malaysia, mahar (mas kahwin) rasanya tidak susah nak dipenuhi. Tapi hantaran yang boleh buat turun berat badan kerana terpaksa mengikat perut. Daripada pengalaman melihat dan mendengar, kadangkala harga hantaran diletak tinggi dengan sengaja bukan kerana keperluan tetapi sindrom ‘segan’ kepada orang sekeliling.
Bagai terlupa perkahwinan bukan satu hari hanya di hari kenduri sahaja, tapi sampai detik nyawa terpisah daripada jasad, semua ini dipandang remeh. Kehidupan selepas kahwin juga memerlukan akaun kewangan kukuh.
JANGAN ADATKAN IBADAT
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan hamba perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan (menjadikan kaya) mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui” an-Nur (24:32)
Bagi wanita yang mempunyai kesedaran dan mampu mempertahankan prinsip ajaran sabda Nabi s.a.w maka perlulah buktikan bahawa mereka mampu melawan adat.
Sayang sekali, kita asyik ulang kalimah melawan arus adat, tetapi jarang kita ambil pegangan mengikut pegangan agama. Mahar yang sedikit bukan merendahkan martabat, malah meninggikan martabat seseorang wanita di sisi agama.
Bayangkan pahala dan jaminan keberkatan yang didapati sehari demi sehari sebaik sahaja terlafaznya akad nikah dan bergelar isteri. Urusan tambahan hadiah dan wang hantaran yang membebankan pihak lelaki yang menyediakan dan juga pihak wanita yang menunggu perlu ditangani.
Kenapa tidak ditukar pemberian hadiah ini setelah berkahwin, satu bulan satu hadiah sebagai pengikat kasih sayang di antara suami isteri. Tidak perlu mahal, asalkan ikhlas dan berterusan. Biar pun kita tidak mempunyai peruntukan untuk menetapkan kadar maksimum mahar, setiap ibu bapa terutamanya ibu harus sedar bahawa mahar itu adalah hadiah suami kepada isteri, dan bukannya harga yang ditebus oleh seorang lelaki bagi mendapat seorang perempuan dari ibu dan bapanya.
Mahar bukan harga jualan.
Jangan adatkan sesuatu ibadah, nanti jenuh untuk lunaskan. Jangan terkejut jika ada ternampak warga ‘terlajak’ umur antara lingkungan 40-45 tahun yang menolak stroller di taman-taman rekreasi, pasar raya kerana menunggu lama simpanan penuh sebelum dapat kahwin.
TERBITNYA MASALAH LAIN
Sebenarnya masalah couple atau maksiat hati, mata dan sebagainya bukanlah masalah pokok, masalah ini terbit dari masalah yang lain.
Apabila budaya kita yang mempersulitkan bangsanya untuk mendirikan masjid, dengan hantaran dan mas kawin yang mahal-mahal, sehinggakan dengan belanja kahwin seseorang itu mampu memiliki sebuat rumah maka tidak hairanlah ramai yang berbondong memilih untuk bercouple dahulu.
Berjuang untuk memudahkan urusan perkahwinan juga merupakan suatu ibadah, secara tidak langsung menutup satu alasan kenapa perlu bercouple.
Umumnya di barat pergaulan bebas dan seks sebelum perkahwinan adalah satu budaya yang lumrah dan bukan lagi rahsia. Malah, sesuatu yang janggal sekiranya seseorang itu masih dara setelah berusia tujuh belas tahun. Mereka lebih suka jika isterinya sudah ada pengalaman seks sebelum berkahwin supaya tidak perlu dia mengajarkannya lagi apabila mereka berkahwin nanti.
Jangan kita lupa, masyarakat di negara kita pun sekarang tidak jauh bezanya. Menghalakan pergaulan bebas, berpelesaran lelaki dan perempuan. Tidak mustahil gejala seks bebas tidak pernah berlaku.
Tugas berat ini terletak di bahu kita sekarang sebagai ad-Da’ie. Mulakan di kampus pengajian kita, tempat kerja untuk mengubah suasan tidak sihat ini. Alhamdulillah, inilah kemuliaan mukmin yang mendamba sakinah, mawaddah dan rahmah melalui ikatan perkahwinan. Mudah-mudahan mahar dan hantaran mahal tidak akan menjadi musibah merbahaya yang akhirnya membawa kepada kehancuran nilai-nilai murni dalam masyarakat seperti di atas