Pages

Search This Blog

Followers

like Batu

Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 18 Februari 2013

Malaikat Jibril a.s: Kisah & Kejadian

Malaikat Jibril (atau Jibrail / Gabriel) adalah malaikat yang dipercayai oleh orang-orang Islam dan agama samawi lain yang bertugas bagi menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul. Berdasarkan kepada Al-Quran, Malaikat Jibril juga merupakan ketua kepada keseluruhan para Malaikat. Di dalam kitab Tanakh, Taurat dan Injil, ada juga yang menerangkan bahawa Malaikat Jibril merupakan ketua kepada kesekalian para Malaikat.

Rupa Bentuk Dan Kelebihan Malaikat Jibril a.s
Allah SWT selesai menciptakan Jibril dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu jaraknya menutupi ufuk antara timur dan barat. Dari setiap sayapnya, berjatuhan permata dan yakut yang berwarna warni. Dikatakan juga jika seluruh air sungai dan lautan di bumi dicurahkan ke Jibril, maka tidak akan jatuh walau setitis pun.

Dikatakan Jibril menampakkan bentuk aslinya kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebanyak 2 kali :
1. ketika turunnya wahyu pertama di gua Hira'
2. ketika Isra' dan Mikraj

Tetapi secara keseluruhannya, Malaikat Jibril turun ke baginda Muhammad s.a.w. sebanyak 124,000 kali, tidak seperti nabi yang lain. Nabi Isa a.s. hanya ditemui 10 kali oleh Malaikat Jibril manakala Nabi Musa a.s. beberapa puluh kali. Jibril jugalah malaikat yang menyampaikan berita kelahiran Nabi Isa kepada ibunya Siti Maryam (Penganut Kristian memanggil Virgin Mary).

Malaikat Jibril a.s. mampu terbang dalam keadaan yang sangat pantas. Seperti kalau ada orang bertanyakan sesuatu kemusykilan agama kepada Rasulullah s.a.w., belumpun selesai pertanyaan itu, malaikat Jibril a.s. telah pun sampai dengan jawapan berupa wahyu dari Allah s.w.t. Padahal jarak antara setiap lapisan langit adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan.

Kisah Malaikat Jibril
Malaikat Jibril juga sering disebut dalam hadis dan kisah para nabi memandangkan Jibril sering turun ke bumi dan berubah menyerupai manusia (lazimnya lelaki) untuk mudah bertemu dengan para nabi. Antaranya adalah peristiwa ketika Jibril bertanyakan Nabi Muhammad s.a.w. tentang Iman, Islam dan ihsan serta tanda hari kiamat. Jibril juga pernah mengiringi Nabi Muhammad s.a.w. dalam Isra' dan Mikraj iaitu perjalanan malam dari Makkah ke Baitul Maqdis lalu naik ke langit sebelum Nabi Muhammad sendiri menemui Allah di Sidratul Muntaha.

Nama Malaikat Jibril ada disebut di dalam al-Quran iaitu:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman." - (Surah Al-Baqarah: 97)
"Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir." - (Surah Al-Baqarah: 98)
"Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi) dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya" - (Surah At-Tahrim: 4)

Tahukah Anda?
Sabda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Jibril a.s. sentiasa mengharap hendak menjadi manusia kerana tujuh perkara :-

1. sembahyang lima waktu secara berjemaah
2. duduk bersama para ulamak
3. menziariahi orang sakit
4. menghantar jenazah
5. memberi air minum
6. mendamaikan di antara 2 orang yang bermusuh-musuhan
7. memuliakan jiran dan anak-anak yatim